Bab 2 : Konsep Syahadah Dan Tuntutannya

Definisi Syahadah

Makna Syahadah: “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan
aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah.”

Kalimah tersebut dinamakan Dua Kalimah Syahadah kerana ia mengandungi dua bahagian syahadah. Syahadah pertama ialah La ilaha illallah yang bererti tiada Tuhan melainkan Allah. Syahadah kedua pula bererti Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah. Kalimah itu juga disebut Kalimah Tauhid.

Dua kalimah itu mestilah diikrar sekaligus. Seseorang yang menyebut atau menerima separuh sahaja seperti syahadah pertama adalah tidak memadai dan tidak sah dia menjadi seorang Islam. Oleh itu wajib ikrar kedua-duanya. Sebab itulah dinamakan Dua Kalimah Syahadah.

Makna syahadah (Tiada Tuhan melainkan Allah) secara ringkas ialah:
Sesungguhnya saya mengaku dengan lidah dan membenarkan dengan hati
bahawa yang disembah sebenar-benarnya ialah Allah s.w.t. Yang Esa.
Manakala syahadah Nabi Muhammad Rasulullah ialah:
Saya mengaku dengan lidah dan tunduk patuh dengan hati bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah yang diutus oleh Allah untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya iaitu dari kejahilan kepada mengetahui dan dari kekafiran kepada Islam.

Yang dimaksudkan dengan dua kalimah syahadah ialah menafikan ketuhanan kepada sesuatu selain Allah dan menetapkan bahawa sifat
ketuhanan hanya bagi Allah sahaja. Di samping itu hendaklah mengaku
kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Iman dan Islam dikira tidak sah tanpa syahadah (Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh
Allah).


Hukum Melafazkan Syahadat

Setiap orang yang melafazkan syahadah dengan kesukaan dan kerelaan hatinya untuk menganut Islam menurut hukum Islam adalah dianggap seorang Islam atau Muslim yang mempunyai hak dan kewajipan menurut syariat Islam, dan wajib dikenakan ke atasnya segala undang-undang dan peraturan-peraturan Islam.

Kalimah syahadah pertama iaitu tidak ada Tuhan melainkan Allah. Susunan kalimah syahadah ini dimulai dengan perkataan ‘tidak’ yang bertujuan untuk
menafikan segala rupa bentuk tuhan, kepercayaan, keyakinan, aqidah dan
sebagainya. Dengan itu akan selamatlah seseorang itu daripada kesesatan
hidup di dunia ini.

Syahadah kedua ialah “Waasyhadu Anna Muhammadan Rasulullah” (Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah). Syahadah kedua ini menunjukkan bahawa orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah ini mengaku dirinya tunduk, patuh dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang rasul dan utusan Allah dan dengan itu mengaku akan menurut segala ajaran tanpa ragu-ragu lagi.


Syarat Sah Syahadah

Apabila seseorang telah melafazkan kalimah syahadah, maka hendaklah
dia mengerjakan segala yang telah diakuinya itu. Dia hendahlah mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan. Syarat sah syahadah dibahagikan kepada empat :

i. Diketahui dan difahami. Wajib mengetahui lafaz Dua Kalimah Syahadah
itu, wajib mengetahui maknanya dan kandungannya.

ii. Ditasdiqkan dengan hati. Wajib meyakini maksudnya dan tidak mempunyai keraguan atau merasa sangsi kebenaran isi dua kalimah syahadah itu.

iii. Diikrarkan dengan lidah. Wajib mengikrar dengan lidahnya serta hendaklah mengucapkan (membaca) dua kalimah syahadah dengan
selengkapnya.

iv. Diamalkan dengan anggota. Wajib mengamalkan tuntutan dan
kehendak-kehendak dua kalimah syahadah itu dan menolak segala apa jua yang bertentangan dengan maksud yang terkandung di dalam dua kalimah syahadah itu.

Kesimpulannya, setiap orang yang melafazkan syahadah, maka wajiblah dia
mentaati segala perintah dan meninggalkan segala larangan atau tegahan
yang telah disyariatkan oleh Allah SWT.

