Ulasan Filem: Gie

Gie

“Aku tak mau jadi pohon bambu, aku mau jadi pohon oak yang berani menentang angin” — Soe Hok Gie

Itulah antara ungkapan magis yang lahir daripada susuk tubuh seorang anak muda tatkala masyarakat berada dalam zaman prahara budaya di mana kuasa tirani berdiri atas nama “demokrasi terpimpin”. Soe Hok Gie, atau lebih mesra dipanggil Gie, adalah tokoh penting mahasiswa sekitar zaman pemerintahan Soekarno yang telah melakarkan faham politik dari sudut yang tuntas dan kritikal tanpa melihat kepada garis sempadan agama dan bangsa, sebaliknya berdiri atas dasar kebenaran dan keadilan sejagat. Aspirasi dan cita-cita perjuangan beliau jelas terungkap dalam dialog watak Gie yang dimainkan sendiri oleh Nicholas Saputra,

Saya ingin melihat mahasiswa-mahasiswa, jika sekiranya ia mengambil keputusan yang mempunyai arti politis, walau bagaimana kecilnya, selalu didasarkan atas prinsip-prinsip yang dewasa. Mereka yang berani menyatakan benar sebagai kebenaran, dan salah sebagai kesalahan. Dan tidak menerapkan kebenaran atas dasar agama, ormas, atau golongan apapun”

Kisah Gie pada awal paparan hidupnya di dalam filem ini diterjemahkan sebagai seorang anak murid yang egois bersulamkan cita-cita besar dan sifat manusiawi yang mendalam. Dalam satu babak filem ini, Gie dilihat berani membangkang gurunya tentang perihal status Chairil Anwar dalam penterjemahan karya Andre Gide. Hal ini bukanlah aneh kerana Gie sendiri sudah mula berkenalan dengan buku-buku karangan filsuf ternama seperti Camus, Marx, dan Tagore sejak dari usia yang muda. Naluri beliau kuat mengatakan bahawa beliau di pihak yang benar manakala sang guru di pihak yang salah. Akibatnya, beliau dihukum berdiri keseorangan di lapangan sekolah hanya kerana perbuatannya membangkang apa yang disampaikan di dalam kelas. Api ego Gie semakin menyala tatkala melihat sang guru memberikan markah lebih kepada seorang anak muridnya yang lain hanya atas dasar kekeluargaan.

Bagi Gie, api yang makin marak ini wajib dihamburkan ke atas batang tubuh sang guru. Lantas, Gie bersama rakan baiknya, Han mengekori sang guru sehingga ke rumah untuk diberikan pengajaran setimpal dengan apa yang telah lakukan. Naluri manusiawi Soe Hok Gie mula terbit tatkala melihat kedaifan sang guru bersama keluarganya yang tinggal di kawasan setinggan yang kotor dan sesak. Kayu yang dipegang beliau jatuh dari genggaman tangan ke tanah. Api ego yang suatu ketika marak menyala tenggelam dengan terbitnya cahaya manusiawi seorang anak muda yang tulus menghendakkan keadilan sosial untuk semua.

Riri Riza memaparkan kisah hidup Gie di alam mahasiswa dari beberapa sudut yang menarik untuk diamati bersama. Dari sudut identiti gender, Intan Paramaditha di dalam tulisan beliau bertajuk “Contesting Indonesian Nationalism and Masculinity on Cinema” menyifatkan watak Gie sebagai antitesis kepada simbol bapakisme (praktik hubungan pemimpin dan bawahan yang meniru pola hubungan bapak dan anak) yang muncul pada zaman Orde Baru pimpinan Soeharto di Indonesia. Dalam erti kata lain, watak Gie di alam mahasiswa menyanggah fahaman yang hanya mereka yang berpakaian askar dan penuh dengan sifat maskulin layak disanjung sebagai wira menentang tirani versi Soekarno. Sebagai contoh, Gie dilihat sebagai seorang yang sangat fasih dalam lisan tetapi tidak mampu untuk berentap secara fizikal. Sementalahan, sifat maskulin Gie dicabar dengan kegagalan dalam hubungan peribadi beliau dengan mahasiswi-mahasiswi seperti Ira dan Sinta. Bagi Paramaditha lagi, pembinaan watak Gie oleh Riza ini membawa kepada pembentukkan satu watak kelelakian yang baharu dan akhirnya mencabar simbol sistem patriarki di zaman Soeharto.

