Bab 7 : Sistem Masyarakat Islam

Ciri-Ciri Keistimewaan Masyarakat Islam

Sebenarnya ciri-ciri keistimewaan masyarakat Islam adalah banyak. Di
antaranya ciri-ciri yang terpenting ialah :

  1. Memelihara nilai-nilai akhlak.
    2. Berpegang teguh dengan konsep keadilan.
    3. Mengambil berat terhadap kekeluargaan / perkahwinan.
    4. Menentukan kedudukan wanita dalam masyarakat.
    5. Memberi tanggungjawab individu bertindak memperbaiki masyarakat
    denganmenyuruh perkara-perkara yang baik dan meninggalkan perkara
    kemungkaran.

1.Memelihara Nilai-nilai Akhlak
Yang dikatakan masyarakat Islam mestilah mempunyai nilai-nilai akhlak
di kalangan ahli-ahli anggotanya yang berasaskan kepada ajaran Islam.
Oleh itu kita dapati segala peraturan atau undang-undang dalam masyarakat Islam adalah bertujuan untuk memelihara nilai-nilai akhlak yang mulia serta menjaga kebersihan masyarakat dari perbuatan-perbuatan yang tercela dan terkutuk itu. Contohnya undang-undang rejam atau rotan 100 kali kepada mereka yang melakukan zina setelah cukup syarat-syaratnya adalah mempunyai hubungan rapat dengan menjaga nilai akhlak bukan sahaja kepada si pelaku malah kepada orang ramai. Dalam perhubungan pergaulan seharian juga berasaskan nilai-nilai akhlak dengan menyangka baik, terhadap seseorang, saling percaya mempercayai, hormat menghormati, tidak menipu dan tidak menyesatkan seseorang. Seterusnya diharamkan mengintai-intai kesalahan orang lain, mengumpat, mengadu dumba, hasad dengki, yang mana semua perbuatan ini akan mendatangkan permusuhan sesama anggota. Ini jelas menunjukkan masyarakat Islam mengutamakan nilai-nilai akhlak.

Sementara itu gejala-gejala kemungkaran tidak dibiarkan berlaku dalam
masyarakat dengan sewenang-wenangnya malah Islam sangat mencela
orang-orang yang merbahaya jika dibiarkan tanpa diberi ubat nescaya
membinasakan tubuh badan.

Di sana secara khusus masyarakat Islam mengenakan peraturan kepada
wanita iaitu :

1. Seorang wanita tidak dibenarkan bergaul bebas dengan lelaki yang bukan suaminya atau bukan muhrimnya.
2. Seorang wanita apabila keluar rumah hendaklah berpakaian menutup aurat.

Peraturan-peraturan tersebut dibuat semata-mata bertujuan memelihara nilai-nilai akhlak di kalangan anggota masyarakat itu sendiri supaya tidak terjebak di lembah kejahatan atau kemungkaran.

2.Berpegang Teguh dengan konsep keadilan
Berlaku adil apabila menetapkan satu-satu hukuman dan tindakan
merupakan satu ciri yang terpenting dalam masyarakat Islam. Ianya
merupakan salah satu sifat akhlak yang mulia dan asas utama dalam
membentuk sebuah masyarakat Islam. Adil ialah meletakkan sesuatu pada
tempatnya, lawannya zalim iaitu tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Banyak ayat Al-Quran secara umum menyuruh berlaku adil. Antaranya
Firman Allah :

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya” (An.Nahl : 90)

Di sana terdapat beberapa ayat Al-Quran secara khusus memerintahkan
berlaku adil. Contohnya :

1. Berlaku adil dalam percakapan

Firman Allah :
Maksudnya :
“Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah berlaku adil sekalipun dia dari kaum kerabatmu” (Al-An’am : 152)

2. Berlaku adil dalam menulis dan mencatit

Firman Allah :
Maksudnya : “Dan hendaklah seorang penulis diantara kamu menulis dengan benar (adil)”.
(Al-Baqarah : 282)

3. Berlaku adil dalam melaksanakan hukum dan pendamaian

Firman Allah :
Maksudnya :
“Dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah menghukum adil”
(An-Nisa’: 58)

3. Mengambil berat terhadap keluarga / perkahwinan
Keluarga adalah asas kekuatan Islam, kerana masyarakat itu sendiri terdiri dari kumpulan-kumpulan keluarga. Tegasnya keluarga umpama sel-sel yang membentuk tubuh badan. Kalau keluarga baik nescaya masyarakatnya pun akan menjadi baik. Sebaliknya kalau keluarga itu rosak, maka masyarakat keseluruhannya akan menjadi rosak.

