Bab 5 : Konsep Ilmu & Akal

Dalam al-Quran disebut banyak kali dan dalam banyak tempat tentang ilmu. Hal tersebut menunjukkan betapa pentingnya ilmu itu kepada manusia, khasnya untuk membina akal dan individu kearah yang baik, sempurna dan mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat. Islam amat menuntut umatnya mencari dan mempelajari ilmu, baik ilmu yang merupakan ilmu fardhu ain, mahupun ilmu berbentuk fardu kifayah. Di mana ilmu merupakan asas yang penting kepada seseorang dalam menjalani kehidupan atau untuk melaksanakan apa yang diperintah.

Adalah tidak mungkin seseorang yang tidak berilmu dapat melaksanakan apa yang diperintahkan dengan sempurna. Antara lain, orang yang berilmu sajalah dapat mendekatkan diri kepada Allah dan bertaqwa dengan hakikat sebenarnya.

Sebagaimana firman Allah, Surah Fathir 35:28 :
“Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun”

Dalam konteks lain juga, Islam menyanjung tinggi orang yang alim dan berilmu. Orang yang berilmu diangkat ke darjat yang tinggi dan mulia.

Sebagaimana firman Allah, Surah al-Mujadalah 58:11 :
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”

Manakala orang yang jahil pula disuruh belajar dan bertanya kepada orang yang alim dan berilmu. Hal itu supaya mereka mendapat panduan dan dapat beramal dengan baik serta betul mengikut kehendak syarak.

Sebagaimana firman Allah, Surah al-Nahl 16:43 :
“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui”

Pengertian Ilmu

Perkataan ilmu sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran dapat diberikan dengan berbagai maksud dan makna. Dari sini ia dapat diberikan dengan dua pengertian:

1. Pengertian Bahasa
2. Pengertian Istilah

Pengertian Bahasa
Ilmu menurut pengertian bahasa membawa erti berikut:

  • Al-Ru’yah: iaitu lihat dan perhati. Contohnya sebagaimana firman
    Allah Surah Muhammad 47:31.
  • Al-‘Ilm Bi al-Syai’: iaitu mengetahui tentang sesuatu. Sebagaimana
    firman Allah Surah al-‘Ala 87:7.
  • Al-Izn iaitu kebenaran dan keizinan. Sebagaimana firman Allah Surah
    Hud 11:14.

Pengertian Istilah
Pengertian ilmu menurut istilah ialah mendapat sesuatu atau pengetahuan tentang sesuatu yang belum diketahui melalui cara pembelajaran.


Perbezaan Ilmu, Makrifah Dan Hakikat

Berdasarkan apa yang telah dijelaskan, diantara ilmu dengan makrifah serta hakikat, ada perbezaannya. Penjelasan mengenai perkara ini secara ringkasnya dapat dijelaskan sebagaimana berikut :

  1. Ilmu merupakan suatu pengetahuan yang meliputi pengetahuan yang
    diperolehi oleh seseorang sama ada melalui belajar atau pengalaman. Ilmu juga merupakan pengetahuan yang meliputi perkara yang berasaskan keraguan, syak, kebenaran juga kebatilan. Antara lain, ilmu juga berbentuk umum yang meliputi perkara yang berkaitan dengan hal-hal keduniaan dan akhirat. Justeru itu ilmu adalah meliputi ilmu fardu ain dan fardu kifayah.
  2. Makrifah ialah keadaan atau sifat seseorang yang mengenal sesuatu dari
    sudut zat, sifat dan kadarnya hingga akhirnya seseorang itu dapat mengetahui atau dapat membongkar tentang rahsia sesuatu. Menurut
    pendapat imam al-Ghazali, makrifah masih belum pasti sepenuhnya dan
    belum mencapai tahap keyakinan yang mutlak. Ilmu berasaskan makrifah
    juga masih boleh diragui, contohnya, makrifah melalui hissi atau pancaindera seperti: Pada penglihatan mata, matahari adalah kecil tetapi hakikatnya adalah besar. Contoh lain, makrifah aqli juga masih tidak terlepas daripada keraguan, seperti: Alam metafizik atau alam ghaib tidak dapat dijangkau tentang hakikat sebenarnya.
  3. Hakikat merupakan kedudukan yang paling tinggi serta jalan untuk menjamin ke puncak kejayaan. Hal tersebut kerana ilmu dan makrifah adalah nur untuk mencapai hakikat. Konteks lain, hakikat merupakan makrifah yang yakin serta mutlak. Dengan hakikatlah dapat membezakan
    antara kebenaran dengan kebatilan. Hakikat boleh dicapai melalui gabungan antara akal, ilmu, wahyu dan makrifah.

Pembahagian Ilmu

Dalam konteks lain, ilmu itu pula dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

1. Ilmu Fardu Ain.
2. Ilmu Fardu Kifayah.

Ilmu Fardu Ain
Ilmu fardu Ain ialah sesuatu ilmu yang menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mempelajari dan mendalaminya. Sekiranya individu itu tidak mempelajarinya maka ia dikira belum melaksanakan tanggungjawabnya dan berdosa. Dalam keadaan lain, ilmu yang berkaitan dengan fardhu Ain ini wajib mempelajarinya dan wajib melaksanakannya. Contohnya: Mempelajari Al-Quran, sembahyang dan ibadat lain.