Seterusnya, arena politik di alam mahasiswa Gie wajar diamati bersama untuk dijadikan teladan pada masa kini. Riza di dalam Gie memberikan gambaran bahawa politik mahasiswa sekitar tahun 1960-an di Indonesia dipenuhi dengan pergaduhan dan berantakan sesama kumpulan yang berbeza fahaman. Gie pada mulanya kurang berminat dengan arena politik dan menyifatkannya sebagai kotor dan seharusnya dijauhi oleh aktivis-aktivis MAPALA (Mahasiswa Pencinta Alam). Tetapi dek kerana cintanya yang tinggi terhadap Fakulti Pengajian Sastera di Universiti Indonesia (UI), lantaran itu beliau meyakinkan Herman untuk bertanding dalam pilihanraya fakulti agar fakulti sastera tidak dicemari dengan mana-mana ideologi politik yang bobrok. Nicholas Saputra dalam pembawakan watak Gie mengungkapkan dialog,

Bagiku sendiri politik adalah barang yang paling kotor, lumpur-lumpur yang kotor tapi suatu saat dimana kita tidak dapat menghindari diri lagi, maka terjunlah.”

Dari satu sudut yang lain, suasana politik mahasiswa di UI pada waktu itu mampu diteliti menggunakan teori pengetahuan dan kekuasaan daripada perspektif Foucault. Foucault di dalam magnum opus (karya-karya agung) beliau “The History of Sexuality” menyifatkan kekuasaan sebagai sesuatu yang tidak dimiliki dan dipraktikkan di dalam satu arena yang dipenuhi dengan aktor-aktor yang berbeza. Tambah beliau lagi, kekuasaan sebenar bersifat omnipresence dimana ia tidak dimiliki oleh sesiapa dan teraktualisasi lewat diskusi dan ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, suasana politik mahasiswa di UI pada zaman pemerintahan Soekarno dipenuhi dengan diskusi-diskusi dimana akhirnya membentuk nilai pandu kekuasaan yang tidak formal dikalangan mahasiswa. Keadaan ini merupakan satu antitesis kepada faham umum kekuasaan yang bersifat atas-bawah semisal kediktatoran Soekarno ke atas rakyat jelata.

Sudut akhir yang menarik untuk diamati bersama ialah aktiviti kesenian dan kebudayaan Gie semasa bergelar mahasiswa. Gie merupakan antara aktivis MAPALA yang bergiat aktif dalam mengupas filem-filem luar untuk membentuk cara pandang dunia (Weltanschauung) bersulamkan apresiasi terhadap seni. Selain daripada filem, Gie juga mempunyai citarasa yang tersendiri dalam hal memilih lagu untuk didengari. Salah satu lagu yang beliau terjemahkan secara mendalam tatkala bersama Herman ialah Dona-Dona nyanyian Joan Baez. Lingkup kesenian Gie juga tidak terbatas kepada kupasan filem dan lagu, malah meliputi puisi-puisi yang ditulis beliau seperti Mandalawangi, Sebuah Tanya, dan Puisi Terakhir. Cara pandang dunia berlapiskan seni dan budaya ini akhirnya menjadikan Gie sebagai seorang yang tenang dalam uji cabar dan debar, berlainan dengan para seteru beliau yang rakus menginginkan kemenangan dalam perdebatan.

Sebagai penutup, filem Gie wajar untuk diteliti agar intipatinya mampu menjadi ubat untuk di mana-mana “negeri amplop” sepertimana yang digambarkan oleh Gus Mus di dalam puisi beliau. Nicholas Saputra, dalam tulisannya “Catatan Seorang Aktor” mengharapkan agar naskah-naskah seperti filem Gie ini dan buku Catatan Seorang Demonstran mampu menginspirasikan semua yang menelitinya kelak. Akhir kalam, telitilah dialog Nicholas Saputra dalam salah satu babak Gie sebagai renungan bersama.

“ Aku tak tahu mengapa aku merasa agak melankolis malam ini. Aku melihat lampu-lampu kerucut dan lalu lintas kota Ibukota dengan warna-warna baru seolah-olah semuanya diterjemahkan dalam kombinasi wajah kemanusiaan. Semuanya terasa mesra tapi kosong seolah-olah aku merasa diriku yang lepas dan bayangan-bayangan yang ada menjadi puitis sekali dijalan-jalan. Perasaan sayang yang amat kuat menguasai diriku, aku ingin memberikan suatu rasa cinta kepada manusia.”

A single golf clap? Or a long standing ovation?

By clapping more or less, you can signal to us which stories really stand out.