Adat Resam dan Budaya Melayu, Dilupakan atau Dimartabatkan

fatinfauzi
5 min readJan 21, 2024

--

“Adat Melayu tidak akan ditelan zaman.” Kata mutiara yang menunjukkan betapa pentingnya adat resam dan budaya Melayu yang perlu dijaga dan dipelihara sepanjang zaman. Defini adat resam menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun sejak dahulukala di dalam sesuatu masyarakat sehingga ia menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Kepercayaan dan tradisi ini kebanyakannya dibentuk oleh pengaruh budaya luar, yang kemudiannya disesuaikan agar selaras dengan unsur-unsur syariah Islam yang dibenarkan. Adat resam mencakupi pelbagai aspek kehidupan yang meluas dari segi tata cara berpakaian, tatacara beribadah, komunikasi dan interaksi antara masyarakat, kelahiran, perkahwinan dan sebagainya. Budaya merangkumi pola kolektif pemikiran, sikap, nilai, norma, kepercayaan, dan amalan yang dipegang teguh oleh kumpulan individu tertentu. Ia merangkumi pelbagai elemen, termasuk bahasa, seni, muzik, tarian, masakan, pakaian, seni bina dan banyak lagi. Adat resam dan budaya Melayu memainkan peranan penting dalam menentukan identiti dan cara hidup masyarakat Melayu sekaligus memberikan pengaruh yang mendalam terhadap kepercayaan, nilai -nilai, tradisi, dan interaksi sosial sesama komuniti.

Walakin begitu, kalimat penuh makna yang sepatutnya diikuti dan diteladani semakin hilang signifikasinya seiring peredaran masa. Meskipun banyak aspek adat resam dan budaya Melayu yang tetap dijunjung tinggi, beberapa di antaranya mungkin kurang diperhatikan atau dilupakan dalam perkembangan zaman. Generasi yang digelar sebagai generasi Y (1980–1994), Z (1995–2010) dan Alpha (Setelah 2010) termasuk dalam kategori generasi muda yang dikhuatiri semakin pudar pengetahuan dan penghayatannya terhadap salah satu warisan yang menunjukkan keistimewaan dan keunikan masyarakat Melayu. Tatkala modernisasi dan globalisasi menjadi satu indikator yang menunjukkan pembangunan dan kemajuan suatu negara, perubahan gaya hidup dan teknologi juga boleh menyebabkan masyarakat melayu sendiri hilang minat terhadap nilai- nilai tradisional. Pendedahan yang kerap kepada budaya asing atau moden boleh menyebabkan beberapa aspek budaya tradisional dianggap ketinggalan zaman. Urbanisasi merupakan salah satu penyumbang tenggelamnya penerapan adat resam dan budaya melayu dalam jati diri masing — masing. Penghijrahan dan migrasi penduduk dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar boleh mengakibatkan perubahan ketara dalam gaya hidup dan kebiasaan. Dalam persekitaran bandar, tradisi yang biasanya dikaitkan dengan kehidupan kampung dan pertanian mungkin sirna kepentingannya dari semasa ke semasa.

Keindahan dan keanekaragaman adat resam dan budaya Melayu yang dulunya disanjung dan dijaga kini semakin hambar dan hilang sinarnya. Pantun,sajak dan puisi yang acap kali menjadi percakapan harian masyarakat Melayu pada zaman tersebut telah kurang pengaplikasiannya dan hanya menjadi salah satu silibus buku teks pendidikan di sekolah -sekolah. Bahasa melayu klasik seperti bianglala, cakraya, cemara dan sebagainya tidak lagi dijadikan bahasa utama dalam perbualan harian dan digantikan dengan bahasa rojak atau bahasa moden seperti Bahasa Inggeris. Kekurangan pelapis -pelapis yang akan mewarisi seni pertunjukan tradisional seperti wayang kulit, tarian tradisional dan pertunjukan seni tradisional lainnya amat membimbangkan dan berkemungkinan akan lenyap sekiranya tidak dipelihara. Pada zaman dahulu, terutama dalam konteks masyarakat Melayu, terdapat beberapa kebiasaan atau tradisi yang umumnya dilakukan dan masih diingat hingga saat ini. Dua di antaranya adalah “rewang” dan kebiasaan budak-budak yang akan menziarahi dari pintu ke pintu untuk meminta duit raya.

“Rewang” adalah tradisi berkumpulnya sekelompok orang untuk membantu dalam suatu acara atau kegiatan, biasanya dalam persiapan pernikahan atau acara besar lainnya. Kebiasaannya, para rewang berkumpul di rumah calon pengantin atau di tempat acara untuk membantu dalam berbagai persiapan, seperti menyiapkan hidangan, menyusun hantaran, dan memberikan dukungan moral kepada keluarga yang mengadakan acara tersebut. Rewang mencerminkan semangat gotong royong dan kebersamaan dalam masyarakat Melayu. Ini menunjukkan dukungan dari masyarakat setempat untuk membantu keluarga yang mengadakan acara besar. Namun, generasi sekarang lebih gemar dan memilih untuk menempah katering kerana bagi mereka perkhidmatan makanan ini lebih cepat dan mudah. Selain itu, budak-budak atau anak-anak muda dari komuniti setempat sering melakukan kunjungan pintu ke pintu untuk meminta duit raya. Anak-anak muda mengenakan pakaian raya dan membawa bersama mereka sampul berisi wang. Mereka biasanya berkunjung ke rumah-rumah tetangga, sanak saudara, atau teman-teman untuk memberikan salam selamat Hari Raya dan meminta duit raya sebagai simbol kebahagiaan dan berbagi keberkahan. Pemberian duit raya juga dianggap sebagai bentuk amal dan kebaikan. Akan tetapi, kanak — kanak sekarang sudah disajikan dan disibukkan dengan bermain gajet atau permainan video di pagi raya menyebabkan tradisi ini semakin lama semakin dilupakan.

