Anjakan sekular Iran: Tinjauan baharu tunjukkan perubahan besar dalam kepercayaan agama

Iran sedang berubah menjadi lebih sekular. Abedin Taherkenareh/EPA

Diterjemah oleh: Afiq Harraz

Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979 merupakan sebuah peristiwa penting yang mengubah cara kita berfikir tentang hubungan antara agama dan kemodenan. Pergerakan Islam besar-besaran yang dipimpin oleh Ayatollah Khomeini menunjukkan bahawa modenisasi tidak semestinya membawa kepada kemerosotan keagamaan.

Walau bagaimanapun, data berskala besar yang boleh diguna pakai berkenaan kepercayaan agama di Iran selepas era revolusi sangatlah kekurangan. Meskipun demikian, sejak kebelakangan ini, pelbagai penyelidikan dan gelombang protes serta tindakan keras yang diambil ke atas protes-protes tersebut menunjukkan kekecewaan besar dalam kalangan rakyat Iran terhadap sistem politik mereka. Kekecewaan ini kemudiannya berubah secara tekal ke arah ketidak puasan hati yang amat mendalam terhadap keinstitusian agama.

Pada Jun 2020, institut penyelidikan kami, the Group for Analyzing and Measuring Attitudes in IRAN (Kumpulan Analisa dan Pengukuran Sikap di Iran) (GAMAAN) menjalankan satu tinjauan atas talian dengan kerjasama Ladan Boroumand, pengasas bersama Abdorrahman Boroumand Center for Human Rights in Iran (Pusat Hak Asasi Manusia Abdorrahman Boroumand di Iran).

Hasil tinjauan kami mengesahkan perubahan ke arah masyarakat sekular yang tidak pernah terjadi sebelum ini dalam kalangan rakyat Iran.

Mendekati Rakyat Iran di atas Talian

Bancian dijalankan kerajaan Iran yang mendapati bahawa 99.5% populasi di Iran mengenal pasti diri mereka sebagai Muslim merupakan angka yang menyembunyikan sikap aktif kerajaan yang memusuhi ketidak agamaan, penukaran agama serta komuniti minoriti penganut-penganut agama yang tidak diiktiraf.

Rakyat Iran senantiasa hidup dalam keadaan takut dengan tindakan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa Iran ke atas sesiapa yang menyuarakan tentangan terhadap kerajaan. Di Iran, tiada sesiapa pun dibenarkan untuk membuat panggilan atau membuat kunjungan rumah ke rumah untuk mendapatkan jawapan kepada soalan-soalan tinjauan yang dianggap sensitif. Oleh sebab itulah peluang untuk mengambil kesempatan ke atas kerahsiaan di sebalik tinjauan digital atas talian tidak disia-siakan untuk mengumpul maklumat mengenai pandangan rakyat Iran terhadap agama.

Sedari berlakunya Revolusi Islam, kadar literasi telah meningkat dengan mendadak dan populasi bandar telah berkembang dengan kadar yang amat besar. Ketercapaian internet di Iran pula boleh dibandingkan dengan negara Itali, di mana Iran mencatatkan lebih kurang 60 juta pengguna internet dan ianya semakin bertambah tanpa henti: 70% orang dewasa di Iran mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun media sosial.

Untuk tinjauan kami ke atas kepercayaan agama di Iran, kami menyasarkan saluran digital yang pelbagai setelah menganalisa kumpulan-kumpulan yang menunjukkan kadar penyertaan yang rendah dalam tinjauan besar-besaran yang kami lakukan sebelum ini. Pautan tinjauan terbabit dikongsikan dalam talian yang merangkumi rangkaian Kurdish, Arab, Sufi dan lain-lain. Tambahan pula, pembantu penyelidik kami juga berjaya meyakinkan saluran-saluran rejim pro-Syiah untuk menyebarkan pautan tinjauan ini kepada pengikut-pengikut mereka. Kami juga berjaya mengongsikan tinjauan tersebut di laman-laman Instagram dan saluran Telegram yang mempunyai beberapa juta pengikut lantas membenarkan tinjauan kami untuk sampai ke khalayak ramai.

Setelah membersihkan data kami, sampel yang boleh diguna pakai merupakan angka yang hampir mencapai 40 ribu rakyat Iran yang tinggal di negara terbabit. Sampel ini kemudiannya ditimbang tara kepada populasi sasaran iaitu rakyat Iran yang celik huruf berumur 19 tahun ke atas, menggunakan lima pemboleh ubah demografik dan kecenderungan pengundian sewaktu pilihanraya presiden pada tahun 2017.

Iran yang sekular dan pelbagai

Keputusan tinjauan kami menunjukkan perubahan yang mendadak dalam sifat keagamaan rakyat Iran dengan kenaikan dalam aspek sekularisasi dan kepelbagaian kepercayaan dan agama. Apabila dibandingkan dengan bancian kerajaan Iran yang mendapati 99.5% populasi mengenal pasti sebagai Muslim, kami mendapati bahawa hanya 40% sahaja yang mengidentifikasi diri mereka sebagai Muslim.

