MENGENANG NABI ADAM DI HARI KONVOKESYEN

Majlis konvokesyen merupakan acara yang paling berprestij di universiti. Istilah universiti diambil dari Bahasa Latin iaitu universitas yang berasal dari falsafah Islam. Dalam Islam, ilmu dan bahagian spiritual yang mengetahui (akal) adalah sesuatu yang universal (kuliyyat).

Saban tahun,ribuan graduan yang telah tamat pengajian di pelbagai tahap pendidikan akan menghadirinya. Ianya umpama ritual penyerahan izin dari para guru menandakan seseorang murid itu telah lengkap pemahamannya dan diberikan izin melalui perantaraan sehelai kertas pengiktirafan.

Para graduan kemudiannya mengambil tempat didalam dewan dan beratur dalam barisan yang panjang mengikut fakulti. Istilah fakulti (facultas) ini merupakan terjemahan daripada istilah Arab iaitu quwwah, yang merujuk kekuatan (qudrah) yang ada pada anggota badan. Qudrah pula dalam erti kata lain memiliki sesuatu (malakah) . Dalam Al-Quran dan hadis, kalimah qudrah sangat berkaitan dengan ilmu pengetahuan.

"Salah satu kekuasaan yang Maha Kuasa (Allah) adalah Dia telah memberikan pengajaran kepadanya (Nabi) "
-QS Al-Najm :5

Kemuncak kepada majlis ini adalah penyerahan sekeping kertas ijazah kepada mahasiswa. Kertas itu yang walaupun zahirnya terisi dengan cicahan dakwat dan cop mohor, tetapi sebenarnya roh dan lelah jasad lah yang menjadi tintanya. Penerimaan sijil itu seolah-olah menghilangkan dahaga, sesuailah sifatnya seperti yang dikatakan Imam Nawawi, bahawa ijazah yang merupakan akar dari kalimah 'ajaza selain membawa maksud air yang mengairi kawasan lapang seperti sawah, ianya juga simbolik kepada hilangnya dahaga mereka terhadap ilmu pengetahuan. Maka dengan majlis konvokesyen tersebut sempurnalah pengembaraan keilmuannya.


Kemeriahan dan kemilaunya majlis konvokesyen ini seharusnya membawa kita bertafakur memperingati saat perlawanan intelektual antara malaikat dan manusia yang diwakili bapa kita Nabi Allah Adam A.S. Forum yang menjadi saksi betapa pada akhirnya para malaikat tunduk dan kagum kepada makhluk yang tadinya diragukan keupayaannya mentadbir bumi, namun kini diakui kewibawaannya. Manusia mewarisi DNA keilmuan dari Nabi Allah Adam A.S. Kerana itu saat seseorang mahasiswa memegang skrol di majlis konvokesyen, kenanglah bahawa saat itu anda sedang meraikan temasya keilmuan yg menjadi sebab tunduknya para Malaikat kepada Adam.

Manusia tidak punya sayap untuk terbang, tidak pula dikurniakan kuku yang tajam untuk memburu. Tetapi bangsa manusia dianugerahkan dengan intelektual serta roh, yang mana walaupun roh itu zahirnya sama seperti makhluk lain seperti haiwan tetapi roh dan intelektual inilah yang menjadi sayap bagi insan terbang menuju Tuhan. Adam diberikan Allah kelebihan ilmu dan diajarkan nama sehingga tersingkaplah hikmah kejadiannya yang mencetuskan kekaguman di forum yang disaksikan oleh para malaikat . Bahkan dengan ilmu lah, anak cucu Adam membina ketamadunan dan peradaban, sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh makhluk Allah yang lain.


Ilmu dan Iman

Dari segi linguistik, perkataan ‘ilm berasal dari akar kata ain-lam-mim yang diambil dari perkataan ‘alamah yang bermaksud tanda atau petunjuk. Dalam Sahih Bukhari, bab ilmu (kitab al-ilm) disandingkan dengan bab iman (kitab al-iman). Ini menunjukkan bahawa betapa konsep terpenting di dalam Al-Quran dan As-Sunnah selepas iman adalah ilmu.

