Mohammad Hafizuddin Zamri
6 min readJan 16, 2019

Sekilas Pandang Berkenaan Kebebasan Beragama di Malaysia

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam sebagai agama bagi persekutuan dan agama lain bebas diamalkan secara aman dan harmoni dalam mana-mana bahagian dalam persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Perkara 3(1). Hal ini diperkuatkan lagi dengan peruntukan dalam Perkara 11(1) yang memberikan hak kepada setiap orang untuk mengakui dan mengamalkan agama masing-masing. Begitu juga dengan Perkara 12(2) yang membolehkan mana-mana individu atau kumpulan agama untuk menubuhkan dan menyelenggara institusi pendidikan dalam agama kumpulan itu sendiri. Walaupun terdapat jaminan-jaminan sebegini dalam perlembagaan, secara realitinya kebebasan beragama di Malaysia masih tertakluk kepada pelbagai kekangan sama ada dalam kalangan minoriti bukan Islam atau dalam kalangan masyarakat Islam sendiri.

Halangan beragama yang paling menonjol ialah berkenaan dengan sekatan terhadap penyebaran atau dakwah kepada masyarakat yang beragama Islam. Hal ini kerana perlembagaan dibawah Perkara 11(4) menyatakan bahawa “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”. Rentetan dari peruntukan yang sah dalam perlembagaan inilah membuatkan kerajaan-kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan telah menggubal undang-undang untuk menyekat sebarang penyebaran doktrin atau kepercayaan agama lain terhadap orang Islam (Abdullah Saeed & Hassan Saeed, 2004). Hal ini bermakna sebarang bentuk penyebaran agama selain Islam atau doktrin yang tidak tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa agama Islam termasuklah melalui penerbitan dan bahan bercetak kepada masyarakat Islam adalah dilarang sama sekali terutamanya dalam ruang awam.

Bagi masyarakat muslim di Malaysia, mereka dikawal oleh institusi agama di peringkat negeri dan persekutuan seperti jabatan agama Islam negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tentang cara bagaimana mereka harus beragama. Undang-undang di Malaysia bukan hanya menyekat penyebaran agama lain kepada umat Islam, malah sekatan juga berlaku terhadap penyebaran agama Islam jika dibuat tanpa kebenaran (Abdullah Saeed & Hassan Saeed, 2004). Tujuan undang-undang ini dibuat adalah untuk memastikan keaslian versi Islam yang diiktiraf oleh pemerintah iaitu aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Hal ini bermaksud sebarang kepercayaan yang bercanggah dengan pegangan kerajaan ini tidak boleh disebarkan dan diamalkan oleh mana-mana individu atau kumpulan.

Dalam hal ini, penganut ajaran Syiah (satu pecahan dari mazhab Islam) mendapat tekanan paling teruk daripada pihak berkuasa. Hal ini kerana kerajaan tidak mengiktiraf ajaran ini sebagai salah satu pecahan mazhab dalam Islam malah menganggap fahaman ini merupakan fahaman sesat yang menyeleweng daripada akidah ahli Sunnah wal jamaah berikutan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 (Fathi Yusof, Mohd Al-Ikhsan Ghazali & Nik Mohd Zaim Nik Abdul Rahim, 2014). Penganut Islam versi Syiah ini terus ditekan oleh kerajaan dengan mengambil tindakan seperti serbuan di premis-premis yang menjadi markas penganut ajaran ini untuk menjalankan ritual kepercayaan mereka seperti meratapi kematian Saidina Hussain semasa Hari Asyura. Pada bulan September 2017, pihak berkuasa telah menahan seramai 21 orang penganut Syiah di Johor dan 4 orang penganut Syiah di Kedah kerana menyambut Asyura (Kedutaan AS di Malaysia, 2017). Perkara ini jelas menunjukkan diskriminasi dalam mengamalkan sesuatu amalan agama yang sudah tentu bercanggah dengan Perkara 11(1) yang menjamin kebebasan setiap individu untuk mengakui dan mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.

