Bab 1 : Konsep Akidah Islamiah

Pengertian Aqidah Menurut Etimologi Bahasa Arab

Perkataan ‘aqdun dalam Bahasa Arab mempunyai pelbagai pengertian. Salah satunya ialah ‘Janji yang kuat’. Jika ada orang mengatakan, misalnya : “Aku berjanji dengan si polan begini begini” maka takwil perkataannya tersebut ialah, “Aku terikat dengannya, jadi sesuatu yang kita janjikan tak dapat tidak kita menepatinya”. Maka perkataan ‘aqidah’ dapat difahamkan sebagai ‘suatu janji yang kuat antara si hamba dengan Khaliknya.”

Perkataan ‘aqidah’ juga boleh diertikan dengan “sesuatu yang menguatkan serta mengukuhkan” Sekiranya aqidah diambil daripada pengertian ini, maka aqidah adalah sesuatu yang menguatkan serta mengukuhkan orang yang beraqidah. Lalu, kerana aqidahnya, ia terpelihara daripada kegagalan dan kehancuran.


Keistimewaan Yang Ada Pada Aqidah Boleh Disimpulkan Dalam 2 Perkara :

1) Aqidah mempunyai daya untuk menggerakkan amal dan usaha yang menepati dengan corak aqidah tersebut. Perhubungan di antara kedua-
dua aqidah dan amal sangat rapat sehingga gerak laku amalan dan perbuatannya itu adalah terjemahan yang tepat kepada aqidahnya.

2) Aqidah mempunyai daya tarikan yang bersifat ghaib, disebalik alam
nyata ini ertinya mempunyai asas metafizikannya atau keghaibannya.


Keistimewaan Aqidah Islam

Keistimewaan aqidah Islam tidak dipunyai oleh aqidah agama lain. Di
antara keistimewaannya ialah :

a) Aqidah Islam adalah fitrah yang dituntut oleh fitrah dan selaras dengan
fitrah semula jadi manusia.
b) Aqidah Islam adalah aqidah yang jelas dan lurus.
c) Aqidah Islam adalah tetap dengan penentuan yang pasti dan tetap
sepanjang zaman dan masa, sepanjang tempat dan suasana.
d) Aqidah Islam berasaskan kepada pembuktian akal yang waras dan
sentiasa menerima untuk pembuktian.
e) Corak acuan aqidah Islam bukan daripada hasil ciptaan manusia tetapi
acuan yang dicipta oleh Allah s.w.t.


Nilai Kekuatan Aqidah

Aqidah secara umum ialah kepercayaan yang terikat kuat atau
tersimpul kukuh dalam jiwa. Ini tidak bererti bahawa setiap aqidah
mempunyai nilai kekuatan atau kekukuhan yang sama. Aqidahlah yang
melahirkan segala nilai ketinggian, kebaikan dan keindahan yang mutlak
yang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan manusia.

Daripada penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa aqidah yang
benar-benar menepati dengan pengertian dan konsepnya yang sebenar
ialah aqidah Islam yang berteraskan kepada keimanan kepada Allah.


Unsur-unsur Pembentukan Aqidah

Menurut pendapat beberapa sarjana Islam bahawa unsur pembentukan aqidah agama tidaklah terbatas hanya kepada satu unsur tertentu sahaja tetapi meliputi ketiga-tiga unsurnya:

a) Unsur akal atau pemikiran
b) Unsur iradah atau daya memilih
c) Unsur wujdan atau perasaan

Ketiga-tiga unsur ini saling bertalian erat dan kuat. Kesempurnaan
suatu aqidah adalah daripada keteguhan dan keutuhan simpulannya dalam
jiwa yang kemudiannya akan membentuk kesempurnaan peribadi atau
sahsiahnya.


Peranan Akal

Peranan akal dalam pembentukan aqidah ialah mengetahui dan memahami ciri-ciri aqidah atau kandungan aqidah itu, seterusnya untuk memikir dan membuktikan kebenarannya, selanjutnya juga untuk membanding dan menimbangkan bagi mendapat hakikat kebenarannya. Rasa cinta inilah yang akan melahirkan kerelaan hati untuk berjuang dan berkorban demi kerana aqidahnya.


