Wahai Anakku (Dear Son)

Surat dari Prof. Ali At-Tantawi

Malay Wedding Photograph

Kenapa kamu menulis kepadaku dengan ragu-ragu dan malu?

Kamu menyangka kamu seorang sahaja yang merasakan kehangatan pada saraf-sarafmu disebabkan api syahwat yang menyala.

Kamu menyangka perasaan itu hanya terjadi pada diri kamu sahaja dan orang lain tidak merasakannya?

Tidak, wahai anakku. Mudah sahaja, jangan terlalu risau. Apa yang kamu rasakan itu bukan penyakit kamu seorang sahaja, tetapi penyakit semua remaja. Sekiranya ini yang membuatmu tidak boleh tidur pada usia 17 tahun, pasti nasib yang sama kerap kali menimpa selain kamu. Yang besar ataupun kecil.

Sudah pasti ia sering kali menafikan kenikmatan tidur dari mata mereka. Sudah pasti ia sering melalaikan pelajar daripada pelajarannya, melalaikan pekerja daripada menjalankan tugasnya, dan melalaikan peniaga daripada menguruskan perniagaannya.

Jadi apakah yang seharusnya pemuda pada peringkat umur yang paling memuncak syahwatnya ini lakukan?


Inilah masalahnya. Sunnatullah dan naluri jiwa berkata,

’BERKAHWINLAH.

Tetapi situasi masyarakat dan pengajian berkata,

Pilihlah SATU daripada TIGA pilihan.

Semuanya tidak baik. TAPI INGAT!

Jangan fikir pilihan yang keempat yang adalah pilihan terbaik, iaitu BERKAHWIN :

  1. Pilihan Pertama

Kamu melayan kehendak khayalan nafsu. Selalu fikiran tentang seks. Kayakan lagi khayalanmu itu dengan membaca novel-novel lucah, filem-filem tidak bermoral, dan gambar bogel sehingga perkara-perkara ini sahaja yang memenuhi ruang jiwamu. Utamakanlah pendengaran dan pandanganmu. Ke mana sahaja kamu toleh kamu melihat gambar-gambar yang menggoda. Kamu melihatnya ketika membelek buku, semasa malam bulan penuh, semua cahaya mega memenuhu ufuk, semasa malam pekat, dalam mimpi berjaga dan mimpi tidur.

Bak kata penyair Arab:

Aku ingin melupakannya,
Tetapi seolah-olah dia menjelma dalam malamku dalam setiap gerak-geriku.
Akhirnya apa yang terjadi pada kamu? Kamu menjadi gila ataupun menghadapi penyakit saraf.”

2. Pilihan Kedua

Lakukan onani. Para fuqaha sudah membincangkan tentang hukumnya. Para penyair juga banyak menyebut tentangnya. Walaupun pilihan ini adalah pilihan paling ringan kejahatannya dan paling rendah risikonya, tetapi sekiranya melebihi batasan, ia mampu menimbulkan resah dalam jiwa dan menyebabkan badan sakit-sakit. Yang muda kelihatan tua, kemurungan, dan kekosongan. Mereka melarikan diri daripada orang lain dan takut untuk berjumpa dengan mereka. Mereka takut kepada kehidupannya dan cuba lari daripada cabarannya. Keadaan ini ibarat kematian dalam sebuah kehidupan.

3. Pilihan Ketiga

Kamu jebakkan diri dalam kenikmatan yang terlarang. Menyelusuri lorong-lorong kegelapan. Menggadaikan kesihatan sementara, masa muda, masa depan, dan agama untuk kenikmatan sementara dan kelazatan yang hanya singgah sebentar lalu pergi. Sekiranya kamu gagal meraih segulung ijazah yang kamu impikan, jawatan yang kamu cita-citakan, dan ilmu yang kamu hasratkan, maka pada waktu itu kekuatan dan keremajaanmu tidak lagi berdaya menghalangmu daripada terjerumus ke dalam lautan seks bebas.


Jangan kira kamu akan puas selepas apa yang kamu kecapi. Setiap kali kamu menikmati seorang wanita, ia akan menambahkan lagi keinginanmu. Ibarat minum air garam yang hanya menambahkan kehausan. Sekiranya kamu mengenali beribu-ribu wanita, kemudian kamu melihat seorang wanita👩🏻 yang berpaling darimu, kamu pasti suka kepadanya seorang💐. Kamu akan merasakan kepedihan kerana kehilangannya seperti yang dirasakan oleh orang yang tidak pernah mengenali seorang perempuan pun.

Bayangkan kamu mendapat apa sahaja yang kamu minta daripada wanita-wanita itu. Kemudian, Allah SWT melapangkan pangkat dan hartamu. Tetapi, adakah badan kamu masih mampu memikul semua ini? Adakah kesihatanmu mampu melayan semua kehendak nafsu?

Berapa ramai lelaki yang dahulunya mempunyai kekuatan luar biasa, juara dalam bergusti, memanah, dan lumba lari. Tetapi apabila mereka melayan nafsu, mereka berubah menjadi orang yang lemah.

Antara keajaiban hikmah Allah SWT adalah, Dia menjadikan ganjaran segera bagi kebaikan, iaitu kesihatan dan kecergasan. Allah SWT juga menyediakan seksaan segera bagi maksiat, iaitu penyakit. Berapa ramai lelaki yang umurnya belum sampai 30 tetapi kelihatan seperti 60 tahun. Malah orang yang berumur 60 tahun kelihatan lebih muda daripadanya kerana memelihara diri daripada perkara yang haram.