Menurut Prof Al-Attas, terdapat dua pembahagian ilmu. Pertama tibanya makna sesuatu objek ilmu ke dalam jiwa pencari ilmu (husul surat al-shay fi al-aql). Kedua, sebagai sesuatu yang diterima oleh jiwa yang aktif dan kreatif. Ilmu juga bermaksud tibanya jiwa pada makna sesuatu objek ilmu (wusul al-nafs ila ma‘na al-shay). Ilmu tidak sama dengan fakta. Kesatuan ini hanya dapat berlaku apabila seseorang yang memiliki potensi juga mempersiapkan intelektual dan spiritualnya. Maka atas dasar bahawa ilmu adalah pemberian Allah kepada sesiapa yang dipilihnya, walaupun ramai manusia yang berpotensi tetapi sedikit yang dianugerahkan ilmu yang betul.


Definisi ilmu seperti yang diungkapkan oleh Prof al-Attas, memberikan kita gambaran yang jelas bahawa pencarian ilmu bukan sekadar pengumpulan maklumat dan fakta. Apa yang penting adalah kefahaman dan kesedaran yang dicapai oleh jiwa atau hati nurani seseorang. Sehingga ilmu yang diperolehinya dapat memberi manfaat kepadanya supaya menjadi pelita yang menerangi kehidupannya. Dengan memahami hakikat ilmu seperti ini maka akan terungkailah kemusykilan mengenai wujudnya segolongan pemegang ijazah yang tinggi hatta dalam pengajian Islam tetapi tidak membawanya kepada hidayah dan jalan yang lurus. Masyarakat memandang golongan ini sebagai ilmuwan, tetapi pada hakikatnya mereka tidak lebih dari sekadar pengumpul maklumat


Apa selepas konvo ?

Maka selepas Adam dikurniakan akal dan jiwa, Baginda pun dihantar ke bumi untuk memakmur dan menjadi khalifah. Demikianlah sunnatullah, seseorang yang dimuliakan Allah akan kefahaman dan pengetahuan seharusnya memanfaatkan ilmunya bagi kemaslahatan masyarakat.

Secara jujurnya, terlalu idealis jika kita mengatakan tujuan universiti diwujudkan harini semata mata untuk melahirkan ilmuan, kerana dasar dan pelaburan yang dikeluarkan oleh para stakeholders atau pemegang taruh di universiti itu sendiri asalnya adalah bagi melahirkan graduan yang mampu berdaya saing mengikut keperluan industri. Bahkan hal inilah antara yang menjadi roh dan nadi lahirnya alma mater keramat orang Melayu iaitu Universiti Teknologi Mara (Institut Teknologi Mara). Universiti yang dipayungi oleh 9 Raja-Raja Melayu ini lahir dari kehendak rakyat yang mahukan kewujudan sebuah institusi pendidikan yang nantinya akan melahirkan intelektual dan pakar yang akan membantu meningkatkan taraf ekonomi dan pendidikan anak bangsa setelah tangan dan kaki mereka dipasung akibat dasar pecah dan perintah British yang tidak menguntungkan Orang Melayu dan Bumiputera. Bahkan Prof Al-Attas sendiri bersetuju dengan visi UNITEN untuk melahirkan tenaga pakar yang akan mengisi kekosongan yang diperlukan oleh industri dan negara.


Namun disebalik matlamat ini, mahasiswa dan graduan memegang kunci yang besar sebagai agen pembebasan dan perubahan masyarakat. Sheikh Khalil Ahmad Al Farahidi ketika mengulas mengenai darjat ilmu,beliau membahagikan para penimba ilmu kepada 4 golongan dan satu darinya ialah mereka yang tahu tetapi tidak tahu bahawa mereka tahu.

Hari ini, ramai dari golongan ini datangnya dari kalangan mahasiswa. Inilah punca kepada banyaknya masalah sosial yang berlaku kepada masyarakat hari ini. Berapa ramai graduan pendidikan keluar setiap tahun tetapi mengapa jumlah anak anak yang buta huruf dan tercicir pelajaran di kalangan masyarakat pedalaman dan Orang Asli tetap ramai? Berapa ramai graduan sains makanan keluar setiap tahun di Malaysia tetapi mengapa statistik UNICEF menunjukkan kanak kanak di perumahan kos rendah di ibu kota Kuala Lumpur menghadapi krisis malnutrisi ? Berapa ramai graduan sains sosial tetapi mengapa masih banyak lagi kelemahan didalam struktur masyarakat kita?

Maka kata Sheikh Khalil Ahmad al Farahidi, solusi kepada golongan ini adalah kejutkan mereka. Segera kejutkan mereka kerana tanpa mereka sedari, pengetahuan yang mereka miliki hasil sistem pendidikan tadi memiliki jawapan kepada permasalahan masyarakat. Bergeraklah dalam tahap dan kemampuan yang dimiliki.Terjun, selami hati budi masyarakat dan seketika, keluarlah dari kelompok elitis.Hulurkan bantuan sekadar yang termampu.


