SANG SAKA | S1 | EP2: “PERMULAAN SEORANG PENDOSA” (MALAY VERSION)

Sang Saka NFT
13 min readSep 28, 2022

--

Dikarang oleh: Megat Law

Beberapa tahun sebelumnya.. Di sebuah wilayah yang terasing dan tersembunyi..

Ahad, 17 Mei 2015, 11:00 PM.

“Wahai Ar-Rafi.. Tidak pernah selama ini, terlintas di dalam fikiranku.. Bahawa aku akan membayangkan jari-jemariku, dan membilang helaan nafasku sendiri..”

“Dada kerontangku ini berteriak-teriakkan.. Telingaku ini, tajam menangkap hujung tangis suaranya.. Dan kelopak mataku ini, hampir-hampir terpejam layu..”

“Wahai Ar-Rafi.. Izinkan aku melafazkan suara hatiku.. Yang terakhir.. Buat pengarang jantung hatiku.. Ini adalah sulaman terakhir, untuk sebuah hikayat yang dahulunya, aku simpulkan benangnya.. Sulaman yang berakhir, dengan tangisan, dan rayuan domba terhadap-Mu..”

Di hujung sebatang jalan, adanya sebuah rumah banglo satu tingkat. Di dalamnya, ada sebuah keluarga.

Mereka sedang menangis. Di bawah cahaya lampu yang kabur dan malap.

Di dalam rumah itu, tergantungnya beberapa buah potret di dinding, yang terhias cantik di dalam bingkai-bingkai kayu yang dicat hitam.

Beberapa buah alatan lama seakan antik, juga kelihatan.. Disimpan rapi di dalam beberapa buah almari.

Di dalam sebuah bilik, di atas sebuah katil.. Seorang lelaki sedang terlentang lemah dengan wajahnya yang pucat, dan tubuhnya yang merapuh.

Di sebelahnya, adanya seorang wanita, yang sedang meraup rambut lelaki itu, sambil menyeka air mata yang membasahi pipinya.

“Wahai pengarang jantung hatiku.. Usahlah lagi kau berlutut menghadap kiblat, menadahkan tanganmu dan memanjatkan doa kepada Tuhan, agar nyawaku disambung kembali.”

“Aku ini adalah hamba-Nya yang berdosa. Dosaku terlampau berat. Jangan sama sekali kau menyebut namaku di dalam doamu. Aku malu kepada-Nya.”

“Sekiranya ini adalah pengakhiran buatku. Aku terima dengan penuh redha hati. Maka dengan itu, aku bermohon, supaya kalian juga merasa tenang dengan kepemergianku ini.”

“Kesat genangan air matamu itu. Usahlah kau mengesak-ngesak sendu. Ukirkanlah senyuman di bibirmu, dan tataplah wajahku, dengan pandangan matamu yang berkaca-kaca. Sebagai sebuah persembahan yang terakhir.. Darimu, untukku..”

Malam itu, kilat sabung menyabung. Angin berhembus dengan lajunya. Namun udaranya, terasa begitu hangat sekali.

Selang beberapa minit, lelaki itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sejurus matanya terpejam, hujan pun turun dengan lebatnya.

Ini adalah permulaan,

kepada sebuah kisah,

kisah seorang lelaki,

yang telah dicabut nyawanya.

Mungkin kisah ini,

agak sukar untuk diterima,

oleh manusia-manusia,

yang punya akal yang waras.

Namun, lapangkan dada kalian.. Pinjamkan mata kalian.. Pinjamkan telinga kalian.. Pinjamkan hati kalian..

Ayuhlah kita menyelam bersama-sama. Di dalam sebuah lautan hikayat, yang pernah suatu ketika dahulu, dianggap sebagai dongeng rakyat jelata.

Hikayat yang pernah dilaungkan oleh para penglipur lara pada masanya. Sebuah hikayat yang dianggap sebagai hikayat yang cukup misteri. Sumpahan yang tidak ada majunnya.

Sumpahan.. Ahh.. Sumpahan tujuh dosa. Dosa-dosa yang membelit dahaga leher dan jiwa rapuh anak-anak bangsa Melayu.

Ketamakan, keangkuhan, kelahapan, kemarahan, kemalasan, keborosan, dan iri hati..

Dosa-dosa mutlak yang akan membawa sesiapa sahaja, ke dalam sebuah buana asing.

Mereka yang berdosa, dan termakan olehnya, bakal dihumbankan ke dalam sebuah lembah kelapangan dan ketandusan bambang darat, yang menyeksakan jiwa dan mengguriskan hati..

Gendang dan gong dipalu,

seruling dimainkan,

gabus dipetik,

biola digesek.

Anak kecil menarik tali,

dua tirai lalu terbuka,

tirai kuning selembut sutera,

sang penglipur lara.. ingin bercerita..

Sebuah lohong terbuka. Sekujur tubuhan roh yang halus, dihumban jatuh ke dalamnya.

Lohong kedua turut terbuka. Tubuhan roh itu menjunam melepasinya. Lohong ketiga pula terbuka. Kemudian, lohong keempat, lohong kelima, lohong keenam..

Dan akhirnya, lohong ketujuh..

“Dab!”

Tubuhan roh itu tenggelam ke dalam tanah, sehingga menghasilkan satu kawahan lubang yang begitu deras terkambusnya. Sejurus itu, satu gugusan angin hitam yang berkepul-kepul, mula kelihatan.

Ia berpusing-pusing, dan berterbangan di celah-celahan pohon. Lalu kemudian, ia menjunam masuk ke dalam lubang, dan membelit tubuhan roh yang sebentar tadi, tenggelam di dalam tanah.

