Dunia Buku

Kalau nak diceritakan bagaimana aku minat membaca, mungkin kau akan menghukumi aku sebagai seorang Muslim yang sesat. Aku harap kau baca dengan hati yang terbuka. Aku percaya kepada keragaman di mana Tuhan ciptakan manusia berbagai ragam dan semua orang pasti memiliki cerita yang berlainan.

Aku rasa benda yang paling bagus masa ini adalah baucer buku. Pada awalnya, aku tidak tahu mahu pilih buku apa. Jadi, aku main ambil sahaja buku mana yang aku mahu. Komik, apa-apa entah. Ada juga aku ambil buku keagamaan. Mana tahu lekat.

Sampai satu masa, aku tertarik dengan satu buku. Falsafah Hidup. Terjumpa di Kinokuniya. Terdetik hati aku untuk membaca sedikit tentang apa buku ini. Agak menarik. Aku perlukan satu falsafah dalam kehidupan. Mana tahu boleh jadi orang yang lebih baik.

Aku ambil. Tapi baca tak habis pun lepas beli. Sampai sahaja aku di UMS, baru aku habis baca. Memang bagus buku ini. Ditulis oleh Hamka, ulama tersohor. Tulisan yang boleh menyentuh jiwa. Dari segi penyampaian ilmu itu lebih berbudi bahasa. Ditambah lagi dengan bahasa sastera yang mampu buat keindahan agama itu lebih menonjol dari biasa. Jarang aku puji seorang ulama, tapi buku ini kau patut cuba baca.

Kemudian diberi pula tugasan untuk membuat sinopsis tentang buku kalau tidak silap, di bawah subjek Tamadun Islam. Ditambah lagi dengan pensyarah yang berfikiran terbuka, kata-katanya asyik menggasak aku untuk berfikir lebih luas. Dr. Hakim.

Entah macam mana ada satu tugasan subjek dia, sampai aku terpaksa rujuk buku di perpustakaan. Dalam kesibukan aku mencari, aku terjumpa satu buku. Tak tahu buku apa. Tapi tertulis Islam di atasnya. Berkait dengan tugasan aku. Aku pun baca. Lebih banyak tentang pengharaman apa yang dilakukan oleh orang Islam di Malaysia. Aku pun hairan. Belek muka surat depan, rupa-rupanya buku Wahabi.

Dalam masa aku membaca, aku tergelak sendirian. Setiap kali baca benda baru, setiap kali itu aku gelak. Kawan aku yang satu kumpulan pun hairan. Aku katakan bahawa aku tak pernah baca benda sebegini. Ini pengetahuan yang baru. Perspektif yang aku tak pernah terfikir. Aku rasa aku kena bentang benda ini. Dan aku bentang di atas pentas.

Tak pernah seumur hidup aku orang beri perhatian dan bagi ekspresi terkejut kepada aku sewaktu pembentangan. Tak pernah juga pensyarah bagi persoalan balik (hanya tentang apa aku bentangkan, padahal ada 3 orang lagi kawan aku yang lain di sebelah)kepada aku semasa pembentangan. Itulah kali pertama.

Jadi, dari buku Wahabi ini, aku mula mempersoalkan tentang agama. Sampaikan ada seorang Ustaz dia mula meragui samada aku terikut dengan fahaman Wahabi. Aku secara terus terang, aku mahu menyatakan bahawa aku tak terpengaruh. Apa yang membuat aku terpengaruh? Hanya dengan soalan dari perspektif Wahabi? Aku cuma ingin tahu. Sampai sekarang aku dah tak bertegur dengan Ustaz itu sebab ada pertelingkahan besar. Bukan pasal Wahabi. Pasal lain.

Aku harap kalau dia baca karangan ini, dia maafkan aku. Aku masih belum matang waktu itu. Tapi aku tak pandang rendah pun dengan dia. Dia masih seorang guru. Semoga dia diberi banyak rahmat dari Allah. Amin.

Dari situ baru aku tahu bahawa mempersoalkan sesuatu itu agak bahaya bagi orang yang tidak tahu apa-apa. Jadi, aku berhenti soal kepada orang lain. Mulakan membaca. Memang, awal-awal membaca kau akan rasa kaulah paling bijak.

Tapi tak bermakna kau kena berhenti. Teruskan membaca, sampai kau rasa kau lah paling bodoh, dan terjatuh ke bawah disebabkan oleh kebodohan kau sendiri. Ilmu itu akan buat kau rasa lebih rendah diri. Kalau meninggi diri, aku rasa masih belum banyak yang kau pelajari. Ataupun, niat kau berlainan.

Ilmu ini bukan senjata untuk berlawan, bertarung siapa lebih pandai. Ini bukan perlawanan. Ilmu untuk kebaikan. Untuk elak diperbodohkan. Untuk mencari kebenaran. Dan ketahuilah, pencarian ilmu takkan pernah habis selagi mana kau masih hidup.

Semakin banyak aku membaca, semakin banyak aku berdiam diri. Mungkin ada masa aku akan bercakap banyak. Tapi selepas itu, aku rasa bodoh, dan terus berdiam diri. Membaca buat aku banyak berfikir. Menjadi lebih peka kepada sekeliling.

Dan aku sukakannya. Berfikir buat aku rasa hidup ini lebih bermakna. Buat aku rasa lebih sifat kemanusiaan dalam diri. Selepas beberapa bulan aku dengan tabiat membaca, aku rasa semangat belajar benda baru itu bangkit semula. Aku mahu tahu lebih dalam tentang sesuatu. Tidak mahu hanya tahu, kemudian tinggalkan. Lebih baik tahu lebih dalam. Seperti akar mencengkam bumi, pohon teguh berdiri walau ditiup angin kencang. Amboih. Haha.

Cuma sayangnya aku masih belum dapat buat ke atas bidang yang aku ambil sekarang ini. Mudah-mudahan nanti aku boleh timbulkan niat itu.

Aku rasa kau kena mula cari apa yang kau mahu dari sekarang. Mungkin ada buku ceritakan tentang itu, dan menjadikan kau seorang pembaca. Pembaca ini mula dari satu buku, buku yang dia minat sampaikan dia rasa ingin membaca buku yang lain-lain. Kau belum jumpa lagi buku itu. Aku doakan kau jumpa suatu hari nanti. Dan berikan manfaat kepada yang lain :)

Show your support

Clapping shows how much you appreciated Chu Wey’s story.