Kenapa Saya Melakukan Inovasi dalam P&P?

Manusia dianugerahkan Allah dengan akal yang melayakkannya mentadbir alam sebagai khalifah. Dengan akal manusia sentiasa berfikir dan melakukan penambahbaikan. Salahsatu daripada kaedah penambahbaikan adalah melalui inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Inovasi perlu dilakukan untuk:

Meningkatkan Keberkesanan P&P

Tugas pendidik adalah mendidik. Namun, kaedah pendidikan yang tidak sesuai ibarat mencurah air ke daun keladi — membazirkan sumber dan tenaga. Justeru, inovasi diperlukan untuk memastikan setiap titisan air yang dicurahkan meningkatkan kapasiti dan kualiti buah yang dihasilkan.

Membangkitkan Kecintaan Pelajar kepada Ilmu

Tak kenal maka tak cinta. Tanpa cinta, pembelajaran menjadi kaku, suram, membebankan dan tidak bermakna. Fleksibiliti, kreativiti dan inovasi membolehkan pelajar menikmati setiap sesi pembelajaran dengan penuh keterujaan.

Meningkatkan Penglibatan Pelajar di dalam Proses Pembelajaran

Penglibatan pelajar secara aktif di dalam aktiviti kelas meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar di dalam kelas. Inovasi diperlukan untuk menghidupkan suasana pembelajaran yang segar dan bertenaga melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang dengan teliti.

Dinamika Pendidikan Alaf Baru untuk Generasi Baharu

Zaman berubah. Generasi hari ini sama sekali berbeza dengan generasi terdahulu meski fitrah manusia tidak berubah. Pesan Saidina Umar al-Khatab:

Didiklah anak kamu mengikut zamannya..

Setiap pelajar adalah anak-anak yang perlu dibimbing dengan penuh kebijaksanaan. Hal ini menuntut kaedah pembelajaran yang dinamik dan bersesuaian dengan citra zaman. Mahasiswa generasi Y mulai beransur-ansur bergraduat daripada universiti dan ruang-ruang eksklusif tersebut mulai diisi oleh generasi Z. Persekitaran digital dan ledakan maklumat menjadikan mahasiswa era ini jauh berbeza dengan mahasiswa era terdahulu. Inovasi terbaik sentiasa diperlukan untuk menggilap dan menyerlahkan sepenuhnya potensi dan bakat mahasiswa untuk melahirkan graduan idaman yang berupaya menata dan menambahbaik setiap sudut landskap keluarga, komuniti dan organisasi dengan kepujian.