Mengapa saya jadi Pereka Produk?

Semasa menjawab kertas peperiksaan semester saya yang terakhir tak lama dulu. Fikiran saya lebih banyak memikirkan apa yang mesti dibuat selepas semua ini selesai — kerja apa aku hendak lakukan?

Walaupun sebenarnya soalan itu lama dahulu sudah terjawab sebelum saya mula belajar di universiti lagi, saya ambil masa lebih kurang 3 bulan untuk tekad dengan pilihan itu. Ya, bidang teknologi kreatif.

Memang sudah jadi minat saya dalam bidang reka cipta sejak saya masih budak budak. Saya amat gemarkan idea bahawa, manusia boleh membina sesuatu dengan hanya menggunakan kedua dua belah tangannya demi kemandirian spesies Homo Sapiens.

Steve bercerita tentang kemampuan manusia memanipulasi sumber alam.

Bidang kreatif memberi saya kebebasan untuk bermain dengan idea ini. Ruang yang diberikan amat luas dan dinamik sehinggakan, saya fikir ianya tidak boleh diperoleh melalui karier konvensional yang ada dalam pasaran sekarang — bergantung kepada jenis syarikat apa yang anda bekerja.

IOT dan Kepintaran Buatan

Internet membuka akses maklumat tidak terhad untuk sesiapa yang mahu mencari. Kesannya, kos maklumat dan pengetahuan yang sebelum ini hanya boleh diperoleh melalui pendidikan formal dan berbayar, telah menjadi percuma dan lebih santai.

Belakangan ini, pelbagai jenis karier baru yang tidak pernah pun kita dengar pada dekad yang sebelumnya mula muncul dalam laman carian kerja kosong seperti Jobstreet dan StartupJobs. Contohnya, Pereka UI/UX, Pengurus Laman Sosial, Jurutera Sistem Pelayan dan juga Pengaturcara Aplikasi.

Kepesatan yang dibawa ini, mahu tidak mahu, menyebabkan hampir semua bidang kerja konvensional dalam industri perlu melalui fasa perubahan untuk menjadikan ia mesra internet (baca: teknologi pintar).

Internet of Things atau lebih mudah disebut IOT, merupakan satu sasaran mutlak sesebuah produk internet itu ingin dihasilkan. Trend sekarang memperlihatkan, aplikasi-aplikasi internet biasa sudah pun berada pada tahap tepu dan hampir serupa semua modus operandi-nya.

Keupayaan untuk menghubungkan servis produk anda dengan peranti fizikal, seperti jam tangan atau telefon pintar boleh menjadikan produk anda pilihan nombor satu pengguna. Jauh meninggalkan pesaing yang masih beroperasi cara konvensional.

Tempat saya bekerja, Supahands sebagai contoh. Melihat potensi pasaran pembantu virtual amat besar dan masih banyak yang belum diterokai. Untuk menjadi yang terbaik, padanan IOT dengan kepintaran buatan menjadi matlamat Supahands selepas ini.

Keperluan untuk memahami dan menguasai pengetahuan asas perihal bagaimana teknologi pintar ini dapat berhubung, boleh membantu anda meletakkan produk anda pada tahap yang lebih terkehadapan.

Dua aspek inilah yang menyebabkan saya amat berminat untuk menceburkan diri secara total dalam bidang industri teknologi kreatif ini. Terlampau banyak peluang baru yang boleh diteroka!

Walau bagaimanapun, pada pengamatan saya, ada ruang vakum yang amat besar dalam industri ini yang harus diisi dengan segera oleh tenaga kerja muda tempatan negara kita. Tetapi, ia tidak dapat diisi dengan segera disebabkan sistem pendidikan kita yang kurang bersedia dengan trend ini pada dekad lalu.

Apa itu Pereka Produk?

“Pereka Produk” itu sendiri tidaklah asing sebenarnya dalam industri kreatif. Pasaran peranti elektronik misalnya, ataupun automotif, sememangnya sudah lama menggunakan terma yang sama. Cuma, langkah yang digunapakai dalam proses penghasilan produk itu sedikit berbeza.

Seseorang Pereka Produk itu perlu mengetahui perjalanan dan asal usul mengapa produk itu ingin dihasilkan — bermula daripada fasa idea sehinggalah kepada fasa validasi dan pemasaran.

Tidak cukup dengan itu, dia juga perlu pandai mengaturkan sumber yang ada dan tahu apa yang perlu dilakukan semasa proses penghasilan produk itu berjalan daripada mula sampai akhir.

Bergantung kepada kaedah apa yang diambil sebagai kerangka asas produk internet tersebut, proses penghasilannya mungkin berbeza mengikut produk tertentu.

Pengalaman Selama 1 Tahun Setengah

Bukannya lama mana pun saya menjadi Pereka Produk sepenuh masa selepas tamat zaman universiti beberapa tahun yang lalu.

Baru sahaja, genap setahun setengah bulan ini.

Tetapi disebabkan vakum yang terlampau besar dalam industri teknologi kreatif sekarang. Asalkan anda mahu belajar dan cepat mengadaptasi kerangka teknologi popular, dan benar benar faham bagaimana industri kreatif ini berfungsi. Pasti mudah untuk anda dapat menyesuaikan diri, dan menjadi yang terbaik.

Pengamatan saya, ada kurang lebih 100 orang pereka produk sahaja yang kompeten dalam industri teknologi internet kita yang bernilai puluhan juta Ringgit ini. Rata-rata yang saya kenal, secara peribadi atau melalui teman teman. Mereka datangnya dari pelbagai latar belakang yang berbeza.

Ada yang asalnya merupakan seorang arkitek, jurutera elektrik dan pereka grafik. Malah ada juga yang merupakan seorang penganalisis data sebelum ini.

Namun begitu, mereka semua mempunyai nilai persamaan dalam minat kreatif mereka. Iaitu mahu menjadi yang terawal mencipta sejarah dalam bidang ini disamping, mereka produk baru yang lebih baik daripada apa yang ada dalam pasaran.

Ia umpama suatu kanvas kosong yang hanya akan di isi oleh para pelopor yang awal-awal menceburinya.

Rebut Peluang yang Ada

Bagi saya, sekarang ini adalah masa yang paling baik bagi anda yang mahu menceburkan diri dalam bidang ini. Disebabkan industri ini masih muda dan baru — lagi lagi, paling tidak di rantau ini.

Maka, ia umpama suatu kanvas kosong yang hanya akan di isi oleh para pelopor yang awal-awal menceburinya.

Tuntasnya, jika anda seorang yang kreatif, kritis, dan amat dahagakan cabaran baru dalam dunia teknologi. Mungkin sudah tiba masa anda perlu mencuba untuk belajar menjadi seorang Pereka Produk dalam syarikat startup Internet — umur bukan penghalang!


Artikel ini adalah sebahagian daripada siri catatan saya sebagai seorang Pereka Produk di Supahands. Ia ditulis semasa VLT Uni — iaitu waktu pembelajaran kendiri (self learning) syarikat tempat saya berkerja setiap hari Jumaat, selepas waktu makan tengah hari 2:00PM-6:00PM.