foto Gerakbudaya

Umat tanpa falsafah

JIKA nabi terakhir bukan Muhammad, mungkin Plato orangnya. Kerana ahli falsafah umpama nabi — menyebar kebijaksanaan dan hikmah, mengajak umat berfikir; seperti juga al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rusyd, dan al-Ghazali. Pemikiran mereka tidak hilang ditelan zaman.

Lebih-lebih lagi Quran.

Bezanya, Quran tidak menjawab semua persoalan walau Quran terkandung seluruh jawapan. Kerana Quran untuk kaum berfikir. Jadi, gunakanlah akal untuk fahami Quran, bukan dengan emosi. Kebenaran perlu dicari, bukan ditunjuki. Akal umpama anak kunci kaum tercerah. Begitulah ahli falsafah — menggali rahsia Tuhan.

Semangat itu mengalir pada buku Khazanah Intelektual Islam karya Nurcholish Madjid atau Cak Nur. Sebuah karya himpunan pemikiran ahli falsafah agung Islam. Bermula dari pemikir klasik sehingga pemikir moden. Buku lama. Terbit pada tahun 1985. Boleh dianggap langka. Muncul semula pada waktu tepat dan getir apabila Gerak Budaya menerbitkan kembali edisi terjemahan asal bekas menteri Ahmad Shabery Cheek.

Walau tidak segempar buku lain Cak Nur, buku itu mengangkat peradaban berfikir umat Islam. Bangsa Indonesia nampaknya lebih awal menikmati pencerahan buah fikir Cak Nur berbanding di Malaysia. Ini buku penting. Terutama pada mukadimah. Cak Nur menulis panjang bahawa semangat kemodenan adalah jiwa dari Islam. Bak kata pendiri Nurcholish Madjid Society (NCMS), Mas Budhy Munawar:

“Studi agama yang penuh perbandingan pemikiran filsafat dan teologi ini menjadikan seseorang tidak akan fanatik. Ia akan toleran, dan terbuka pada idea-idea baru, untuk terus mendekati apa yang disebut “Kebenaran” yang adalah “Kearifan.”

Namun, bukankah tradisi keilmuan falsafah dipinggirkan? Siapakah yang mahu menelaah karya agung falsafah? Jika ada, falsafah untuk kaum terpelajar. Ada orang minat falsafah dan berdiskusi di kedai-kedai kopi. Ada juga membaca buku falsafah supaya tampak intelektual.

Kata kelompok yang menolak falsafah pula, jangan baca, lebih baik baca Quran. Belajarlah agama, buangkan falsafah. Jangan lebih-lebih gunakan akal, nanti sesat. Jadi liberal dan plural, itu jenayah. Kalau membaca Bible, pun dianggap akan hilang Islamnya. Apatah lagi menelaah karya falsafah. Itulah sahaja yang mampu difikirkan mereka.

Sesungguhnya, falsafah adalah kebijaksanaan. Tanpanya, agama dan keberagamaan jadi kaku dan intoleransi. Akhirnya agama jadi radikal. Umat lebih beremosi tanpa landasan ilmu. Mudah direkrut jadi pengganas.

Dalam buku itu, Cak Nur mendamaikan keberagaman berfikir dan kebijaksanaan dalam beragama — memahami proses dinamika ilmu oleh ahli falsafah. Bagi Cak Nur, modenisasi Islam ialah menggeluti pemikiran ulama klasik dan Islam kontemporari — keluar dari kejumudan. Buku itu mengimplementasi Islam seiring semangat realiti yang berkembang tanpa menghilangkan roh Islam universal. Modenisasi dipandang melalui lensa tradisi intelektual keilmuan. Penggalian kebenaran harus jujur. Bukan prejudis.

Jangan Tuhankan politikus!

Saat orang mabuk kuasa, mabuk agama, dan mabuk ghanimah, inilah karya yang menjentik ketiduran umat beragama di Malaysia. Walau ringkas, buku ini cukup menggetarkan. Kerana, tanpa falsafah keilmuan, kehidupan ini tiada tujuan. Tanpa sentuhan akal dan fikir, agama jadi jelek. Itulah mustahaknya akal dalam mentafsir Quran.

Malangnya, masyarakat tidak peduli falsafah. Mereka bertuhankan politik. Masyarakat bebal kerana berhala politik berlambakan di kepala. Bukan ilmu. Jauh sekali membudayakan intelektual; ghairah berfalsafah hampir-hampir sifar.