Rukun Syahadah:
i. Ithbat Zat
ii. Ithbat Sifat
iii. Ithbat af’al
iv. Ithbat Nabi Muhammad Saw sebagai pesuruh Allah


Melaksanakan Hak Allah iaitu solat 5 waktu

Tuntutan beriman kepada Syahadah terbahagi kepada:

i. Melaksanakan Hak Allah :
a) Taat kepada Allah
b) Melakukan perintahnya dan menjauhi larangannya
c) Menerima apa yang dibawa oleh al-quran dan Sunnah
d) Mencari keredhaannya (Mardhatillah)

ii. Melaksanakan Hak Individu/Hak Diri :
a) Menuntut ilmu
b) Melaksanakan ibadat
c) Beriman dengan yang ghaib (Sam’iyyat) iaitu Allah, Malaikat, hari kiamat dan hal-hal yang berkaitan
d) Mengajak atau menyuruh kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran
e) Menghukum dengan hukum Allah
f) Menjaga diri dari melakukan perkara yang boleh merosak dan membatalkan syahadah


PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH

Perkara yang membatalkan syahadah boleh dibahagikan kepada:
i. Iktikad
ii. Perbuatan
iii. Perkataan

Contoh-contoh perkara yang membatalkan syahadah dari sudut Iktikad :
i. Syak terhadap kewujudan Allah
ii. Syak terhadap kerasulan Muhammad Saw atau 25 rasul yang lain
iii. Syak terhadap berlakunya kiamat, syurga, neraka, kebangkitan selepas
mati, pahala, seksa, mahsyar, hisab dan lain-lain
iv. Menghalalkan sesuatu yang diharamkan dengan ijmak seperti zina, membunuh jiwa yang diharamkan bunuh, mencuri, liwat dan semua
perkara dibawah hukuman hudud.
v. Menafikan perkara sunat dengan ijmak ulama seperti sunat rawatib dan
sunat dua hari raya.
vi. Meringankan janji Allah dengan balasan pahala atau dosa.

Contoh-contoh perkara yang membatalkan syahadah dari sudut Perbuatan :
i. Sujud kepada berhala, patung,tugu, matahari atau makhluk lain selain Allah dengan sengaja
ii. Mencampakkan mushaf Al-Quran ke tempat yang hina seperti najis, tandas, tong sampah dengan maksud mempersenda, menghina atau meringan -ringankan Al-Quran. Begitu juga kitab hadis dan ilmu syariat dengan maksud menghinanya.
iii. Pergi kerumah ibadat agama lain dengan memakai pakaian keagamaan mereka. Tidak kufur jika pergi ke rumah ibadat agama lain tanpa memakai pakaian keagamaan mereka atau sebaliknya, dengan syarat perbuatan ini dibuat tanpa redha kepada agama mereka. Jika perbuatan itu dibuat dengan redha kepada agama mereka, maka hukumnya kufur.

Contoh-contoh perkara yang membatalkan syahadah dari sudut Perkataan :
i. Menyebut kepada orang Islam: “Hai orang tiada agama!”. Tetapi
ucapan ini memerlukan penjelasan. Jika ia iktikadkan ucapannya itu
dengan maksud si fulan itu bukan beragama Islam, maka kufur.
iii. Mempermainkan nama Allah, atau janji Allah memberi pahala, syurga,
neraka sambil meringankannya.
iv. Menyebut: “Kalau Allah menyuruh melakukan sekian sekian, saya tidak
akan melakukannya” sambil meringankan suruhan Allah atau degil dan
ingkar.
v. Menyebut: “Berapa kali dah aku sembanyang tapi tak pernah bernasib
baik, solat apa macam ni!”


RUJUKAN

  • Al-Quran
  • Youtube, https://www.youtube.com/watch?v=oBzhwwRt7i
  • Abdul Al Salim Makram. (1990). Peranan akidah dalam pembinaan individu & masyarakat. Kuala Lumpur. Pustaka Al-Mizan.
  • Abdullah Irwani. (1992). Asas-asas aqidah. Kuala Lumpur. Pustaka Salam Sdn. Bhd.
  • Said Ibrahim. (2000). Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Negeri Sabah. Darul Ma’rifah.
  • Sulaiman Endut. (2002). Asas-asas Fardu Ain. Kuala Lumpur. Pustaka Haji Abdul Majid.
  • Sulaiman Yasin. (1984). Pengantar aqidah. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Like what you read? Give Pengajian Islam a round of applause.

From a quick cheer to a standing ovation, clap to show how much you enjoyed this story.