Ilmu Fardu Kifayah
Ilmu fardu kifayah ialah sesuatu ilmu yang menjadi tanggungjawab sekumpulan tertentu sahaja yang mewakili orang Islam yang lain atau untuk
mewakili masyarakat. Ilmu tersebut kiranya sudah ada segolongan yang
mempelajarinya, maka orang Islam yang lain bebas daripada tanggungjawab, dan kiranya tiada seorang pun yang mempelajarinya, maka semua ahli masyarakat berdosa. Contohnya: Ilmu kedoktoran, sains dan mempelajari ilmu tafsir dengan mendalam.


Sumber Sumber Ilmu

Sebenarnya sumber ilmu itu banyak pecahan dan bahagiannya, ia juga dibahagikan kepada pandangan tertentu, antaranya ialah :

1. Sumber ilmu menurut Al-Quran dan Hadis
2. Sumber ilmu menurut ahli falsafah

Sumber Ilmu Menurut Al-Quran Dan Hadis
Sumber Ilmu sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Quran dan Hadis ialah :

  1. Allah sebagai pemberi sumber ilmu yang terbesar dan Allah yang utama
    member ilmu kepada manusia, sama ada melalui wahyu yang mana ia hanya khusus untuk pada nabi dan rasul. Antara lain juga ilmu yang dikurniakan oleh Allah, ialah melalui mimpi dan ilham. Setengah orang
    yang terpilih atau dipilih oleh Allah mendapat ilmu Laduni, iaitu salah satu daripada bentuk ilmu yang dikurniakan oleh Allah dengan cara ilham dan tanpa belajar, seperti dapat mengetahui tentang firasat atau perkara yang akan berlaku masa akan datang dengan izin Allah. Contohnya, Nabi Khidir a.s. Sebahagian firman Allah Surah al-Kahfi 18:65.
  2. Ilmu juga dapat diperolehi dengan mempelajari atau belajar, baik secara
    langsung atau tidak langsung, membaca, mendengar atau mengkaji.
    Sebagaimana saranan Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn. Majah.
  3. Sumber ilmu itu kadang kala dapat dicapai dengan bersumberkan
    pancaindera dan tanggapan pancaindera manusia, seperti pendengaran telinga, penglihatan dan pemerhatian mata dan juga melalui hati, iaitu kesedaran, keinsafan dan keyakinan. Sebagaimana firman Allah Surah al-Ghasiyah 88:17.
  4. Ilmu dan sumber ilmu itu diperolehi melalui penelitian, pemerhatian dan
    berjalan serta mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu yang
    telah berlaku. Sebagaimana firman Allah Surah Yusuf 12:109.
  5. Sumber ilmu itu kadang kala juga dierolehi melalui pertanyaan kepada
    orang yang lebih mengetahui. Sebagaimana firman Allah Surah al-Nahl
    16:43.

Sumber Ilmu Menurut Pemikir Islam
Sumber ilmu menurut pemikir Islam, khasnya menurut pendapat Imam al-Ghazali, sumber ilmu boleh dicapai melalui beberapa proses, antaranya ialah :

  1. Ilmu dapat diperolehi melalui deria serta pancaindera. Contohnya deria rasa, deria sentuh, deria pendengaran dan juga penglihatan mata.
  2. Menurut imam al-Ghazali juga sumber ilmu juga dapat dicapai dan
    diperolehi melalui akal, di mana akal itu hendaklah diarah kepada
    pemikiran atau fitrah akal yang positif hendaklah digunakan untuk
    mengkaji, berfikir dan memahami sesuatu hingga menghasilkan pengetahuan, sama ada berbentuk pengalaman atau ilmu itu sendiri.
  3. Sumber ilmu juga dapat dicapai menerusi institusi, seperti secara rasmi
    sekarang melslui persekolahan, kuliah, pembentangan kertas kerja, seminar, forum dan seumpamanya. Selain itu ilmu dapat diperolehi juga melalui institusi tidak rasmi, seperti pembelajaran di kampung melalui masjid.
  4. Sumber ilmu juga boleh diperoleh melalui ilham.
  5. Ilmu dan sumber ilmu boleh dicapai melalui wahyu, ia hanya khusus untuk para nabi dan rasul sahaja.
  6. Menurut imam al-Ghazali juga, ilmu itu bukan sekadar berbentuk pengetahuan, tetapi ia hendaklah dilaksanakan atau dipraktikan atau
    diamalkan. Justeru itu ilmu dapat diperolehi melalui pengalaman dan
    amalan serta contoh tauladan.
  7. Sumber ilmu boleh didapati dengan belajar dan membuat kajian. Imam
    al-Ghazali menambah lagi, binatang yang tidak berakal boleh dibentuk
    dan dididik, apatah lagi manusia yang waras dan berakal itu, sudah tentu boleh mencapai dan mendapat ilmu dengan mempelajarinya dan belajar.