Berbeza dengan propaganda kerajaan yang menggambarkan Iran sebagai sebuah negara Syiah, hanya 32% daripada sampel kami mengaku sebagai penganut Syiah manakala 5% pula mengenal pasti diri mereka sebagai mengikuti ajaran Ahlus Sunnah Wal Jama’ah dan 3% pula sebagai Sufi. Selain daripada itu, 9% daripada sampel yang diambil menyatakan diri mereka sebagai ateis, dengan 7% pula lebih senang dikenali dengan label kerohanian (spirituality). Antara agama-agama lain yang dipilih, 8% mengatakan bahawa mereka menganut kepercayaan Zoroastrian — yang mana kami tafsirkan sebagai lebih kepada lambangan nasionalisme Parsi dan keinginan untuk suatu alternatif selain Islam, berbanding kepatuhan kepada kepercayaan Zoroastrian itu sendiri — manakala 1.5% menyatakan bahawa mereka adalah penganut agama Kristian.

Kebanyakan rakyat Iran, 78% daripada mereka, percaya dengan kewujudan tuhan tetapi hanya 37% sahaja percaya tentang kehidupan selepas mati dan hanya 30% sahaja percaya akan kewujudan syurga dan neraka. Selari dengan kajian antropologi yang lain, satu perempat daripada responden-responden kami menyatakan bahawa mereka percaya dengan kewujudan jin. Sekitar 20% pula tidak percaya pada semua pilihan tersebut, termasuklah kewujudan tuhan.

Angka-angka ini memberikan gambaran bahawa suatu proses sekularisasi yang umum, yang menggalakkan kepelbagaian agama, sedang berlaku di Iran. Jumlah yang amat besar, 90%, daripada mereka mengenal pasti diri mereka sebagai seseorang yang membesar dalam sebuah keluarga yang menganut sesuatu agama ataupun keluarga yang mengamalkan kepercayaan agama. Namun begitu, 47% melaporkan tentang kehilangan kepercayaan ke atas agama mereka sepanjang kehidupan mereka, dan 6% mengatakan bahawa mereka telah menukar daripada suatu agama kepada agama yang lain. Kalangan orang muda pula melaporkan ketidak agamaan yang lebih tinggi dan penukaran agama kepada Kristian berbanding responden-responden yang lebih tua.

Sepertiga daripada mereka mengaku tentang pengambilan minuman beralkohol sekali-sekala walaupun mereka hidup dalam negara yang mengawasi kegiatan terbabit melalui undang-undang yang keras. Lebih daripada 60% berkata mereka tidak mengamalkan amalan sembahyang 5 waktu harian, selari dengan tinjauan yang didukung oleh kerajaan Iran pada tahun 2020 yang melaporkan bahawa 60% daripada rakyat Iran tidak mengamalkan ibadah berpuasa sewaktu bulan Ramadan (majoriti daripada jumlah tersebut menyatakan alasan sebagai “sakit”). Sebagai perbandingan, dalam sebuah tinjauan menyeluruh yang dilakukan pada tahun 1975 sebelum Revolusi Islam, lebih daripada 80% rakyat Iran menyatakan bahawa mereka melakukan amalan sembahyang 5 waktu harian dan juga berpuasa di bulan Ramadan.

Agama dan perundangan

Kami mendapati bahawa sekularisasi masyarakat di Iran boleh dikaitkan dengan pandangan yang kritikal terhadap sistem pemerintahan beragama: 68% bersetuju bahawa ketetapan keagamaan sepatutnya diasingkan daripada perundangan, walaupun sesuatu kepercayaan agama tersebut dianuti oleh sejumlah majoriti di parlimen, dan 72% menentang undang-undang yang mewajibkan pemakaian hijab ke atas semua wanita.

Rakyat Iran juga mempunyai pandangan sekular yang tidak liberal berkenaan kepelbagaian agama: 43% berkata mana-mana agama tidak sepatutnya mempunyai hak untuk berdakwah di khalayak umum. Meskipun demikian, 41% percaya akan hak bagi setiap agama untuk dipaparkan kepada orang ramai.

Empat dekad yang lalu, Revolusi Islam memberi pengajaran kepada ahli sosiologi yang menunjukkan kesepadanan kaedah sekularisasi Eropah tidaklah sejagat di seluruh dunia. Sekularisasi yang berlaku di Iran selepas Revolusi yang disahkan oleh tinjauan kami menunjukkan bahawa Eropah bukanlah tersendiri tetapi merupakan sebahagian interaksi global yang rumit antara keagamaan dan sekularisasi.

Penyelidikan lain ke atas pertumbuhan populasi, yang mengaitkan pengurangan populasi dengan peningkatan tahap sekularisasi, juga mengusulkan kemerosotan keagamaan di Iran. Pada tahun 2020, Iran mencatatkan pertumbuhan populasi paling rendah iaitu pada kadar kurang daripada 1%.

Akses ke serata dunia yang lebih mudah dan meluas melalui internet, tetapi juga melalui interaksi dengan diaspora rakyat Iran di seluruh dunia dalam jangka masa 50 tahun yang lalu sehingga kini, telah mewujudkan komuniti-komuniti baharu dan pelbagai pengalaman keagamaan dalam negara tersebut. Peleraian kuasa antara pihak kerajaan dan pihak berkuasa agama pada masa hadapan barangkali akan merancakkan lagi transformasi masyarakat ini. Iran, seperti yang kita kenali sekarang, sedang melalui perubahan secara fundamental.

**Terjemahan oleh Afiq Harraz daripada artikel penerbitan The Conversation oleh Pooyan Tamimi Arab (Universiti Utrecht) dan Ammar Maleki (Universiti Tilburg) yang diedit oleh Misha Ketchell (Editor, The Conversation).