Tak Ada Apa Yang Artistik Tentang Kemurungan

Dalam hidupnya, Vincent van Gogh telah menghasilkan lebih 800 lukisan tapi hanya dapat jual satu. Buku saya lebih laku daripada lukisan dia. Tapi saya bukan nak bandingkan diri saya dengan Vincent van Gogh (sebab saya akan menang), saya nak menulis tentang kesihatan mental.


Self-portrait.

Orang selalu mengagung-agungkan kemurungan bila berborak tentang seni. Kemurungan itu dianggap artistik. Kerana seni itu luahan jiwa yang meronta dan hati yang luka. Maka, kalau pengkarya itu dalam kemurungan, seni yang dia hasilkan lebih bermakna dan lebih bagus.

Ini, bak kata orang kampung, adalah hogwash.

Kemurungan itu satu benda yang serius. Bukannya cool.

Saya pasti anda pernah murung kerana kehilangan orang tersayang, gagal dalam kehidupan, putus cinta, atau, kadang-kadang, tak ada sebab pun.

Masa tu, ada tercetus semangat untuk berkarya? Atau sebaliknya, hanya rasa nak baring mengiring atas lantai, peluk lutut, dan tunggu matahari terbit?

Memang seorang pengkarya itu fitrahnya sensitif. Mustahil untuk menulis tanpa perasaan. Nak menaip satu ayat pun macam-macam perasaan timbul. Baguslah. Ayat yang tak punya emosi tak bermakna.

Namun, apa yang lebih penting daripada emosi ialah kraf. Kemahiran menterjemahkan perasaan ke dalam bentuk karya.

Kalau penulis itu tak pandai menyusun kata, atau pelukis itu tak pandai menyambung garis, atau jurugambar itu tak pandai menangkap cahaya, hasilnya kosong dan tak bermakna. Mesejnya takkan sampai. Tak kisahlah betapa sensitif atau deep atau jujur atau terseksanya pengkarya tersebut.

Tak guna kalau anda bekerja dalam keadaan murung. Kemurungan takkan memberi anda apa-apa kelebihan. Hanya membebankan.


Kembali kepada van Gogh. Scene seni barat mengangkat beliau seperti nabi sebab dia hidup beliau amat perit.

Pertama kali saya tahu tentang van Gogh adalah daripada ibu saya. Dalam kereta, masa dia ambil saya dari sekolah, saluran Lite FM memainkan lagu sayu bertajuk “Vincent” oleh Don McLean. Ibu saya cakap lagu itu ditulis untuk seorang pelukis yang mati bunuh diri bernama Vincent van Gogh. Beliau pernah memotong telinga sendiri untuk dihadiahkan kepada buah hati beliau, iaitu seorang pelacur.

Banyak benda yang saya, ketika itu budak tingkatan satu, kena proses: bunuh diri? Potong telinga? Hadiah? Awek pelacur? Pelacur tu apa?

Orang hanya ingat tentang keseksaan Vincent van Gogh kerana kisah hidupnya tragis tapi indah. Beliau terseksa. Beliau terlalu emosion Ramai orang percaya beliau dapat berkarya sebab beliau memilih untuk biar emosi mengawal diri beliau.

Ini, bak kata orang kampung, adalah poppycock.

Berkali-kali beliau cuba mendapatkan rawatan. Berkali-kali beliau keluar masuk hospital sakit jiwa. Malah, beliau banyak juga melukis pemandangan hospital sakit jiwa yang beliau pergi. Beliau tak percaya bahawa untuk berkarya, pengkarya kena biarkan diri dikawal emosi. Sebaliknya, beliau cuba sedaya-upaya untuk mengawal fikiran sendiri.

The Courtyard of the Hospital in Arles.

Hannah Gadsby ada cerita dalam rancangan komedi berdirinya bertajuk Nanette (ada di Netflix) yang selain bunga-bunga, van Gogh juga melukis doktor pakar mental yang dia jumpa iaitu Dr. Gachet.

van Gogh melukis Dr. Gachet memegang bunga foxglove. Bunga ini adalah bahan untuk membuat ubat digitalin bagi merawat van Gogh. Dan ubat ini ada beri kesan sampingan bernama xanthopsia — satu kecacatan pada penglihatan di mana warna kuning nampak lebih kuat daripada warna lain. Macam lukisan-lukisan beliau. (Sumber)

Dr. Gachet

Lagi satu benda yang orang ramai percaya ialah seorang artis itu harus menyendiri, mengasingkan diri daripada masyarakat. Jadi seorang outsider. Macam van Gogh.

Ini bukan saja hogwash, malah juga poppycock.

Dalam esei oleh Maria Popova ini tentang surat Vincent kepada adik beliau, Theo van Gogh, Vincent cakap:

Like everyone else, I have need of relationships of friendship or affection or trusting companionship, and am not like a street pump or lamp-post…

Vincent memang seorang penyendiri tapi bukan kerana beliau memilih untuk jadi begitu. Beliau sakit mental, jadi orang tak senang dengan beliau. Beliau dihindari, dibuli, dan dipulaukan masyarakat.


Gadsby mengakhiri persembahan komedi berdirinya dengan mengingatkan penonton tentang kekuatan kasih sayang. Dia mengingatkan semua bahawa kejayaan van Gogh bukanlah datang dari keseksaan jiwa dan mental; bukan kerana van Gogh merana. Beliau berjaya kerana beliau hebat.

Dan beliau menjadi hebat dengan bantuan dan sokongan Theo van Gogh. Theo bagi duit supaya Vincent boleh melangsungkan hidup sebagai pelukis. Theo juga tak pernah jemu memberi kata-kata semangat melalui surat-suratnya. Theo orang pertama yang nampak Vincent sebagai genius.

Vincent dapat menghasilkan lukisan-lukisan yang indah kerana kasih sayang Theo memberi warna dan makna kepada dunia Vincent.

Dalam surat yang sama kepada Theo pada Ogos 1879, Vincent cakap:

When I saw you again and took a walk with you, I had the same feeling I used to have more than I do now, as though life were something good and precious that one should cherish…
Sunflowers.