Metropolis Thea von Harbou: Distopia Masa Kini

Irfan Shaharuddin
5 min readAug 10, 2023

[ Artikel ini telah disiarkan di majalah Dewan Sastera edisi September 2021 ]

Poster filem “Metropolis” (1927) oleh Fritz Lang

Secara umumnya, genre sains fiksyen adalah suatu himpunan kisah yang berkait rapat dengan kemajuan teknologi serta sumbangannya pada perkembangan tamadun manusia. Kita seringkali terpesona dengan kecanggihan teknologi yang dianggap dapat melahirkan masa depan yang cerah seiring dengan keupayaan manusia mencipta pembaharuan dalam kehidupan mereka. Namun, setiap kemajuan seringkali mendatangkan kesan langsung yang tidak terduga. Bagi peminat yang menyukai genre ini, mereka pasti arif mengenai dua istilah masyhur yang digunakan oleh pengkarya sains fiksyen iaitu utopia dan distopia. Kedua-dua istilah ini membawa maksud yang mendalam untuk kita renungi. Utopia membawa maksud suatu keadaan masyarakat yang hidup aman damai, sejahtera, dan sempurna tanpa penindasan. Distopia pula adalah keterbalikan daripada keadaan yang disebutkan tadi. Jika kita melihat kepada sejarah penghasilan karya sains fiksyen, Metropolis (1925) oleh Thea von Harbou adalah salah satu karya terawal yang mengangkat isu-isu sosial yang relevan untuk direnungi hingga kini. Penulis yang berasal dari Jerman itu juga pernah mengubah novel tulisannya menjadi skrip filem yang diterbitkan pada tahun 1927.

Cerita tersebut mengisahkan seorang taikun perniagaan bernama Joh Fredersen yang memiliki semua sumber kekayaan di kota Metropolis. Selain itu, watak sampingan seperti Maria adalah seorang tokoh buruh yang berpengaruh serta berpotensi untuk mengubah nasib buruk mereka menjadi lebih cerah. Namun, pendekatan beliau yang sederhana menyebabkan seorang saintis gila bernama Rotwang mengambil keputusan untuk mencipta suatu robot yang menyerupai diri Maria. Robot tersebut berfungsi untuk memimpin revolusi secara radikal untuk mencapai matlamat pembebasan buruh daripada penindasan. Apabila menyedari bahawa robot itu telah menyebabkan kekacauan dalam kalangan masyarakat, Freder iaitu anak kepada Joh Fredersen cuba untuk membetulkan keadaan. Freder cuba mendapatkan Maria serta memberi amaran kepada para buruh bahawa robot tersebut bukanlah diri Maria yang sebenar. Akhirnya, dalam pergelutan panjang di antara Freder dan Rotwang, saintis tersebut telah mati akibat terjatuh dari bangunan yang tinggi.

Perbezaan kedudukan kelas adalah kritikan pertama yang cuba disampaikan melalui kisah yang begitu tragis dan dramatik. Kita tidak pernah menjangka bahawa seawal tahun 1920-an, manusia boleh meramalkan suatu keadaan distopia sekali pun kemajuan dianggap sebagai punca masyarakat untuk bebas daripada sebarang belenggu termasuklah persoalan kelas. Joh Frederson adalah perwakilan golongan elit yang dominan serta berpengaruh dalam menentukan susunan atau sistem sosial masyarakat. Menariknya, Freder mempunyai haluan pemikiran yang berbeza berbanding ayahnya. Beliau mewakili golongan elit yang sedar bahawa sistem sosial adalah ciptaan manusia dan bukannya wujud secara semula jadi. Jika kita mengaitkan dengan situasi kini, kita akan melihat bahawa sistem kerja melebihi waktu sebenar bekerja telah banyak menyebabkan kehidupan sosial kita terabai termasuklah bersama keluarga. Manusia tidak lebih sekadar alat untuk menghasilkan produk akhir yang dinikmati golongan pemerintah serta pemodal. Malah, dalam era wabak COVID-19 yang semakin mengganas ini, kita selalu dituntut untuk melipatgandakan usaha dengan melalukan pelbagai pekerjaan yang dikhuatiri akan menjejaskan produktiviti kita dalam sesuatu pekerjaan.

Kemudian, jurang digital juga menjadi tema utama yang dipersoalkan melalui pemaparan Joh Frederson yang menggunakan sistem pemantauan melalui skrin televisyen yang memaparkan keadaan buruh di lapangan. Sistem tersebut juga dilengkapi panggilan video yang membolehkan beliau memberi arahan secara serta-merta jika berlaku sebarang masalah. Melihat kepada keadaan negara kita yang mempunyai kekurangan dari sudut capaian internet di kawasan pedalaman, maka tidak mustahil bahawa pendidikan dan komunikasi maya juga adalah suatu kemewahan yang tidak mampu dicapai oleh golongan tersebut. Kita tidak seharusnya hanya membina menara pencawang internet di kawasan pedalaman, sebaliknya melihat kepada dasar yang menyeluruh dalam memastikan keadaan sosial mereka diperbaiki terlebih dahulu. Mereka harus mempunyai keupayaan untuk memajukan diri sebelum internet menjadi sebahagian daripada gaya hidup mereka. Golongan pedalaman adalah perlambangan buruh yang tertindas yang terpaksa bergantung hidup pada ketidakadilan sistem yang diwujudkan oleh pemerintah atasan. Oleh itu, kita seharusnya melihat pemodenan dari sudut yang lebih luas iaitu bukan sekadar merapatkan jurang digital dan sosial sahaja, menyediakan keadaan yang lebih adil untuk mereka mengecapi kemakmuran negara secara bersama.

Dari sudut lain pula, Thea von Harbou juga mengangkat isu etika dalam erti hubungan kemanusiaan. Rotwang sebagai seorang saintis telah menyalahgunakan kedudukannya yang terhormat untuk melakukan inovasi yang radikal. Robot ciptaannya adalah suatu simbol protes nyata yang lahir daripada kebenciannya terhadap Joh Frederson dan bukan semata-mata kerana ketidakadilannya. Seharusnya, teknologi menjadi suatu alat yang dapat menyebarkan kedamaian serta kesedaran kepada para buruh untuk menentang secara aman. Jika dibandingkan dengan keadaan semasa, teknologi menjadi suatu barah yang wujud dalam diri masyarakat secara senyap. Etika tidak lagi menjadi keutamaan dalam menegur antara satu sama lain, sebaliknya mengundang kecaman yang berpotensi untuk merosakkan keadaan harmoni masyarakat. Internet tidak lagi menjadi medan untuk kita mempersembahkan sisi terbaik diri, sebaliknya menjadi pentas drama yang berbumbukan niat yang jahat. Selama mana masyarakat kita tidak terdidik dengan adab, maka ilmu dan kemajuan yang kita banggakan ini tidak lebih daripada binaan telaga yang indah namun tidak mengandungi sebarang air yang jernih. Kekacauan dalam masyarakat kadangkala bukan sahaja berpunca daripada sistem sosial yang kita amati, namun sifat masyarakat itu sendiri yang menyebabkan selamanya mereka terperangkap dalam kemunduran persekitaran yang negatif.

Kita mungkin lebih bernasib baik berbanding para buruh dalam kota Metropolis kerana mereka tertindas secara mental dan fizikal. Namun sedarkah kita, kita juga masih tertindas dalam pelbagai segi, termasuklah apa yang dikatakan oleh Prof. Syed Hussein Alatas iaitu di bawah pengaruh minda tertawan ? Beliau memperkenalkan istilah ini bagi menggambarkan golongan intelektual yang tidak berfungsi untuk mengesyorkan serta menggerakkan perubahan ketara dalam masyarakat. Setelah kita mengamati bahawa adab adalah salah satu komponen kemajuan, menggunakan ilmu dengan berkesan juga adalah sama pentingnya. Saban tahun, kita melahirkan pelbagai ilmuan dalam apa sahaja disiplin ilmu, namun jumlah yang benar-benar menyumbang kepada pemerkasaan masyarakat sangatlah kecil. Wajar untuk kita meneliti semula bahawa disiplin ilmu sains sosial terutamanya sosiologi diangkat serta ditonjolkan oleh para ilmuan agar kita dapat menghasilkan semula ramuan terbaik dalam menangani masalah masyarakat secara berkesan. Tanpa menidakkan kepakaran disiplin ilmu lain, kita juga harus menggembleng tenaga secara bersama kerana masalah masyarakat adalah terlalu rumit untuk diselesaikan dari satu sudut sahaja. Usaha kita pada hari ini akan selalu menorakkan bentuk generasi masa hadapan dan Metropolis telah membawa pesan tersebut 96 tahun yang lalu. Di manakah silapnya kita atas kegagalan mencipta masa depan yang lebih progresif ?

--

--

Irfan Shaharuddin

Right to Information (RTI) Coordinator at Centre for Independent Journalism (CIJ), KL