Bab 4 : Konsep Akhlak Islamiah

Pengertian Akhlak

Perkataan Akhlak adalah kata-kata jama daripada Khuluq (الخلق) pecahan daripada kata khalq (الخلق ). Menurut Ibn Athir, Khuluq atau akhlak itu ialah bentuk (kejadian) manusia dari sudut batin, sementara khalq pula adalah bentuk kejadian manusia dari sudut yang lahir 
(Mohd.Sulaiman : 1992)

Seterusnya, penjelasan daripada Imam al-Ghazali boleh membantu kita untuk memahami akhlak dengan lebih jelas. Menurutnya, seseorang yang dikatakan baik bentuk kejadiannya dan akhlaknya adalah seorang yang baik lahir dan batinnya. Jadi akhlak itu ialah suatu hai’ah atau hal yang tetap dalam diri atau dalam jiwa, yang melahirkan tindakan atau perbuatan atau perlakuan ataupun perilaku amalandengan mudah tanpa memerlukan pemikiran.

Kesimpulannya apa yang dimaksudkan dengan akhlak itu ialah hai’ah atau hal atau sifat dalam diri manusia tang telah tetap sehinggakan dengan mudah mendorong perlakuan yang baik atau buruk tanpa difikir atau dirancang. (Mohd.Sulaiman: 1992)

Sebagai contoh, seorang yang berakhlak pemurah apabila melihat
orang dalam kesusahan, tanpa teragak-agak segera menghulurkan bantuan. Demikianlah juga seorang yang berakhlak pemarah, seadainya tersinggung perasaannya atau tersentuh kepentingannya, maka dengan mudah sekali dia akan naik marah. Sebaliknya, seorang yang jarang memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan pertolongan, maka sifat pemurah itu masih belum menjadi akhlaknya kerana belum menetap dalam dirinya. Oleh itu, orang seperti ini akan berasa berat sehinggakan memaksa-maksa dirinya untuk menghulurkan bantuan.

Daripada pengertian itu, akhlak menurut pandangan Islam adalah berkait langsung dengan unsur dalaman, yang diistilahkan sebagai ‘al-Nafs al-Insani’ atau diri atau jiwa manusia (Mohd. Sulaiman: 1992).


Aliran Pemikiran Etika

Terdapat beberapa aliran pemikiran etika iaitu:

(i) Pemikiran Rasionalis
Suatu aliran yang berpandangan bahawa segala tingkah laku moral seperti menghormati orang tua, menyayangi alam sekitar dan semangat patriotic memerlukan asas pemikiran rasional yang waras dan logik.

(ii) Pemikiran Naturalis
Suatu aliran pemikiran yang berusaha untuk menggambarkan sesuatu itu dalam keadaannya yang sebenar.

(iii) Pemikiran Intuisionis
Suatu aliran pemikiran yang merujuk kepada suatu proses ‘melihat’ dan
‘memahami’ secara spontan yang berkaitan dengan bisikan hati.

(iv) Pemikiran Emotivis
Suatu aliran pemikiran yang merujuk kepada sikap manusia yang bertindak
mengikut perasaan atau emosi, yang dilahirkan sama ada melalui muka
atau kata-kata atau tingkah laku; sama ada menunjukkan perasaan
gembira mahupun sedih.


Konsep Baik Dan Jahat

Imam al-Ghazali membahagikan akhlak kepada dua jenis: akhlak yang baik (mahmudah) dan akhlak yang buruk (mazmumah). Dalam Ihya’ Ulum al-Din, Imam al-Ghazali membincangkan tentang akhlak yang menghancurkan (muhlikat) dan akhlak yang menyelamatkan (munjiyat).