Pemeliharaan dan pengembalian adat resam dan budaya Melayu merupakan tanggungjawab dan memerlukan inisiatif yang menyeluruh dan selaras untuk memastikan kesinambungan dan kelestarian warisan budaya kita yang kaya dan berharga. Walaupun menghadapi cabaran zaman, perkara ini tidak boleh dijadikan alasan dan halangan untuk adat resam dan budaya melayu luntur dan tidak lagi dikenali oleh generasi melayu pada masa akan datang. Memelihara dan memulihkan adat dan budaya melayu adalah satu usaha yang penting dan perlu diambil tahu oleh rakyat Malaysia bukan sahaja bangsa melayu malah bangsa- bangsa yang lain kerana perkara ini merupakan sejarah dan warisan negara Malaysia sendiri. Oleh itu, bagi memastikan adat dan budaya melayu terus hidup, tindakan perlu diambil untuk memulihkan dan mempromosikan kekayaan budaya ini. Langkah pertama yang boleh diaplikasikan ialah dengan menerapkan pendidikan awal dalam silibus pembelajaran di institusi — institusi pendidikan. Memasukkan nilai-nilai budaya melayu ke dalam kurikulum formal memberi peluang kepada generasi muda untuk memahami, menghayati, dan mengekalkan adat resam mereka. Usaha melalui pendidikan ini termasuk pelaksanaan program latihan khusus dan amalan pendidikan tidak formal, serta pembelajaran berasaskan pembelajaran di sekolah. Pengajaran nilai moral dan etika dalam konteks bahasa dan kesusasteraan Melayu klasik, kraf tradisional dan seni budaya dapat menambahkan minat pelajar untuk mempelajari adat dan sejarah. Memperkenalkan adat resam dan budaya melayu dalam versi inovasi digital seperti video dan platform e-learning yang menarik dan berinteraktif dapat meluaskan penglibatan dan perhatian anak -anak muda khususnya mereka yang dilahirkan dalam persekitaran teknologi dan inovasi.

Bagi memelihara adat resam dan budaya melayu, langkah seterusnya yang boleh diambil ialah dengan melibatkan kerja sama kerajaan untuk mengambil usaha yang menyeluruh dan terperinci. Kerajaan mesti memastikan pendidikan sedia ada lengkap dan inovatif dalam menggalakkan dan menyemai adat dan nilai budaya Melayu kepada generasi muda. Ini boleh dicapai dengan menambah bahan pembelajaran yang merangkumi pengetahuan tentang adat dan budaya Melayu, dan dengan melaksanakan program pendidikan yang melibatkan masyarakat Melayu. Tambahan pula, kerajaan harus menyokong dan mempromosikan aktiviti kesenian dan kebudayaan di Malaysia. Aktiviti dan kegiatan ini dapat dilaksanakn dengan memberikan sokongan dan insentif kepada artis dan pengamal budaya Malaysia, serta menganjurkan acara seni dan festival yang mempamerkan keindahan dan kekayaan budaya Malaysia. Demikian itu, generasi muda akan lebih berminat dan berinspirasi untuk mempelajari serta memelihara adat dan budaya Melayu. Kerajaan juga harus melindungi warisan budaya Melayu dengan menggubal undang-undang untuk melindungi dan memelihara tapak bersejarah, barang antik dan tradisi Melayu. Pembangunan infrastruktur yang menggalakkan pemeliharaan adat dan budaya Melayu perlu dijadikan tapak warisan dan sentiasa dikawal agar tapak warisan tidak dapat dicerobohi dan dihapuskan

Adat resam dan budaya Melayu memiliki nilai-nilai yang kaya dan unik sehingga penting untuk dijaga dan dimartabatkan agar tidak dilupakan. Adat resam dan budaya ini merupakan satu warisan yang amat berharga kerana ianya mencerminkan identiti dan melambangkan nama melayu itu sendiri. Pentingnya dalam menjaga adat resam supaya tidak dilupakan telah lama tercoret dalam nukilan peribahasa “Biar mati anak, jangan mati adat”. Hal ini menunjukkan kelestarian dan pengembangan warisan ini perlu menjadi prioriti utama dalam pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira usia. Menghargai, merawat, dan memahami adat resam dan budaya Melayu bukan hanya tanggung jawab individu, tetapi juga suatu bentuk komitmen bersama untuk menjaga keberagaman dan kekayaan budaya yang menjadi bagian integral dari jati diri masyarakat. Menjaga dan memelihara warisan budaya perlu bermula dari sekarang agar generasi pada masa akan datang masih dapat mengenali dan mempelajari adat resam dan budaya dan memperluaskannya di mata dunia.

--

--