Pepatah Inggeris mengatakan:
Sesiapa memelihara keremajaannya akan menjaga ketuaannya.

Saya seolah-olahnya mendengar kamu bertanya, ’Ini penyakitnya, apa penawarnya?

Penawarnya adalah kamu kembali kepada sunatullah mengikut aturan yang Allah SWT tetapkan. Allah SWT tidak mengharamkan sesuatu melainkan menyediakan alternatif untuknya.* Allah SWT mengharamkan riba, tetapi menghalalkan jual beli. Allah SWT mengharamkan zina dan menghalalkan perkahwinan. Maka, penawarnya berkahwin.

Sekiranya kamu tidak mampu berkahwin, maka tidak ada cara lain, jagalah diri. Ayah tidak mahu merumitkan tulisan ini dengan istilah-istilah psikologi supaya mampu difahami dengan jelas. Oleh itu, ayah berikan analogi mudah.

Lihat cerek teh yang menggelegak atas api. Sekiranya kamu tutupnya dengan rapi, wap yang tertutup akan meletus. Sekiranya kamu lubangkan cerek itu lalu air tumpah, api akan membakar cerek. Sekiranya kamu sambungkan paip seperti yang ada pada kepala kereta api, kamu dapat menggerakkan kilang, kereta api, dan melakukan kerja-kerja lain yang mengagumkan.

  1. Contoh pertama adalah situasi bagi seorang yang memerangkap dirinya dalam syahwat dengan selalu memikirkan tentangnya dan mengkhayalkannya.
  2. Contoh kedua adalah situasi seorang yang menjebakkan diri ke lorong zina.
  3. Contoh ketiga adalah situasi orang yang menahan nafsu dan memelihara maruahnya.

Menahan nafsu dan memelihara maruah bermaksud kamu menyibukkan diri dengan mengumpulkan kekuatan dalaman, mental, hati, ataupun fizikal. Kamu manfaatkannya dan keluarkan kekuatan yang terpendam ini dengan kembali kepada Allah SWT, melazimi ibadat, bekerja, membuat kajian, menghabiskan masa untuk aktiviti seni, mengungkapkan gambaran yang bermain oleh naluri dengan syair, lukisan, ataupun bersenam dan menjaga badan kamu.

Anakku,❤️

Manusia sayang kepada dirinya melebihi sayang kepada orang lain. Apabila kamu berdiri di hadapan cermin dan melihat bahumu yang bulat, dadamu yang tegap, dan tanganmu yang kuat, pasti badan atlet yang kuat ini akan lebih kamu sukai daripada badan wanita dan kamu tidak rela mengorbankannya, menghapuskan kekuatannya, melemahkan otot-ototnya semata-mata kerana kehitaman ataupun kebiruan mata wanita👁.

Perkahwinan. Itulah penawarnya. Penawar yang lengkap. Sekiranya tidak mampu berkahwin, maka bertahanlah seketika. Ia juga penawar yang mengurangkan kesakitan untuk seketika, tetapi kesannya kuat. Kesannya memberi manfaat kepada kamu dan tidak ada kesan sampingan.


Di sebalik penawar ini terdapat golongan yang lalai dan rosak mendakwa bahawa penawar masalah sosial ini adalah membiasakan lelaki dengan perempuan bercampur bagi meredakan syahwat kerana selalu bersama dan membuka pusat pelacuran supaya lelaki dapat mendapatkan khidmat pelacur secara rahsia. Ini semua omongan kosong❗️ Semua bangsa kafir ini sudah mengamalkan percampuran dan kesannya tidak lain hanya menambahkan syahwat dan kerosakan. Perihal pusat pelacuran pula, sekiranya kita membenarkannya sekalipun, kita perlu meluaskannya supaya mencukupi untuk semua remaja lelaki. Ini bermakna di Kaherah kita perlu sediakan lebih daripada 10 ribu pelacur kerana di Kaherah ada sekurang-kurangnya 10 ribu lelaki.

Jikalau kita benarkan para pemuda mengunjungi pusat-pusat ini dan tidak mahu berkahwin. Lalu, apa harus kita lakukan dengan pemudi kita❔ Adakah kita patut membuka pusat pelacuran yang pelacurnya terdiri daripada kaum lelaki❔ Demi Allah, ini omongan kosong, anakku.

Mereka tidak berbicara dengan akal, tetapi dengan nafsu. Mereka sebenarnya tidak mahu memperbaiki akhlak, membangunkan wanita, memakmurkan bandar, menyemarakkan semangat kesukanan mahupun mewujudkan persaingan jantina dalam kehidupan universiti. Ia hanya omongan kosong. Setiap hari mereka mencipta slogan-slogan baru bagi mempromosikan kempen mereka. Mereka mahu mengeluarkan anak dan saudara perempuan kita dengan tujuan supaya mereka dapat melihat tubuh anak dan saudara perempuan kita sama ada yang luaran mahupun yang tertutup, menemani mereka berjalan, menari bersama mereka di majlis tarian. Malangnya sebahagian daripada ibu bapa terpedaya dengan dakyah mereka ini lalu mengorbankan maruah mereka semata-mata untuk dikaitkan ’bertamadun’.

Wahai anakku, berkahwinlah walaupun kamu masih belajar. Sekiranya kamu tidak mampu, berpegang teguhlah dengan sifat takut dengan Allah SWT. Sibukkanlah diri dengan beribadat, belajar, kerja seni, dan bersukan. Ia adalah sebaik-baik penawar.

(Tamat)