Jika pengkhususan kita dari aliran pendidikan,turun dan lihatlah sendiri berapa ramai anak-anak kita yang tercicir jauh dari pelajaran. Bukan kerana malas tapi kadang kala mereka tidak punya wang untuk membeli buku. Jika pengkhususan kita dari bidang hasil tani, bantulah para nelayan dan petani berbekalkan pengetahuan semasa kita terhadap bidang tersebut.

Jika pengkhususan kita dalam bidang bisnes dan perakaunan, turun dan lihat para peniaga yang meniaga kecil-kecilan di pasar atau tepi jalan. Berikanlah bantuan samaada dari pembangunan sistem atau tukaran idea. Jika pengkhususan kita dalam bidang sains, lihatlah kelompongan yang ada pada anak bangsa kita.Tidak perlu lontaran jargon yang tinggi melangit, sekadar cetuskan api impian dan inspirasi kepada mereka, sebagaimana kita dahulunya terinspirasi dengan dunia sains sehingga membawa kita memilih berada dimana kita berdiri pada hari ini.

Jika pengkhususan kita dalam bidang agama, turun dan santunilah anak anak kita yang berada di lorong-lorong. Berikan mereka harapan dan kasih sayang, yang mungkin tidak mereka jumpa didalam keluarga dan rumah yang porak-peranda. Ajarkan mereka Al-Quran. Berapa ramai rakyat Malaysia yang masih buta Al-Quran, sedangkan kegemaran kita setiap hari adalah berjidal sesama sendiri hal hal khilaf yang telah diselesaikan para imam muktabar. Bumikanlah Al-Quran dalam masyarakat. Sebagaimana Nabi Muhammad S. A. W merubah umat dengan merubah weltanschauung atau perspektif para Sahabat terhadap kehidupan melalui perantaraan surah-surah Makiyyah.

“Berapakah harga segulung diploma jika dalam hati yang empunya itu tiada keberanian? Beratus-ratus, beribu-ribu orang yang keluar dari universiti setiap tahun membawa diploma tetapi yang berani hanyalah yang sanggup ke hadapan. Si pengecut walaupun banyak ilmu,besar gulungan diploma, dia tidak dapat menguntungkan masyarakat dan juga dirinya”
-Buya Hamka,Falsafah Hidup

Demikianlah, orang terpelajar adalah orang yang baik. Baik disini meliputi kehidupan spiritual dan material, dan berusaha menanamkan kualiti kebaikan yang diterima. Oleh sebab itu, orang yang terpelajar menurut Prof Al-Attas adalah orang yang insaf sepenuhnya tanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak, serta menyelenggara penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya. Allamah Iqbal dalam Asrar-i-Khudi menekankan betapa pentingnya peningkatan diri (Khudi).Bahkan baginya, nasib sesebuah masyarakat itu sangat bergantung kepada diri setiap individu yang berada didalamnya berbanding bergantungnya diri dan individu terhadap masyarakat.Hal inilah yang dirumuskan oleh Imam Hasan Al-Banna di dalam konsep Maratib Amal.

Tujuan pendidikan dalam Islam bersifat keagamaan, tetapi yang dimaksudkan oleh Islam bukan hanya peribadi, malah bersifat sosial dan kebudayaan. Kalimah Ad-Din selain membawa maksud cara hidup, ianya juga membawa makna kata ad-dain atau hutang. Ini merujuk kepada hutang hamba terhadap Tuhannya. Maka secara fitrahnya manusia itu sifatnya akur dengan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah. Kalimah Ad-din juga sangat dekat dengan kalimah al-mudun (bandar), yang didalamnya dibangunkan sistem untuk kemudahan masyarakat. Maka kita, dengan kapasiti dan peluang yang ada perlulah membantu dan mengangkat nilai kemanusiaan membimbing satu sama lain.

Selamat berkonvo semua!

P/S: UiTMDiHatiku


Sumber

  • Wan Daud, W. M. D(1995). Falsafah dan amalan pendidikan Islam Syed M. Naquib Al-Attas. Kuala Lumpur: Universiti Malaya Press
  • Al-Ghazali (1905). The alchemy of happiness /Al-Ghazali ;revised and edited based on the translation by Claude Field. Selangor, PJ: Islamic Book Trust