Bukan itu sahaja, rentetan dari tindakan kerajaan menyekat kebebasan beragama penganut Syiah, semua perkara yang berkaitan dengan fahaman ini seperti penulisan ilmiah termasuk buku-buku yang mengandungi unsur Syiah juga turut diharamkan. Ini dibuktikan melalui tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengharamkan penerbitan empat buah buku tulisan penulis yang dianggap kontroversi iaitu Dr. Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani yang juga merupakan seorang felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia kerana didapati mengandungi unsur-unsur penyebaran ajaran Syiah (Bernama, 5 Mei 2015). Keadaan ini jelas menunjukkan sekatan yang dilakukan oleh kerajaan bukan sahaja terhadap kebebasan beragama bagi penganut Syiah tetapi kebebasan untuk mengemukan pendapat atau buah fikiran juga turut disekat jika berbeza dengan orientasi pemahaman agama pemerintah.

Bukan sahaja penganut Syiah, malah terdapat aliran sufi (satu cabang pemikiran Islam) juga disekat oleh kerajaan seperti Tarekat Aurad Muhammadiah (dipelopori oleh pertubuhan Darul al-Arqam yang kemudiannya diharamkan pada tahun 1994) (Ahmad Fauzi Abdul Hamid, 2005). Alasan pengharaman tarekat ini adalah sama dengan alasan yang diberikan untuk mengharamkan ajaran Syiah iaitu bercanggah dengan fahaman ahli Sunnah wal jamaah. Pengharaman Darul Arqam telah menyebabkan ramai pengikutnya ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kegagalan mendaftarkan perkahwinan, didakwa atas kesalahan menyebarkan bahan cetakan yang diharamkan dan sebagainya (Ahmad Fauzi Abdul Hamid, 2005).

Dalam konteks ini, Malaysia masih lagi dilihat ketinggalan dalam mengamalkan konsep kebebasan beragama. Agama tidak dilihat sebagai urusan peribadi individu, sebaliknya kerajaan mencampuri dalam urusan kepercayaan peribadi rakyatnya. Penganut agama Islam dipaksa untuk mengikut fahaman Islam seperti yang digariskan oleh pemerintah dengan taat kerana peruntukaan undang-undang membenarkan tindakan diambil keatas individu yang dianggap menyanggahi peraturan beragama seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di negeri masing-masing. Hal ini termasuklah tidak boleh mencabar keputusan fatwa walaupun mempunyai pandangan yang berbeza dengan fatwa yang dikeluarkan. Dalam isu ini, hak kebebasan bersuara juga dinafikan atas alasan agama. Misalnya, seseorang yang ingin menyampaikan pelajaran agama Islam yang diyakininya kepada orang awam tanpa tauliah atau kebenaran daripada pihak berkuasa boleh dikenakan tindakan undang-undang. Hal ini menunjukkan seolah-olah agama Islam itu hanya ekslusif untuk golongan tertentu untuk menyampaikannya kepada orang lain.

Golongan bukan Islam dilihat lebih bebas mengamalkan agama mereka kerana tidak dikongkong oleh satu institusi negara yang berhak menentukan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan bagi penganut bukan Islam berbanding dengan masyarakat Islam. Jika dirujuk kepada perlembagaan, tiada apa-apa peruntukan yang menyekat hak seseorang untuk menerima atau menolak apa jua agama termasuklah agama Islam (Abdullah Saeed &Hassan Saeed, 2004). Malah kebebasan untuk menyakini apa-apa kepercayaan agama ini dijamin secara sah dalam perlembagaan melalui Perkara 11(1). Namun begitu, disebabkan peruntukan Perkara 11(4) yang membenarkan kerajaan negeri dan persekutuan untuk membuat undang-undang untuk mengawal penyebaran agama selain dari Islam kepada orang Islam, secara tersirat membawa maksud sekatan juga boleh dilakukan kepada orang Islam daripada keluar agama Islam atau murtad. Perkara 12(4) menyatakan bahawa: “Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya”. Hal in bermakna jika seseorang sudah berumur 18 tahun keatas, maka dia berhak untuk menentukan agamanya sendiri walaupun terpaksa menukar kepercayaannya yang dia anuti semasa masih kecil. Namun demikian, hal ini tidak terjadi kepada orang Islam kerana tertakluk kepada undang-undang yang dibuat oleh kerajaan negeri dan persekutuan yang menyekat orang Islam daripada keluar agama Islam.

