Murid bertanya, kiai liberal menjawab

Foto dipetik dari blog nazarul14.wordpress.com

DI sebuah pesantren, seorang kiai berdebat dengan anak muridnya.

Murid bertanya: Ustaz, kenapa kita harus bermazhab?

Si kiai mengerut dahi, memikirkan sesuatu. Puntung rokoknya hampir terpadam. Kopi hitam sudah sejuk barangkali. Si kiai termenung sebelum mencapai kitab tulisan Wael Hallaq berjudul Islamic Legal Theories yang tersusun rapi di sebuah meja kecil.

Mata si murid pula tersorot pada kitab yang berserakan di meja tersebut. Kitab Lisanun al-Arab karangan Ibn Manzur, juga kitab Islam: Past Present and Futurekarya ahli teologi Kristian Hans Küng.

Si kiai tahu muridnya tentu memikirkan sejarah mazhab, bagaimana terbentuk, dan bagaimana mazhab menjadi pengetahuan yang mendominasi?

Si kiai sebenarnya bercadang membicarakan karya agung pemikir falsafah Perancis, Michel Foucault iaitu Knowledge and Power pada masa kelas akan datang. Si kiai mahu memetik Foucault bahawa pengetahuan yang dikawal kekuasaan boleh menjadi dominasi pengetahuan dan akhirnya menjadi hegemoni sehingga menjadi lesen melanggar batas kemanusiaan.

Justeru, si kiai itu bertanya kembali kepada muridnya, apakah boleh tidak bermazhab? Bukankah itu produk manusia yang mendominasi wacana?

Murid berkata: Tidak! Kita mesti bermazhab. Mazhab perlu untuk fahami Quran dan hadis. Selepas kewafatan Nabi Muhammad, umat Islam berpecah dan berbeza dalam memahami hukum agama. Jadi mazhab adalah panduan.

Tegas nada muridnya. Si kiai hanya senyum. Barangkali terbiasa dengan pendebatan yang tegang dan serius. Si kiai meyakini kebebasan berpendapat, maka dia tidak menyekat pandangan muridnya walau berbeza dengan fikirannya. Selepas membasahkan tekak, si kiai menyebut: “Agama yang benar menyempurnakan kemanusiaan.”

Ungkapan itu teramat penting namun si murid kelihatan tidak dapat menangkap maksudnya. Sunyi seketika. Dia membelek helaian demi helaian karangan Wael Hallaq yang dicapainya tadi.

Dogma kekuasaan

Selepas menghela nafas panjang, kiai mengulangi hujah Wael Hallaq: “Sejarah mazhab ada beberapa makna. Antaranya doktrin hukum yang bermula dengan sekumpulan halaqah ilmu antara guru dan murid. Ini berlaku pada awal abad kedua. Sebuah doktrin kolektif mujtahid yang mendahului aliran-aliran sebagai sumber sandaran. Lama-kelamaan, pandangan mujtahid menjadi autoritatif.

“Maka doktrin ini berkembang — bukan hanya kerana kekuatan mujtahid itu tetapi doktrin tersebut diangkat menjadi dominasi paling berautoriti dan merentasi konteks waktu yang berbeza- beza. Hallaq menyebut perkara ini sebagai fenomena “mazhab personal” (personal school).

Si murid hanya mendengar.

“Mazhab doktrin tidak berlaku pada zaman nabi dan sahabat kerana nabi adalah sandaran. Sedangkan sahabat baginda ada pandangan peribadi dalam menentukan hukum. Mereka tahu sebab dan konteks sesuatu wahyu. Malah, antara sahabat sekalipun tidak seragam pandangan mereka. Ada cenderung liberal, ada juga literalis.

“Justeru, ijtihad pada zaman sahabat beragam sifatnya. Tiada dominasi kekuasaan wacana. Apatah lagi memaksa satu-satunya kebenaran dari aliran tertentu sahaja.”

Si kiai berhenti sejenak sebelum perlahan-lahan, dengan bergetar bibirnya menyebut: “Akhirnya hukum Islam menjadi sakral. Agama tidak boleh dikritik. Penganut agama menjadi sangat eksklusif mendabik kebenaran. Satu-satunya agama atau aliran tertentu sahaja yang betul. Agama orang lain salah.

“Itulah kesan yang menjadi dogma sikap beragama pada hari ini. Walhal yang membuat hukum itu adalah manusia (mazhab) sedangkan Tuhan tidak memaksakan satu-satunya aliran sebagai jalan kebenaran.”

Riak wajahnya terpapar kerut kesal. Kepalanya sedikit tunduk sebelum memanggungnya lalu bersemangat melontar hujahan.

“Dogma kekuasaan melahirkan pengetahuan bahawa kebenaran agamanya tidak boleh dicabar tetapi boleh mengkritik agama orang lain. Pengetahuan ini bermula akibat sikap tidak boleh mengkritik hukum agama yang dianuti. Sedangkan kritikan bukanlah pada esensi agama tetapi kesalahan penganut agama yang menyeleweng pesan agama — ironinya, itulah dikatakan hukum Islam. Tidak ada kebenaran yang mutlak dikawal oleh manusia. Hatta dari nabi sekalipun!” tegas si kiyai.

