Tengah malam.

“Tadi kau cakap ada soalan.”

“Ada ya?” Dia memicit belakang tengkuk, merenung cuba mengingat, mengalih perhatian dari telefon di tangan. “Oh, tadi petang kau kata, Tuhan tu sentiasa adil, tak pernah menzalimi. Tapi, aku tengok, di mana-mana pun, ada saja yang menderita.” Dia berhenti, teragak-agak untuk menyambung bicara. “Mana kasih sayang Tuhan macam yang kau kata?”

Dia bawa tangan meraup misai di wajah, turun ke dagu. Dia memandang ke bawah dan menghela nafas. Wajah di depan kembali dia pandang. “Memang kau pasti, semua itu angkara Tuhan?”

Dia mengambil masa, berfikir barangkali. “Entah, tapi kau kata, Tuhan Maha Pengasih, pengasihkah jika membiarkan manusia terus menderita? Kasih sayang Tuhan itu omongan kosong semata?”

“Itu ujian Tuhan, untuk hamba-hamba Dia.”

“Lagi-lagi ujian.Bukankah Tuhan sedia Maha Mengetahui, ilmunya tiada had dan batas? Perlu apa lagi kita diuji?”

“Mungkinkah hidup tanpa ujian, hidup tanpa kesusahan? Lihat diri kau sendiri, lihat aku.” Sambil tangan kirinya dihulur merujuk orang yang di depan, ditarik kembali merujuk diri sendiri. “Manusia itu kan ilmunya terbatas, kemampuan dan kemahiran kita juga terbatas, sudah tentu dek keterbatasan itu, bermacam kesusahan tidak dapat kita elakkan. Kalau mahu hidup sentiasa senang, tidak pernah susah, tidak dapat tidak manusia perlu menjadi sempurna. Ada manusia sempurna?”

“Habis kenapa manusia diciptakan dengan segala keterbatasan, Tuhan memang mahu kita susah?”

“Tadi kau cakap, adanya kesusahan itu menafikan adanya Tuhan. Tapi, bukankah keterbatasan manusia itu bukti adanya Tuhan yang awal-awal lagi menetapkan had-had dalam kejadian insan? Kalau kau mahu menyoal tentang kasih sayang Tuhan, kau harus ingat, kalau Tuhan itu tidak bersifat kasih, dari mana datangnya bahagia, kasih dan cinta? Selalu-selalu juga semua rasa ini hadir tanpa kita rancang atau usahakan. Angkara siapa kalau begitu?” Tiada jawab balas, dia kemudian menyambung.

“Kalau Tuhan mahu, boleh sahaja Dia sucikan bumi ini dari semua kebahagiaan, keindahan dan ketertiban. Tetapi tidak, bahkan manusia diciptakan sebaik-baik kejadian. Diberikan kemampuan, untuk belajar dan mengenal, kemudian mengolah dan mencipta. Di penghujung usahanya, dia berhasil menjadi lebih baik, menternak, bercucuk tanam, sedikit demi sedikit pelusuk bumi diteroka, maju ke lautan, dan ada juga yang sampai ke awan. Dan di sepanjang perjalanan, dia ada merasa bahagia, kerana itu dia mampu untuk terus mara. Cuma sesekali, ada ujian, untuk dia atasi dan terus meningkat, dari satu tahap ke tahap untuk menjadi lebih baik, lebih lengkap.”

Cuping cawan berisi teh dicapai dan isinya disisip. Dia menarik piring dan cawan diletakkan. “Meskipun jauh dari kesempurnaan, sering kali kita didatangi kebahagiaan. Dan saat bahagia bertandang tanpa undangan, tidak pula kita sibuk bersoal. Lagi pula, kalau hanya rasa senang, suka, dan bahagia sahaja yang dapat kita rasa, bukankah sebahagian besar hidup telah hilang, bahkan, sebahagian diri kita juga turut hilang?”

Teh didalam cawan dihabiskan, silaan kaki dibuka, membetul duduk, mencari selesa.

“Kalau kau ingat cerita moyang manusia nabi adam, awalnya dia hidup bahagia dalam syurga. Tapi kenikmatan dan kebahagiaan syurgawi beransur hilang bila larangan Tuhan dilawan, diturutnya pula hasutan syaitan, mengambil apa yang bukan milik lagi terlarang, itulah yang menafikan kebahagiaan yang gambarannya syurga. Pilihan itu ditangan kita manusia, untuk menyebarkan bahagia atau sengsara. Salah tadbir, khianat, tamak, itulah yang meragut bahagia.”

“Tapi itu tak bermakna hidup begitu, hidup tanpa kesusahan, tidak lebih baik dari hidup kita sekarang, bukan? Hidup begitulah sepatutnya bukti keadilan Tuhan, kasih sayang Tuhan, dan juga bukti kewujudan Tuhan. Aku masih tidak faham, mengapa mausia perlu diuji jika Tuhan itu sentiasa mengetahui. Soal ini belum kau jawab lagi, kalau ada pun, aku masih belum berpuas hati.”

“Bagi aku, seperti aku kata tadi, ujian itu untuk kita atasi dan terus meningkat, dari satu tahap ke tahap untuk menjadi lebih baik, lebih lengkap. Dan soal hidup tanpa derita, itu dijanjikan Tuhan dengan syurga.”

“Sebentar lagi waktu subuh akan bermula. Kita sudah tidak punya banyak masa. Mungkin kalau kau mahu jawapan yang lebih memuaskan hati, tanya sahaja sama imam-imam di masjid. Jika tidak, tanya saja mereka yang lebih tua, mereka hidup sudah lama, lebih lagi diuji. Tanya mereka tentang Tuhan, tentang kasih sayang, tentang ujian. Aku minta diri dahulu.”

Mereka berjalan ke arah pintu, daun pintu dikuak terbuka, yang kanan kemudian kiri. Dingin pagi menyelit masuk. Dia melangkah bendul pintu,menuruni tangga batu yang sejuk. Sesampainya di bawah, dia menyarung sepatu di kaki, kaki kanan, kemudian kiri. “Aku teringat. Kau kata Tuhan tidak bersama kita dengan kasihNya saat kita susah. Tapi kita terlupa, pertama kali kita disentuh bahagia dan cinta, adalah saat kita tidak punya apa pun daya untuk mengusahakan suatu kebahagian, melainkan dengan tangisan.”

Azan subuh berkumandang, tetamunya melangkah pulang, tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar, dilarikan dari ciuman dingin bayu pagi. Di belakang, pintu kayu ditutup kembali.

One clap, two clap, three clap, forty?

By clapping more or less, you can signal to us which stories really stand out.