Konsep Akal

Akal merupakan asas penting kepada manusia dan dengannya dapat membezakan darjat manusia dengan makhluk lain. Akal merupakan asas
asal dan konsep utama menyebabkan manusia itu dipertanggungjawabkan dengan taklif serta syarat seseorang itu sempurna. Oleh itu anugerah akal
merupakan sesuatu nikmat dan rahmat yang besar. Lantaran akal adalah amanah seperti nikmat lain. Islam melarang keras perbuatan merosakkan
kawarasan akal, seperti: Meminum minuman yang memabukkan. Allah menyebut banyak kali tentang akal dalam al-Quran, yang mana perkataan yang berkaitan dengan akal diulang-ulang hampir 50 kali. Ini menunjukkan betapa tinggi dan mulianya akal itu. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani :

Terjemahan: “Kejadian pertama yang dijadikan oleh Allah ialah akal, lalu ia
diperintahkannya datang, akal pun datang. Kemudian ia diperintahkan supaya pergi, akal pun pergi. Kemudian Allah berfirman kepada akal : Demi kebesaran-Ku dan kemuliaan-Ku, tidak ada makhluk lain yang lebih mulia disisi-Ku daripada kejadianmu. Dengan mu Aku memberi dan mengambil. Denganmu Aku memberi pahala dan menyiksa”

Dalam hadis lain nabi bersabda tentang keistimewaan akal, sebagaimana
sabda Baginda yang diriwayatkan oleh al-Tabarani :

Terjemahan: Aisyah telah menceritakan, “Dimana aku telah bertanya Rasulullah, “Wahai Rasulullah ; dengan apa manusia itu berbeza darjat kelebihannya dalam kehidupan di dunia?” Jawab baginda, “Dengan akal.” Aku bertanya lagi, “Bagaimana pula dalam kehidupan akhirat? Bukankah manusia itu dibalas menurut kadar amalan mereka?” Jawab Rasulullah, “Wahai Aisyah; Bukanlah mereka beramal menurut kadar akal yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Maka mengikut kadar akal itulah amalan mereka dan mengikut kadar amalan itu pulalah mereka dibalas.”

Berdasarkan prinsip tersebutlah maka akal yang waras merupakan syarat taklif dan seseorang dikenakan tanggungjawab, sama ada dalam urusan akidah serta ibadat. Oleh itu dengan akal, manusia bebas memilih jalan mereka, samada kufur atau beriman. Hal itu Islam tidak memaksa dalam beragama, kerana jalan yang benar dan salah telah jelas.

Sebagaimana firman Allah:
Terjemahan: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur) … 
(Surah al-Baqarah 2:256)

Peranan Akal

Antara peranan akal menurut al-Quran dan al-Sunnah ialah sebagaimana berikut:

a) Akal berperanan untuk mengkaji dan mendalami serta mempelajari ilmu.
Justeru itu akal yang dikurniakan kepada manusia itu hendaklah digunakan semaksima mungkin dan mengambil kesempatan yang sebanyak mungkin untuk memperolehi ilmu pengetahuan setinggi mungkin. Antaranya sebagaimana firman Allah:

Terjemahan: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang
yang berakal” (Surah ali ‘Imran 3: 190)

Untuk itu, al-Quran membuka ruang yang selebar mungkin kepada
manusia supaya menggunakan akal mereka untuk mencari ilmu, baik Ilmu yang berkaitan dengan keduniaan dan ilmu yang berkaitan dengan akhirat atau keagamaan.

b) Peranan akal yang lain ialah untuk mempelajari wahyu Allah dan untuk
memahaminya. Justeru itu, akal menyebabkan seseorang itu berilmu dan
mengangkat seseorang supaya mendapat kedudukan yang mulia.

Sebagaimana firman Allah, terjemahan: “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu ; dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat” (Surah al-Mujadalah 58:11)

c) Akal merupakan salah satu syarat manusia ditaklifkan dan akal yang tidak diarahkan dengan betul menurut syarak atau akal yang lalai daripada menunaikan tanggungjawab Allah menyebabkan seseorang itu dikenakan azab.

Sebagaimana firman Allah, terjemahan : “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati yang tidak (mahu) memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata yang tidak (mahu) melihat dengannya (bukti-bukti keEsaan Allah), dan mempunyai telinga yang tidak (mahu) mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lali.” (Surah al-Araf 7: 179)

d) Akal merupakan sumber dan memain peranan utama untuk mengenal
Allah, sama ada melalui sifat-Nya atau bukti kekuasaannya-Nya.

Sebagaimana Hadis, terjemahan: ‘Berfikirlah kamu tentang makhluk atau penciptaan Allah, janganlah kami berfikir tentang zat Allah, kerana sesungguhnya kamu tidak akan mampu memenuhi kadarnya”

e) Akal membawa peranan yang positif serta dengannya seseorang dapat
menilai antara kebaikan dengan keburukan. Seandainya seseorang itu tidak mengetahuinya ia hendaklah mengarahkan akalnya supaya berusaha dan bertanya kepada orang yang berpengetahuan.

Sebagaimana firman Allah :
Terjemahan: ‘Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui” (Surah al-Nahl 16:43)