Akhlak yang buruk adalah seperti rakus semasa makan, banyak bercakap, dengki, kikir, cinta dunia, sombong, ujub dan takbur serta riak. Manakala akhlak yang baik adalah seperti taubat, khauf, zuhud, sabar, syukur, ikhlas, dan jujur, tawakal, cinta, reda dan ingat mati. Seseorang itu hendaklah melatih dirinya bagi membiasakannya dengan budi pekerti yang baik dan meninggalkan kebiasaan yang buruk melalui bimbingan dan latihan.

Selanjutnya, Imam al-Ghazali menyatakan bahawa semua etika keagamaan tidak mungkin akan dapat meresap masuk ke dalam jiwa sebelum jiwa itu sendiri dibiasakan dengan kebiasaan baik dan dijauhkan daripada kebiasaan yang buruk. Nilai-nilai moral dan etika keagamaan mestilah mendarah daging menjadi perilaku dan kebiasaan, bahkan kesedaran.


Rasulullah sebagai Uswah Hasanah

Nabi Muhammad Salla al-Lah ‘Alayhi Wa Sallam adalah sumber rujukan dan
uswah hasanah (ikutan terbaik). Ini disebabkan :

i. Baginda Sallah al-Lah ‘Alayhi Wa Sallam telah mempraktis dan menjalani kehidupan berasaskan didikan al-Quran

Ini dapat dilihat dalan firman Allah Subhanallahu Wa ta’ala, bermaksud:
“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)”
(Al- ‘Araf: 199)
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar serta kezaliman, ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”. (al-Nahl: 90)
“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang” (al-‘Isra: 37)

ii. Pengiktirafan, pujian dan anjuran Allah Subhanahu Wa ta’ala (Al-Quran) supaya berakhlak sebagaimana akhlak Rasulullah Salla al-Lah ‘Alayhi Wa Sallam

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia” (Al-Qalam : 4)
Firman Allah S.W.T lagi :
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keridaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Al-Ahzab: 21)

Pada diri baginda terdapat sifat-sifat kenabian seperti siddiq, amanah, tabligh dan fatanah dan pelbagai sifat terpuji yang lain, antaranya berani, pemurah, lemah lembut, kasih sayang, peramah, tenang, sabar, tegas dan lain-lain. Semuanya dilaksanakan di atas dasar keimanan kepada Allah Subhanallahu Wa ta’ala.

Contoh akhlak baginda, umumnya dapat dibahagikan kepada 3kategori yang utama iaitu :

i. Akhlak baginda dengan Allah Subhanahu Wa Ta’Ala
ii. Akhlak baginda dengan sesama manusia
iii. Akhlak baginda dengan alam

i. Akhlak Baginda Dengan Allah SWT
Baginda Salla al-Lah ‘Alayhi Wa Sallam telah menghubungkan seluruh hidupnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dalam soal akhlak, baginda
memohon dari Allah Subhanahu Wa ta’ala supaya memperelokkan akhlak
dan menjauhi akhla yang buruk. Hakikat ini digambarkan melalui doa baginda dipermulaan solat sebagaimana diriwayatkan oleh Muslim, bermaksud:

“Wahai Allah Tuhanku! Berikanlah aku petunjuk kepada akhlak yang sebaik-baiknya. Tiada yang memberi petunjuk kepada akhlak yang sebaik-baiknya tu, selain engkau. Jauhkanlah dari padaku akhlak yang jahat, tiada yang menjauhkan akhlak yang jahat itu daripadaku selain engkau” 
(Imam Al-Ghazali , 1988: 138)

Keimanan baginda Nabi SAW begitu kental dan teguh dalam semua keadaan.

Kisah baginda dengan seorang lelaki yang gagah perkasa tetapi memusuhi baginda boleh dijadikan contoh kekentalan dan kemerdekaan jiwa. Baginda diugut untuk dibunuh oleh sorang lelaki dengan pedang terhunus.

Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah Salla al-Lah ‘Alayhi Wa Salam : “Siapakah yang boleh menyelamatkannya?”