Secara asasnya, keyakinan terhadap sesuatu kepercayaan agama merupakan urusan hati yang tidak boleh dipaksakan keatas seseorang. Namun demikian, kerajaan dilihat terpaksa untuk menyekat umat Islam terutamanya Melayu daripada berpindah agama kerana Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 160 mentakrifkan Melayu sebagai penganut agama Islam (Abdullah Saeed & Hassan Saeed, 2004). Tetapi, orang bukan Melayu yang beragama Islam juga tertakluk kepada undang-undang yang sama iaitu tidak boleh keluar daripada Islam apabila sudah memeluk agama Islam. Misalnya, dalam kes Wong Chun Chiak @ Kenny Abdullah lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan plaintif, iaitu Kenny adalah seorang saudara baru yang telah membuat permohonan keluar agama Islam kerana ingin berkahwin dengan orang bukan Islam dan kembali kepada agama asalnya iaitu Kristian Roman Katolik. Dalam kes tersebut, Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Husin Ahmad telah mengenepikan permohonan keluar agama beliau (Mohd Sopiee Shiddeq, 2015).

Jika dilihat kepada peristiwa ini, jelas menunjukkan golongan minoriti iaitu kumpulan yang sudah tidak mempunyai keyakinan terhadap Islam dinafikan hak mereka secara sah kerana dibenarkan dalam perlembagaan. Oleh hal yang demikian, Perkara 11(1) tidaklah berjaya untuk menjamin hak kebebasan seseorang untuk mempercayai sesuatu ajaran agama sebaliknya hanya sekadar menjamin hak kebebasan mempertahankan amalan dan cara hidup yang digariskan oleh agama masing-masing (Mohd Sopiee Shiddeq, 2015). Ini menunjukkan peruntukan perlembagaan yang ada dalam negara kita tidak cukup untuk menjamin kebebasan beragama dalam kalangan rakyat kerana kerajaan boleh secara perundangan mencampuri urusan kepercayaan individu.

Rujukan:

Ahmad Fauzi Abdul Hamid. (2005). The Banning of Darul Arqam in Malaysia. Review of Indonesia and Malaysia Affairs, 39(1), 87-128

Bernama. (5 Mei 2015). Empat Buku Faisal Tehrani Diharamkan. Sinar Harian. Diakses daripada http://www.sinarharian.com.my/karya/empat-buku-faisal-tehrani-diharamkan-kata-kdn-1.386948

Fathi Yusof, Mohd Al-Ikhsan Ghazali & Nik Mohd Zaim Nik Abdul Rahim. (2014). Cabaran Isu Perlembagaan Dan Hak Asasi Dalam Dakwah Di Malaysia. Kertas kerja Prosiding Bicara Dakwah kali ke 15: Pengurusan Dakwah Kontemporari di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Diakses daripada https://www.researchgate.net/publication/317

511244_Cabaran_Isu_Perlembagaan_Dan_Hak_Asasi_Dalam_Dakwah_Di_Malaysia

Kedutaan AS di Malaysia. (2017). Laporan Kebebasan Beragama Malaysia. Diakses daripada https://my.usembassy.gov/ms/irf2017_my-053018-ms/

Mohd Sopiee Shiddeq. (2015). Jenayah murtad di Malaysia: permasalahan dari perspektif undang-undang syariah. Jurnal Undang-Undang dan Masyarakat, 19, 9-16.

Musa Awang. (2011, Ogos 18). Kebebasan beragama & sekatan perlembagaan. MalaysiaKini. Diakses daripada https://www.malaysiakini.com/letters/173450

Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Diakses dari http://www.kptg.gov.my

/sites/default/files/article/perlembagaanpersekutuan.pdf

Saeed, A. S. (2004). Freedom of Religion, Apostasy and Islam. Aldershot: Ashgate Publishing Limited