Kepentingan Aqidah Dalam Islam

a) Aqidah Sebagai pembentuk peribadi

Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mencorakkan air kandungannya maka demikianlah aqidah dapat membentuk orang yang mengambilnya menepati dengan hakikat dan tabiat keinsanan atau kemanusiaan yang tulin dan asli. Ringkasnya dapat membentuk nilai akhlak dan peribadinya yang akan mencorak gerak laku amalan dan perbuatannya, sama ada lingkungan individu maupun kemasyarakatan, seterusnya dalam lingkungan yang lebih luas lagi demi untuk melaksanakan tugas sebagai Khalifatullah di muka bumi. (Mohd. Sulaiman Yasin, 1987)

b) Membentuk Diri Manusia Di Dunia Dan Di Akhirat

Seseorang manusia yang hidup di dunia sebagai negeri yang binasa
dan hidup di akhirat sebagai negeri yang kekal abadi hendaklah membentuk diri mereka dengan iman dan Islam yang berasaskan aqidah yang sahih. Ini bermakna aqidah merupakan asas utama untuk membentuk diri manusia menjadi seorang mukmin dan muslim. Dengan sebab itulah Allah s.w.t. menyuruh umat manusia dalam hidup dan kehidupan mereka sehari-
hari beriman dan menganut agama Islam.

Maksud Firman Allah:
“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya serta kepada penerang
cahaya (al-Quran) yang Kami turunkan. Dan (ingatlah) Allah amat mendalam pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” 
(At-Taghabun: 8)

c) Hubungan Dengan Allah Dan Hubungan Sesama Manusia

Dalam hidup dan kehidupan manusia sehari-hari di dunia ini mempunyai hubungan dan pertalian dengan Allah yang Maha Esa dan hubungan sesama manusia. Hubungan manusia dengan Allah adalah diikat oleh aqidah melalui kalimah tauhid yang mengaku tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah yang Maha Esa.

Sebagaimana maksud Firman Allah:
“Dan ingatlah Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.”
(Az-Zaariyaat: 56)

d) Mengukuhkan Keyakinan Manusia Kepada Beragama

Fitrah manusia yang hidupnya perlu beragama, aqidah menjadi asas utama untuk mengukuhkan keyakinan manusia kepada beragama. Islam selaku agama yang sesuai dengan fitrah manusia perlu dipandu oleh aqidah, agar mereka benar-benar menjadi seorang insan yang kamil berasaskan aqidah kerana dengan aqidahlah seseorang manusia tadi menjadi orang yang beriman dan Islam. Seseorang yang beriman dan Islam yang tidak berasaskan keimanan dan keislaman mereka dengan aqidah, keyakinan mereka kepada
agamanya tidak kukuh kerana tidak ada panduan dan asas yang boleh mengukuhkan mereka itu kepada beragama, di mana keimanan dan keislaman mereka itu dengan mudahnya boleh diselewengkan oleh mereka yang memang sentiasa mencari jalan untuk merosakkan aqidah orang-
orang yang beriman dan Islam.

Oleh yang demikian, adalah wajib bagi setiap orang mukallaf lelaki dan perempuan mempelajari ilmu aqidah atau ilmu tauhid untuk menjaga dan mengelakkan diri mereka dari iktikad-iktikad yang batil dan yang boleh merosakkan aqidah.

Berdasarkan fakta-fakta inilah ilmu aqidah atau ilmu tauhid menjadi suatu ilmu yang mengukuhkan keyakinan manusia beragama dan juga suatu ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap orang yang mukallaf, supaya syahadah mereka itu betul, Islamnya betul, imannya sah, dan amalannya diterima Allah
kerana dengan mengetahui dan memahami ilmu tersebut mereka dapat mengajak manusia kepada agama Allah dengan hikmah, di mana dalam ilmu aqidah dan tauhid itu didapati dalil dan hujjah untuk menetapkan dan menyakinkan aqidah seseorang itu dan mengajak mereka beriman.


Kesimpulan

Konsep aqidah seperti yang digambarkan dalam al-Qur’an adalah sebagai wadah acuan Allah s.w.t, di mana manusia dipinta supaya membentuk dirinya dan perjalanan hidupnya mengikut bentuk dan corak sebagaimana yang telah ditetapkan oleh-Nya. Akidah yang benar dan kuat adalah akidah yang berdasarkan pada al-Quran dan As-Sunnah dan mempunyai dalil-dalilnya. Umat Islam keseluruhannya wajib mempelajari dan mendalami ilmu akidah agar dapat menghindari perkara-perkara batil yang membawa kepada penyelewengan akidah kepada Allah SWT.