Dengan tegas baginda menjawab : “Allah Yang Maha Berkuasa”

Mendengar jawapan yang begitu tegas, lelaki tersebut menjadi gementar dan lemah sehingga pedangnya terjatuh tanpa disedari.

Baginda mengambil pedang tersebut dan bertanya : “Siapa pula yang boleh menyelamatkan kamu?”

Kelu lidah lelaki tersebut untuk menjawab. Dia pasrah dan merasakan ajalnya sudah tiba. Walaupun baginda boleh membunuhnya, namun baginda tidak melakukannya. Baginda menyerah kembali pedang tersebut dan menyatakan bahwa misinya bukan untuk membunuh manusia, tetapi untuk menanam rasa cinta, kasih dan sayang serta menghargai jiwa. Kemurnian akhlak baginda menyebabkan lelaki yang dahulunya menjadi musuh tetapi kini menjadi sahabat apabila dengan rela hati memeluk Islam.

ii. Akhlak Baginda Sesama Manusia
Dalam konteks ini, terlalu banyak amalan atau perlakuan terpuji baginda Salla al-Lah ‘Alayhi Wa Sallam dalam pergaulannya sama ada dengan keluarga; isteri dan anak-anak, para sahabat, para pembesar, musuh dan sebagainya. Anas bin Malik menceritakan, Rasullullah Salla al-Lah ‘Alayhi Wa Sallam gemar mengunjungi orang sakit, menghadiri upacara pengurusan jenazah, mengenderai keldai biasa dan memperkenankan undangan hamba sahaya yang menjemputnya (Aboebakar Atjeh, 1988: 267-302)

iii. Akhlak Baginda Dengan Alam
Akhlak mulia yang baginda tunjukkan bukan sahaja melibatkan manusia, malah juga kepada makhluk lain sama ada nampak atau tidak. Makhluk-makhluk tersebut seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, muka bumi, jin dan sebagainya. Sebagai contoh, baginda telah menjelaskan terdapat perempuan tua yang akan diseksa dalam neraka kerana memelihara kucing, mengurungnya dan tidak memberi makan sehingga kucing tersebut mati. Terdapat perempuan yang dalam hidupnya melakukan berbagai-bagai kemaksiatan tetapi mendapat balasan syurga kerana kebaikan hatinya iaitu memberi minum anjing yang kehausan.

Selain daripada itu, baginda juga mendidik umat Islam supaya tidak membuang air kecil di dalam lubang-lubang kerana ia adalah kediaman jin.
Begitu juga bila menyembelih haiwan, hendaklah dengan pisau yang tajam dan tidak menunjukkan senjata tersebut kepada haiwan yang hendak disembelihnya.


RUJUKAN

  • Al-Ghazali, Abu Hamid. (2000). Ihya Ulum Al-Din. Al-Qahirah : Dar Al-Taqwa.
  • Dr. Danial Zainal Abidin, (2003). Empayar minda muslim, Modul Tarbiah asas alaf ketiga. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
  • Fakhry, Majid (2001). Sejarah filfasat Islam : Sebuah Peta Kronologis. Bandung: Mizan.
  • H.M. Asjwadie Sjukur (1979). Ilmu Tasawwuf II. Surabaya: PT Bina Ilmu.
  • Mohd. Sulaiman Haji Yasin (1997). Mengenal Ilmu Tasawuf (pengantar). Kuala Lumpur : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
  • Mohd. Sulaiman bin Hj. Yasin, (1992). Akhlak dan Tasawuf. Bangi : Yayasan Salman.
  • Prof. Dr. Hj. Abo bakar Atjeh. (1985). Pengantar sejarah sufi dan tasawuf. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
  • Syed Muhammad Naquib al-Attas. (1977). Islam : Faham agama dan asas akhlak Kuala Lumpur: ABIM.
  • Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) : http://www1.muis.gov.sg/lectures/farid002.html
One clap, two clap, three clap, forty?

By clapping more or less, you can signal to us which stories really stand out.