Mencari Islam di celah agamawan

ISLAM pada era kerajaan Pakatan Harapan (PH) menampilkan Islam rahmah. Menjadi agamawan rahmah adalah watak yang diimpi-impi oleh kelompok agamawan pasca kerajaan baru. Betapa tidaknya, pakaian rahmah pada hari ini mampu diguna pakai sebagai politik dalam mengukuhkan kekuasaan ideologi.

Menurut mereka, Islam rahmah acuan mereka itulah sebenar-benar tafsiran agama saat ini. Maka, berpusu-pusu kelompok tersebut menggunakan ungkapan seperti “dialog, progresif dan Rahmatan Lil Alamin” sebagai zikir politik baharu mereka — melawan konservatif agama supaya tampak progresif.

Namun, mereka cepat tersentak dan “menggelupur” apabila acuan kepercayaan mereka digugah atau diganggu-gugat.

Toleransi di mata mereka hanya dalam ruang lingkup sosial dalam masyarakat yang berbagai-bagai agama dan budaya. Dialog hanya sebahagian pendekatan dakwah.

Namun jika acuan keagamaan mereka diusik, tiada lagi kompromi. Mereka kembali bersikap tegas, juga keras. Ini soal kepercayaan, mana boleh bertoleransi! Begitulah cepatnya mereka melenting. Lihat sahaja isu LGBT dan Syiah.

Ya, inilah kesulitan utama mengapa pembaharuan Islam di Malaysia sukar mendapat tempat, bahkan dikecam. Bukanlah kerana Islam itu terikat atau mengikat, tetapi tafsiran pembaharuan Islam sering kali gagal kerana pembaharuan tersebut dibataskan dek acuan keimanan dan akal.

Ternyata, masyarakat Melayu Islam masih liat untuk mengupas aturan agama. Lebih-lebih lagi, agama sudah dipasak menjadi keyakinan tertinggi pada hari ini — dianggap paling benar.

Jika itu tidak mudah bagi kelompok acah-acah progresif Islam, apatah lagi kelompok konservatif berpaksikan perkauman Melayu Islam. Merekalah yang memuntahkan tafsiran agama kepada masyarakat Melayu Islam hari ini — kelompok agamawan konservatif yang pulang belajar agama di Timur Tengah membawa ideologi nalar sempit (Arabisasi) lalu menzahirkan tafsiran agama kolot.

Pemikiran agama harus dibebaskan dari kepompong Melayu Islam. Namun, jika umat Islam memilih tafsiran Islam yang bersifat merdeka, mereka pasti dituduh sesat dan dihukum kerana bertentangan acuan ajaran agama. Tidak peliklah sejarah menunjukkan bagaimana sosok pembaharu agama sering kali menanggung derita. Ada juga dihukum mati.

Di Malaysia, kebelakangan ini kita lebih gemar mengislah agama dengan menampilkan watak-watak reformis Islam. Itu sudah cukup baik daripada menonjolkan semangat perkauman yang tebal.

Contohnya menampilkan wajah reformis Islam atau mewacanakan pemikiran Hamka. Namun watak yang lebih progresif seperti Muhammad Arkoun, Abed al-Jabiri, Hassan Hanafi, Nasr Hamid Abu Zaid, Ahmad Wahib kurang dibincangkan.

Kelompok pembaharuan ini bukan sahaja mengislahkan umat daripada kemunduran akal dan agama, malah menggugah keimanan dan pemikiran — jarang dan tidak semudah membincangkan sosok para pembaharu ini seperti para reformis Islam yang lain.

Sebagai contoh, sebut saja “Tuhan tidak perlu dibela” — ungkapan terkenal atau judul buku Gus Dur — pun sudah mengundang kekacauan dalam kalangan orang Melayu Islam. Susah lagi menyentuh hal-hal berkait soal keimanan dan kepercayaan.

Oleh sebab itu, hidangan wacana kebebasan, toleransi dan demokrasi di Malaysia umpama burung-burung yang terbang bebas tetapi kakinya dililit dengan benang. Sejauh mana pun burung itu mahu terbang, akhirnya terbatas pada sepanjang mana benang tersebut.

Akibatnya, mustahil wacana kebebasan dan progresif mampu melahirkan para pembaharuan agama yang kritis kerana kebebasan mereka “dibenangkan”, diikat dengan batas kekuasaan dan dilarang menembusi wilayah kebebasan.

Inilah dilema kelompok agamawan Islam rahmah di Malaysia. Mereka inginkan laungan Islam yang progresif, tetapi gentar untuk menanggalkan pegangan tradisi.

Merdeka akal, tolak Islamisasi

Tugas para agamawan hari ini menghidupkan semula tafsiran Islam yang mudah, ramah dan toleransi. Seseorang ulama harus memberi pencerahan pada zamannya — menggunakan rasionaliti di samping menghargai dan tidak mengabaikan naluri kemanusiaan.

Islam datang sebagai suatu agama yang progresif. Namun, Islam menjadi mundur apabila taklid menjadi tembok yang membatasi akal — puncanya terdapat kelompok agamawan yang memonopoli agama dan menentukan bentuk acuan Islam.

Hanya boleh bercakap tentang agama mengikut satu-satunya pandangan — acuan mereka saja walau nadanya kedengaran progresif. Selain itu, sumber agama tidak boleh diganggu-gugat.

Majoriti masyarakat hari ini berpegang pada prinsip itu. Menurut mereka, agama sifatnya mengikat, tidak sesekali berubah walau atas faktor konteks atau perubahan zaman. Jauh sekali untuk dikritik.

Dalam kalangan para reformis, langkah mengatasi kemunduran ini — Islam harus melalui jalan moderat, sesuai dengan pengetahuan moden hari ini. Pendekatan ini juga diamalkan oleh kelompok Islam rahmah.

