Ekonomi pisang
Observasi hidup kapitalis.
Aku jadi kedekut sejak akhir-akhir ini. Iyelah. Sebagai penanam anggur profesional, baki di bank asyik negatif beberapa bulan ini. Jadi setiap perbelanjaan disukat dengan teliti, tidak seperti sebelumnya.
Walaupun begitu, aku masih lagi rasa aku adalah rakyat kelas pertengahan maka semalam aku telah pergi ke pasaraya terkemuka di pusat membeli belah terkemuka di Subang Jaya dengan niat asalnya ialah untuk membeli muffin cokelat dan tomato tin untuk masakan pasta. Namun seperti biasa apabila aku masuk ke pasaraya niat asal hendak membeli dua barang menjadi sebakul barang- barang. Sebelum membuat bayaran aku sempat masukkan pisang cavendish ke dalam bakul. Pisang cavendish jenama terkemuka itu beratnya lebih sedikit sekilo,ada tujuh biji pisang saiz besar dan harganya RM6.70.
Aku bayar harga barang- barang dan bergerak pulang. Di dalam kepala teringat hal pisang juga. Kedai kopi duyung hijau jenama antarabangsa juga ada jual pisang cavendish. Sebiji sebiji. Juga dari jenama terkemuka. Saiz pisang juga hampir sama. Apa yang berbeza adalah setiap biji pisang dibungkus dengan bungkusan plastik berlogo kedai kopi itu. Dan, ini perkara paling penting, harga setiap biji pisang adalah lebih dari RM2.
Nampak tidak permainannya di situ?
Aku memang suka makan pisang cavendish untuk sarapan sebab pisang adalah pemberi tenaga pantas. Namun aku rasa RM2 untuk sebiji pisang yang telah dibungkus dan dilogokan semula adalah sangat mengarut. Aku kesian kepada sesiapa yang membeli pisang RM2 ini. Jika RM2 dibelanjakan di pasaraya terkemuka yang sering digunakan oleh warga luar untuk berbelanja pun, si pembeli boleh dapat paling kurang dua biji pisang cavendish. Kalau bawa RM2 ke pasar tani si pembeli mungkin boleh dapat lebih biji pisang tempatan berbanding sebiji pisang cavendish di kedai kopi. Aku panggil pisang di kedai kopi duyung adalah pisang Kapitalis dengan K besar!
Aku faham dengan cara hidup kelas pertengahan di tanahairku sekarang. Berbelanja di pusat beli belah terkemuka, membeli dan memakai jenama antarabangsa, makan dan minum di restoran tersohor, memandu kereta luar negara dan tinggal di Subang Jaya. Tapi RM2 untuk sebiji pisang cavendish? Aku rasa itu satu kebongokan.