Muridnya berkerut-kerut dahinya seolah-olah kurang selesa dengan jawapan tadi.

“Bukankah agama adalah hal yang sakral? Tidak boleh, bahkan tidak harus dikritik,” sanggah si murid.

“Malah, Islam adalah ajaran yang sesungguhnya benar. Kita sebagai umat harus melihat kebenaran itu dengan sudut keyakinan yang pasti. Jika kita akui kebenaran agama lain bererti agama lain juga baik seperti Islam.

“Bukankah dalam Quran, Allah berfirman bahawa tiada agama yang lebih sempurna selain Islam? Imam al-Ghazali juga menyebut dalam kitabnya al-Iqtisad fi al-`Itiqad bahawa yang diyakini benar itu adalah tidak mengakui agama lain lebih baik,” kata si murid lagi.

“Muridku, jangan ingat sudut pandang kita saja yang betul. Kita bukannya tahu segala kebenaran. Tidak kiralah urusan apa pun termasuk hal agama,” balas si kiai selunak mungkin.

Kolonisasi agama

Beliau membelek kitab tulisan Hans Küng yang jarang disentuh muridnya di pesantren. Barangkali kerana penulisnya tokoh teologi Kristian, bukan seorang Syafie, Maliki, Hanafi atau Hambali. Jauh sekali Sunni.

“Jangan fanatik dan taksub pada mazhab. Apatah lagi agama — bersikap absolut!” kata si kiai.

“Hans Kung menawarkan sikap sederhana dan tidak fanatik terhadap agama melalui pendekatan kritik-agama-sendiri yang disebutnya self-criticism dan beliau menggerakkan jalan pendamaian — ecumenical criteria for truth.

“Sikap ini tidak menggadaikan kebenaran yang dianuti. Pada masa sama kita terima kebenaran agama lain. Mengatakan agama selain Islam juga benar tidak menggadaikan kebenaran yang ada pada Islam. Hans Kung menegaskan bahawa asas kemanusiaan adalah penentu kebenaran.”

Si murid setia mendengar. Entah faham, entahkan tidak. Tapi si kiai seakan-akan tidak peduli, terus meleterkan hujah.

Kata Hans Kung, setiap penganut harus berani dan jujur dalam mengakui kebenaran agamanya; juga berani dan jujur untuk mengungkap ketidakbenaran agamanya. Setiap penganut harus muhasabah akan kekurangan agamanya sendiri. Merenungi kelemahan agama sendiri dapat mengelak kolonisasi agama terhadap agama lain.

“Jadi, maksudnya kita sebagai Islam tidak wajar mengkritik agama lain, Kristian misalnya dengan bersandarkan hujah Islam? Begitu?” kata si murid mencari kepastian.

“Benar. Begitulah juga kalau penganut Krisitian menceroboh Islam dengan bersandarkan Bible. Yang dibolehkan kritik atas kesalahan individu agama lain, bukan ajarannya jika si agamawan itu menindas kemanusiaan, misalnya. Kritikan harus dibidik kepada penganut atau paderi, tetapi jangan sesekali ajarannya. Hanya penganut Kristian berhak mengkritik kepercayaan mereka. Orang Islam usah sibuk dengan ajaran agama lain. Masing-masing jaga agama sendiri.

“Tahu mengapa?”

Si murid mengelengkan kepala.

“Sebabnya, dominasi atau autoritarian tafsiran teks agama yang melanggar asas toleransi, kemanusiaan akhirnya menjadikan agama alat penguasa yang mungkin menindas kemanusiaan dan tidak menghormati asas manusiawi,” kata si kiai.

“Tapi… kita ini orang Islam, jadi apa salahnya kritik ajaran mereka? Kita tidak pernah percaya kepada agama mereka.”

“Muridku, di dunia ini tidak ada seorang pun dapat menentukan nasib agamanya pada masa hadapan. Di hujung dunia, semua agama, mazhab, aliran akan hancur dan terpisah. Hanya Tuhan yang maha mutlak menentukan nasib hamba-Nya. Kita manusia harus saling merendah diri dan belajar dan belajar akan kebesaran-Nya.

“Tiap agama harus melengkapi. Bukan bersaing, apatah lagi berperang atas nama Tuhan,” kata si kiai sambil menegaskan betapa agama yang benar pasti menyempurnakan kemanusiaan.

Si murid mengangguk-anggukkan kepala. Mengertilah dia mengapa dunia kini sarat perbalahan dan peperangan. Jika semua manusia beragama merendah diri, tidak bersaing malah saling melengkapi, segala kebesaran-Nya dapat dinikmati bersama dan kebenaran tertegak sempurna. — 1 November, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.