Masyarakat suka telatah politik sempit dari keluasan ilmu. Hari-hari otak kita disumbat dengan retorik politikus. Politikus dijilat serakusnya. Namun, apabila berbalah tidak ada hentinya. Cukup-cukuplah.

Hakikatnya, rakyat dan pemimpin tidak ghairah terhadap falsafah. Itulah resah umat budaya dan beragama di Malaysia. Bahkan di menara gading, pengajian falsafah tidak dianggap penting. Tanyalah politikus, agamawan, professor, islamis, mahasiswa, atau pejuang Melayu Islam.

Sudahkah mereka hadam karya besar pemikir agung ini? Sebutlah Plato, Aristotle, Al-Kindi, Al-Asy’ari, Al-Farabi, Ibn Sina, Al-Ghazali, Ibn Rusyd, Ibn Taimiyah, Ibn Khaldun, Muhammad Abduh dan al-Afghani. Sebahagian karya pendek mereka diterjemah oleh Cak Nur lalu dihimpunkan. Ringkasan pemikiran ahli falsafah Islam tersusun kemas dalam buku tersebut.

Pemimpin anti falsafah, rakyat liat berfikir

Namun, umat lebih cenderung kepada berpolitik kekuasaan berbanding mengupas keilmuan. Pemimpin tidak tertarik untuk memelihara tradisi intelektual. Pemimpin tidak berahi terhadap buku dan wacana intelektual. Jauh sekali menghargai dan bersikap terbuka dalam kepelbagaian pandangan.

Seharusnya, pemimpin ghairah menghadirkan falsafah. Bukan anti-ilmu! Contohi Khalifah al-Ma’mun, si penguasa Baghdad yang meminati falsafah hingga tertegaknya Bait al-Hikmah.

Ketika itu, rakyat tidak pernah berhenti berfikir. Pengkajian filsafat mencapai kemuncak. Kegiatan intelektual dan ilmiah berkembang bagaikan cendawan tumbuh kerana naungan pemerintah.

Walaupun pemerintahannya tidak kekal, ada kekurangan, namun kecenderungan pemimpin mereka telah membuka pintu perkembangan budaya ilmu yang tinggi.

Pada halaman 22, Cak Nur menulis:

“Di antara para ahli falsafah Yunani, Aristotle adalah yang paling menarik bagi orang-orang Islam. Darinya, mereka mengambil kaedah berfikir sistematis dan rasional, yang dikenali sebagai ilmu mantik, di samping biologi, geografi, matematik, dan lain-lain. Mereka memandangnya sebagai ‘al-mu’allim al-awwal’ (guru pertama). Dari itu, Aristotelianisme, telah menjadi sebahagian daripada tubuh badan khazanah pemikiran dalam Islam”

Pada halaman 23, beliau menyebut:

“Boleh jadi kaum Muslimin terdorong untuk mempelajari dan menerima Neoplatonisme itu terutamanya kerana faham ketuhanannya yang memberi kesan Tauhid, sebagaimana mereka tertarik untuk mempelajari dan menerima ilmu mantik kerana pada saat itu ia dianggap sebagai suatu bentuk penerimaan saranan al-Quran untuk berfikir, sepertimana yang dilakukan oleh Ibn Rusyd”

Kesannya, kaum muslimin tidak ragu-ragu menekuni falsafah. Bahkan mereka menguasai dengan disertai kemantapan beragama. Mereka sedar, falsafah adalah kunci kebenaran. Maka, lahirlah disiplin ilmu dalam khazanah intelektual Islam, disebut al-falsafah.

Berkat kegiatan intelektual, ilmu berkembang. Manusia hidup lebih aman dan toleransi. Walau beragam pandangan, ilmu jadi sandaran hujah. Kata Michel Foucault, “knowledge is power” — menguasai ilmu pengetahuan, akan menguasai peradaban. Menolak falsafah, membuka pintu kemunduran.

Namun di mata politikus, falsafah tidak penting. Belajar falsafah, rakyat jadi kritikal. Itu menggugat kekuasaan. Lebih selamat punyai rakyat malas berfikir. Ikut sahaja telunjuk politikus rakus. Mereka takut akan budaya kritik, kritis dan melawan.

Di mata agamawan, falsafah juga tidak penting. Islam tergugat. Falsafah mengajar umat kritis dan berfikir di luar batasan ajaran tradisional. Orang agama tidak jadi senang duduk. Biarlah umat bodoh asalkan falsafah dibuang. Mudahlah mereka membina hegemoni, baik agama mahupun politik. Atau kedua-duanya sekali! — 22 November, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.