Ulasan filem ke lapan Tarantino.

Tarantino datang lagi dengan filem ke lapan iaitu The Hateful 8. Filem ni tak menghampakan, sama seperti filem-filem Tarantino yang lain. Filem kali ni mempunyai rangka plot seperti Reservoir Dogs iaitu sekumpulan manusia terperangkap di suatu tempat dan berlaku satu konflik, dengan latar Western ala-ala Django Unchained tetapi kali ini dengan ribut salji.

Benda yang paling aku suka dalam filem ini ialah sinematografinya ataupun dalam bahasa mudahnya mengikut fahaman aku ialah teknik merakam gambar. Aspek ratio filem ni memang aku suka dan khabarnya filem ini telah dirakam menggunakan Ultra Panavision 70. Aku tak mahir sangat untuk explain pasal aspek teknikal pengkameraan yang depa guna ni, tapi usaha mereka ni nampaknya membuahkan hasil yang menjadikan filem ni distinct dari yang lain. Setiap shot dalam cerita ni memang sedap. Kalau kau dah menonton kebanyakan filem Tarantino kau akan akui perkara ni. Kebanyakan filem QT (Quentin Tarantino) sebelum ini kalau nak dibandingkan dengan TH8 (The Hateful 8) mempunyai sinematografi yang boleh dikatakan biasa sahaja dan yang paling menonjol pun mungkin Pulp Fiction. Latar tempat yang terpencil iaitu di dalam hutan dan di atas bukit juga mungkin menyumbang kepada kekemasan sinematografi dalam TH8 jikalau nak dibandingkan dengan filem-filem QT sebelum ini yang lebih banyak berlatar tempat di bandar dan pekan.

Benda yang paling tak kena sekali dalam filem ini pada mata aku ialah pemilihan seorang pelakon iaitu tak lain tak bukan ialah Channing Tatum (CT). Cerita ni berjalan dengan lancar sehinggalah kemunculan CT. Bila ternampak CT terus aku teringat 21 Jump Street. Aku sebenarnya tak ada masalah dengan CT, tapi bila CT muncul dengan membawa watak sebagai abang kepada Daisy Domergue aka The Prisoner, aku rasa macam feel Western tu terus jadi spoiled. Mungkin kalau orang lain yang membawakan watak CT tu, cerita ni akan jadi lebih ok.

Untuk elemen atau “tema” yang selalu dibawa dalam filem QT yang juga ada dalam TH8 ialah kesan khas yang gory, pistol dan tembakan berterusan selama beberapa minit, orang kena tembak (mati dan tak mati), kolam darah, darah pancut, tembak secara tiba-tiba, massacre, penipuan, balas dendam, motif tersembunyi, elemen homoseksual, diskriminasi kulit hitam dan easter eggs(?) untuk kita sama-sama bincangkan yang kali ni datang dalam bentuk surat dari Abraham Lincoln kepada watak Major Marquis Warren yang dibawa oleh Samuel L. Jackson. Aku tak pasti sama ada easter eggs ni valid atau tak, tapi setakat menonton filem TH8 ini sebanyak baru satu kali, aku masih keliru tentang hal ni. Jawapan yang paling konkrit setakat ni yang aku convince ialah Major Warren reka cerita pasal surat tu dan tulis sendiri surat tu supaya orang kulit putih yang jumpa dia akan lebih respek pada dia. Tapi boleh jadi juga surat tu memang betul dari Abraham Lincoln, kan? Hrmm, boleh jadi jugak.

Ok setakat ni saja. Sampai jumpa!