Oleh sebab itu Islam mengambil perhatian berat terhadap keluarga dan telah mengadakan peraturan-peraturan yang lengkap untuk kebaikan ahli-ahli keluarga. Hukum-hukum atau peraturan-peraturan yang mengatur keluarga itu tercantum di dalam Al-Quran dan Hadis yang dijadikan sebagai satu cara hidup masyarakat Islam yang sempurna. Dengan lain perkataan melalui institusi rumahtangga inilah yang membangunkan binaan masyarakat dan mengwujudkan anggota-anggotanya dengan jalan perkahwinan antara sepasang manusia. Dengan perkahwinan ini lahirlah ke alam ujud ini generasi baharu yang bercabang daripadanya ikatan-ikatan kerabat, pertalian-pertalian adik beradik dan lainnya dari ikatan keluarga.

Rumahtangga adalah institusi yang di dalamnya akhlak setiap generasi itu dilatih dan disediakan untuk memikul tanggungjawab untuk ketamadunan manusia yang besar itu dengan penuh kasih sayang, cinta dan mesra. Rumahtangga juga merupakan akar tunjang, pembaruan manusia dan
asal-usul pokoknya. Dari sini kita lihat, bahawa apa yang mula-mula sekali
diberi perhatian serta ditimbulkan oleh Islam dari masalah-masalah social
ialah mendirikan institusi rumahtangga dan meletakkannya di atas asas-asas
yang paling teguh dan paling betul.

Islam tidak memandang ringan kepada hubungan secara berfoya-foya di antara lelaki dan perempuan. Hubungan demikian di dalam Islam adalah di antara bahaya yang mengancam ketamadunan manusia dengan keruntuhan dan kemusnahan. Hubungan seperti ini diharamkan oleh Islam secara mutlak dan diperhitungkannya di antara jenayah, yang ditentukan hukuman untuk mana-mana anggota masyarakat yang melakukannya.

4. Menentukan kedudukan wanita dalam masyarakat
Ciri keempat dalam masyarakat Islam ialah meletakkan dan menentukan kedudukan wanita yang sewajarnya dalam masyarakat tanpa dipengaruhi oleh kehendak-kehendak hawa nafsu. Islam menganggap masalah wanita sebagai masalah yang serius dan paling penting sekali sehingga menganggap buruk dan baiknya sesuatu masyarakat bergantung kepada sejauh mana buruk dan baiknya sesuatu masyarakat bergantung kepada sejauh mana buruk dan baiknya wanita. Maksudnya buruk dan baik wanita dalam masyarakat adalah banyak memberi kesan terhadap masyarakat keseluruhannya. Kalau wanita-wanita itu baik maka kembali kebaikannya kepada masyarakat seluruhnya dengan melahirkan generasi-generasi yang baik bersifat amanah, bertanggungjawab dan berakhlak tinggi yang membawa masyarakat itu aman, damai sejahtera dan bahagia.

Sebaliknya buruknya wanita dalam masyarakat membawa kesan yang
negatif pada keseluruhan anggota masyarakat dengan menghasilkan generasi bersifat kurang ajar, tidak sopan dan rosak moral. Oleh sebab itu, dalam masyarakat Islam telah menetapkan hak-hak wanita dengan sempurna, tanpa dikurangi sedikit pun hak-hak tersebut. Islam telah memuliakan wanita dan meletakkannya ke darjat yang lebih tinggi. Al-Quran telah menjelaskan bahawa wanita adalah satu unsur yang turut bergiat dalam membangunkan masyarakat serta menjaga keutuhan dan kesejahteraan umat.

Islam memerintahkan supaya kita memuliakan wanita, baik sebagai anak, sebagai isteri atau sebagai ibu. Islam melarang kita bersikap sedih di atas kelahiran anak-anak perempuan serta mengancam keras perbuatan menguburkan anak-anak perempuan hidup-hidup.

Islam memuliakan wanita sebagai anak kecil sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah.

Maksudnya :
“Barangsiapa yang mempunyai anak perempuan lalu ia mengajarnya dan mendidiknyadengan baik, maka anak itu kelak akan menjadi tabir yang melindunginya dari api neraka.”

Islam memuliakan wanita sebagai isteri sebagaimana yang dinyatakan
nas berikut. Sabda Nabi s.a.w. :

Maksudnya :
“Sebaik-baik kesenangan di dunia ini ialah isteri yang soleh, kalau engkau melihat kepadanya, maka engkau merasa gembira dan kalau engkau berpergian, maka ia menjaga nama baikmu.”

Islam memuliakan wanita sebagai ibu pula adalah sebagaimana yang
diterangkan oleh nas-nas berikut :

Maksudnya :
“Dan kami memerintahkan kepada manusia, supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya menghamilkan dia dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah.”

Dalam Hadis Nabi yang lain,

Maksudnya :
“Seorang laki-laki datang menghadap Rasulullah s.a.w. dan bertanya, “Ya
Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk saya berbuat baik
kepadanya?”
Rasulullah s.a.w. menjawab : ‘Ibu Mu’
Orang itu bertanya lagi : ‘Kemudian siapa lagi?’
Rasulullah s.a.w. menjawab : ‘Ibu Mu’
Orang itu bertanya pula : ‘Kemudian siapa lagi?’
Rasulullah s.a.w. menjawab : ‘Ibu Mu’
Lalu orang itu bertanya lagi : ‘Kemudian siapa lagi?’
Rasulullah s.a.w. menjawab : “Ayah Mu’

5. Individu bertanggungjawab memperbaiki masyarakat
Termasuk ciri-ciri keistimewaan masyarakat Islam ialah memberi tanggungjawab kepada individu untuk memperbaiki keadaan masyarakat.
Tegasnya sifat amar maaruf dan nahi mungkar (menyuruh kepada perkara
yang baik dan mencegah yang mungkar) merupakan satu tanggungjawab yang penting atau tugas yang utama bagi individu-individu masyarakat Islam. Setiap individu masyarakat dituntut berusaha dan bekerja keras untuk kepentingan yang menimbulkan kerosakan dalam masyarakat berdasarkan
kemampuan dan kesanggupan masing-masing. Seterusnya berusaha memberi sebarang pertolongan kepada anggota masyarakatnya untuk mencapai tujuan tersebut.

Firman Allah :
Maksudnya :
“Bertolong-tolonglah kamu dalam membuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam membuat dosa dan permusuhan” (Al-Maidah : 2)

Perintah bertolong-tolongan di atas adalah dituntut dalam perkara-perkara membawa kebaikan dan membaiki masyarakat, bukan perkara yang membawa kerosakan atau kemungkaan. Individu-individu masyarakat
diperintahkan berusaha memperbaiki masyarakatnya mengikut keredhaan Allah. Dan sebaliknya bertindak sekali gus mencegah unsur-unsur yang mendatangkan keburukan, kerosakan, kemungkaran, kejahatan, maksiat dan sebagainya.

Firman Allah :
Maksudnya :
“Janganlah kamu berbuat kejahatan di permukaan bumi sesudah ia menjadi baik” (Al-A’rof : 56)

Sebenarnya dalam masyarakat Islam, memberikan sesuatu yang haram kepada orang lain termasuk perbuatan merosak. Kerana itu perbuatan
rasuah adalah haram sama ada penerima atau pemberi, begitu juga perbuatan makan riba yang melibatkan wakil penerima, saksi dan penulis.

Hadis Nabi, maksudnya :
“Allah melaknat orang-orang yang makan riba, wakilnya, penulisnya dan saksinya”

Kesimpulan

Masyarakat yang baik ialah masyarakat yang berdasarkan ajaran Islam.
Dari ajaran itu lahirlah peraturan-peraturan yang mengatur pelbagai
hubungan dalam masyarakat seperti yang telah diterangkan perbahasan
ciri-ciri masyarakat Islam. Sementara masyarakat yang buruk pula ialah
masyarakat yang tidak berdasarkan ajaran Islam dan Islam itu tidak
dijadikan dasar hukum-hukumnya. Masyarakat yang tersebar luas kejahatan
dan kemungkaran seperti masyarakat Jahiliyah. Dengan lain perkataan
masyarakat yang baik ialah masyarakat yang berdasarkan ajaran agama
Islam sehingga falsafah hidupnya serta peraturannya sesuai dengan ajaran
agama Islam dan masyarakat yang rosak adalah masyarakat sebaliknya.