Contohnya, mengambil pendekatan reformis seperti warisan Muhammad Abduh — Islam mesti disesuaikan dengan perkembangan moden. Atau misalnya, seorang pembaharu Islam Indonesia, Ahmad Wahib menyeru kebebasan berfikir — mendatangkan kejujuran intelektual.

Menurutnya, kita harus bersikap jujur dalam berfikir kerana apabila menilai sesuatu, kita awal-awal lagi sudah meletakkan ajaran Islam pasti paling baik manakala kefahaman yang lain berada lebih rendah di bawah Islam. Maka, pendapat yang kita rasa paling benar mestilah pendapat Islam. Pandangan lain harus disisih atas apa alasan jua.

Maknanya, jika terdapat pandangan yang baik tetapi “terkeluar” daripada Islam, pandangan tersebut tetap dianggap tidak mungkin lebih baik daripada Islam.

Inilah apologia yang ingin dibuang oleh Ahmad Wahib, juga pembaharu Islam yang lain seperti Khaled Abou Fadl. Maka, lahirnya pemikiran ini — semua perkara mahu diislamisasi, diislamkan.

Inilah sindrom pemikiran masyarakat Islam malah pemikiran ini ada dalam benak para reformis dan penggerak Islam.

Sindrom Islamisasi

Menurut Ahmad Wahib lagi, kelompok pembaharuan hari ini begitu selesa dengan pemikiran seperti Muhammad Abduh. Bagi Ahmad Wahid, pendekatan teologi ala Abduh tidak mampu memecahkan persoalan tentang kelemahan pemikiran umat Islam hari ini. Baginya, para pembaharu Islam harus memikirkan dan bergerak maju ke hadapan menembusi terobosan baru.

Mungkin inilah dimaksudkan oleh pemikir Islam, Muhammad Arkoun iaitu memikirkan hal yang mustahil ada dalam agama Islam. Al-mustahil atau al-mamnu’at-tafkir fih (hal yang mustahil atau yang terlarang difikirkan).

Maka, merdekakanlah akal iaitu dengan membebaskannya dari penjara kekuasaan walau agama — hanya Tuhan dan keimanan diri yang mengetahui saat batas fikiran tersebut.

Keterbukaan Islam

Menelusuri sejarah Islam awal, kita akan mendapati golongan muslim sangat terbuka atau liberal. Pemikiran agama yang progresif berlegar pada zaman tersebut dan selepas itu, nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, egalitarian adalah misi utama risalah agama.

Walau di padang sahara, pemikiran Islam dilihat canggih.

Pada zaman Abbasiyah, selain kaya pelbagai disiplin ilmu, bahkan memiliki keluasan dan rencam budaya, juga memiliki tradisi kesusasteraan yang humanistik dan rasional. Ilmu-ilmu kemanusiaan diterjemahkan dalam bentuk puisi, syair, dan sastera. Selalunya, acara seni tersebut dimainkan di sekitar masjid.

Oleh sebab sohornya ilmu-ilmu humanisme, ia melahirkan kosmopolitan yang canggih ketika itu — suasana kosmopolitan yang kaya dengan campuran budaya dan seni, sekali gus agama tidak menjadi kaku terhadap seni dan hiburan.

Jelas, Islam menolak ajaran perkauman tebal dan tidak memaksakan keimanan, lebih lagi Islam yang diacuankan oleh agamawan.

Keluasan ilmu humanis bukan sahaja mampu melahirkan orang-orang yang boleh membaca puisi tetapi lebih tinggi — mampu menyelami keluasan ilmu Al-Quran, dapat mentafsir Al-Quran tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan.

Ironinya, pada abad milenium serba canggih ini, situasi zaman kian rencam, tidak cukup hanya sekadar bersandar pada hukum keislaman yang lapuk. Harus melahirkan tafsiran agama yang lebih relevan ketika ini.

Saya yakin anak muda Islam berwatak rahmah pasti mengenali susuk pembaharuan Islam seperti yang disebutkan. Walau nama dan buku itu tidaklah asing dalam kalangan anak muda progresif, namun buah fikiran kelompok pembaharuan agama masih dianggap asing.

Ramai anak muda progresif membaca karya pembaharuan agama, tetapi takut menjejakinya. Sekadar baca. Seperti pergolakan pemikiran dalam karya-karya Ahmad Wahid — kegelisahannya tentang persoalan keimanan dan ketuhanan. Jarang dibincangkan dan didiskusikan oleh gerakan anak muda Islam.

Demikian, kebebasan berfikir dan kekuatan akal sebagai alat untuk menggali Al-Quran dan Sunnah. Al-Quran akan kosong tanpa diisi dengan semangat zaman dan kekinian. Pendekatan ijtihad sumber kemajuan berfikir.

Memahami Islam mestilah mendasari persoalan asas keimanan dan kebebasan. Inilah yang mendasari kekuatan sebuah tafsiran keagamaan yang tidak kaku.

Malang kita di Malaysia, pemikiran agama belum merdeka dari kejumudan di samping tidak digugah dengan pemikiran tokoh-tokoh pembaharuan Islam.

Sebaliknya kita dibodohkan atas nama agama dengan lambakan pemikiran lebai — melaungkan perjuangan bangsa dan ustaz selebriti yang menghukumkan LGBT. Paling memualkan, wujud kelompok agamawan yang menghambur kebencian terhadap Syiah, di samping merelakan puritanisme tetapi bertenggek di sebalik watak Islam rahmah. — 30 Ogos, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

    Mohd Syazreen Abdullah

    Written by

    Kolumnis di https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/a/77838