MEMPELAJARI KEPELBAGAIAN BAHASA BUKAN SEKADAR KOMUNIKASI
TATKALA dunia semakin berkembang maju, kebolehan seseorang individu yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi tiket kelebihan buat dirinya.
Hal ini kerana, mempelajari pelbagai bahasa seperti bahasa Mandarin, Jepun, Korea, Perancis dan lain-lain bukan sahaja membuka pintu peluang hubungan antarabangsa, malahan juga membawa pelbagai keistimewaan dari segi kognitif dan sosial kepada individu tersebut.
Tidak dinafikan mempelajari bahasa baharu sangat mencabar dan memerlukan konsisten yang tinggi. Oleh itu, minat dan dorongan orang disekeliling turut memainkan peranan yang penting.
Tidak kira golongan muda mahupun dewasa, sudah pasti pernah menonton drama dari pelbagai negara dan sedikit sebanyak membolehkan seseorang individu itu meningkatkan kemahiran bahasa yang pelbagai.
Terdedah kepada dialog dan kosakata yang digunakan dalam drama tersebut banyak membantu dalam memahami dan mengasah kecekapan berbahasa.
Aktiviti hiburan seperti ini tidak hanya menyediakan hiburan, malahan mampu menjadi platform unik untuk memperkaya pengetahuan, melatih kemahiran bahasa, dan merentas sempadan budaya.
Seterusnya, mempelajari kepelbagaian bahasa memberikan akses kepada budaya-budaya di seluruh dunia.
Dengan memahami bahasa, seseorang individu dapat menyelami nilai dan perbezaan budaya yang menjadikan setiap komuniti itu mempunyai ciri khas tersendiri.
Dengan setiap patah perkataan yang dipelajari, ia turut membuka peluang seseorang individu terdedah kepada pandangan hidup, tradisi, dan kepercayaan.
Inilah keajaiban dan keseronokan memahami dan mendalami bahasa yang pelbagai.
“Setiap kata yang dipelajari dalam bahasa asing turut dibawa bersama nilai-nilai dan adat budaya yang membentuk identiti dan cara hidup komuniti penuturnya”
Selain daripada itu, dengan mempelajari bahasa juga dapat memberi latihan minda yang serba mencabar dan membina kecerdasan secara holistik.
Proses ini merangsang aktiviti kognitif dan membentuk struktur pemikiran yang lebih fleksibel dan kreatif.
Mempelajari bahasa baharu melibatkan pengenalan kepada elemen-elemen tatabahasa dan aturan-aturan baru.
Ini memerlukan kepekaan terhadap perincian dan membentuk kebolehan untuk berfikir secara fleksibel dalam menyusun dan menghasilkan ayat yang betul.
“Proses mempelajari tatabahasa dan struktur ayat dalam bahasa baharu merangsang kepekaan terhadap perincian, membentuk gaya pemikiran yang lebih fleksibel dan teratur.”
Pelbagai cabaran dihadapi terutama dalam pemahaman struktur ayat, penggunaan tatabahasa yang betul juga kosakata yang terhad memerlukan kesabaran dan kesungguhan dalam mencari penyelesaian masalah juga latihan minda yang berkesan untuk meningkatkan kapasiti memori serta daya ingatan jangka pendek.
Kesimpulannya, setiap individu amat digalakkan dalam mempelajari kepelbagaian bahasa kerana bahasa bukan sekadar mengusai kata-kata.
Akan tetapi membentangkan dunia yang luas dan penuh dengan peluang untuk kita menikmati dan menghargai ciri-ciri kepelbagaian bahasa yang ada.
Dengan membuka hati dan minda dalam menyantuni keindahan dan kompleksiti bahasa, kita sebagai masyarakat yang berdaya maju haruslah mengambil peluang dalam membina jambatan antara budaya, melonjakkan pemahaman, dan memupuk semangat keharmonian sesama masyarakat global demi mencapai masa depan yang lebih cemerlang. — NUR AIN BINTI YUSNIZAR, UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA.