selamat hari ibu, ma.

jadi beginilah 29 Oktober tiba.
pada Isnin yang sesak & mendung.

hari ini kita raikan tipikal:

harus ada mawar di meja kerjamu, rakan-rakan perempuanmu menghurung, menghunus tahniah & ingin tahu yang dilumuri cemburu. rakan-rakan lelakimu berpura endah — mata berahi mereka bertukar hampa.

dengan sukar kau menahan bangga dari melimpah. walau di hujung matamu ia mencuri keluar & di katamu ada riak yang terkesan.

kau tahu kau patut baca nota yang diberikan dengan nada sedikit keras, walau ia peribadi.

kerana ia peribadi.

tapi di baris kedua, selepas ucap selamat kau berhenti. kad itu kau tutup. kerusimu kau tarik. dan rakan-rakanmu kau halau pergi. mereka menuruti, seperti pemain-pemain bola yang meninggalkan padang setelah tewas total.

mawar itu kau rapikan di atas meja, seolah-olah trofi. komputer dihidupkan & matamu menatap ke dalam skrin seperti iblis menatap adam pertama kali — dengan gundah & keacuhan.

di kepalamu baris kedua kad itu berteriak. hampir tengahari, dan tak ada satu pun kerjamu yang siap. kau mohon cuti dari majikan walau tanpa persetujuan.

kau memilih lapar & begitulah caranya hari tipikal ini berderai.

One clap, two clap, three clap, forty?

By clapping more or less, you can signal to us which stories really stand out.