“Aku.. Aku kat mana..” getus satu suara yang sedikit serak dan pecah-pecah.

Secara perlahan, tubuhan roh itu cuba mengangkat lengannya, dan serentak itu, kepulan-kepulan angin hitam yang berhembusan laju sebentar tadi, mula berkumpul dan berpusat di kepala bahunya.

“Aku panas. Dalam ni gelap. Udaranya nipis. Apakah ini yang selalu disyairkan oleh para kiyai dan mualim? Kehidupan selepas mati..? Alam barzakh..?”

Tubuhan roh itu meronta-ronta, bagaikan dimamah bumi, dia cuba untuk menggagahkan lengannya.

Kemudian, gumpalan-gumpalan angin hitam di kepala bahunya, mula berubah bentuk menjadi ketulan-ketulan tulang rawan, yang memanjang putih sehingga ke paras sikunya.

“Sekiranya benar, dimanakah kain putihku? Mengapa tidak membalut tubuhku. Dan leherku, mengapa tidak dibelit oleh sarpa-sarpa berbisa? Bukankah aku ini adalah hamba-Nya yang berdosa?

Wahai Tuhan! Dimanakah kaki dan tangan-Mu?? Kelibat-kelibat ghaib yang dijanjikan oleh utusan-utusan-Mu??”

Setelah tulang-temulang putih membentuk kedua-dua belah lengannya, gumpalan-gumpalan angin hitam itu berkumpul dan berhimpun pula di kepalanya.

Sepasang mata yang berwarna hitam dan beranak mata biru, terbentuk sebagai salah satu pancainderanya.

Maka dari situ, hidung dan telinga runcingnya juga terbentuk, dan terletak elok di sisi kiri dan kanan kepalanya.

Dadanya mengembang, tulang belakang dan tulang belikatnya tumbuh laju, dan bertindak sebagai tiang sari yang menyambungkan tulang leher dan pinggangnya.

Tubuhan roh itu mula mengerang kesakitan. Rahangnya terbentuk setelah suara kalbunya dilaungkan. Bergema, namun tidak kedengaran.

“Wahai Tuhan, penuhkan sanubariku, dengan segala pengertian.. Wujud dan ghaib-Mu, segala persoalan yang Kau sembunyikan dariku.

Sesungguhnya, hamba-Mu ini sama sekali tidak mengerti. Mengapa jantungku, seolah-olah.. Berdegup kembali!!”

Dup! Dup! dadanya bergema, bagaikan dipalu oleh sebaris bisikan mantera myang mengerikan.

Dan tiba-tiba.. Satu suara kedengaran.. Bergema dari jauh.. Tertangkap oleh cuping telinganya..

“Wahai keturunan bangsat.. Raja yang zalim..”

“Kau siapa?! Munkar? Atau Nakir?” balas tubuhan roh itu, dengan suara yang mengerang kesakitan.

“Malaikat Maut-mu.”

“Pergi mampus! Aku dah jumpa sekali! Aku takkan jumpa dua kali!”

“Sebut namamu..”

Pada masa yang sama, permukaan tanah mula merekah. Pohon-pohon di dalam hutan, mula bergoyang-goyang.

“Jabbar! Namaku.. Jabbar!!”

Ahad, 10 Meṣa 1500 A.S (Alam Saka)

Waktu malam.

Hutan Kunang Culas, Daerah Bahagian Utara,

— ALAM JERANGKUNG —

11:45 PM.

“Sreett!!”

Sepasang tangan, muncul keluar dari dalam kambusan tanah. Sebelah tangan, tangan kanan.. Menongkat di permukaan tanah..

Kelihatan sebiji kepala, yang berambut panjang mengurai, timbul dari dalam tanah.

Seekor jembalang, menongkatkan tubuhnya, dan melangkah keluar dari kawahan lubang yang sebentar tadi, memeluk hampir separuh dari tubuhnya.

Sejurus tubuhnya mengeruak dari dalam lubang, sehelai kain yang berwarna coklat lusuh, lantas membelit leher, bahu dan pinggangnya.

Dia mengibaskan rambut panjangnya ke kiri dan ke kanan. Dia menadahkan tangannya, dan menterbalikkan permukaan tapak tangannya..

Dadanya berdegup agak perlahan. Dia melirih ke dadanya..

Matanya tertancap pada jantungnya, yang jelas kelihatan, di balik tulang-tulang rusuk yang timbul di dadanya.

Sekujur tubuh seekor jembalang, yang hanya tinggal tulang-temulang, tanpa secubit daging pun, mendongakkan kepalanya ke atas dan ke bawah..

Dia berasa bingung, dan hairan. Fikirannya kosong, tanpa sebarang belengguan. Lagaknya seperti anak-anak kecil, yang baru sahaja membuka mata dan melihat dunia.

Jembalang itu mengorakkan langkahnya ke depan..

Tubuhnya begitu lonjong, setinggi 185 sentimeter. Namun langkahnya kedengaran cukup ringan sekali.

Serentak dia melangkah ke depan, beberapa ekor kunang-kunang melintas dan bermain-main di depan mukanya. Dia mengangkat tangan kanannya, dan cuba menyentuh kawanan kunang-kunang itu.

Dia mendongak ke langit. Hamparan langit begitu luas. Bintang-bintang juga berkelip-kelipan. Bulan juga turut menyuluhkan cahaya terangnya.

“Aku kat mana..?” bisiknya di dalam hati.

“Anak muda..” tegur satu suara dari arah belakang tubuhnya.

Jembalang itu, atau namanya.. Jabbar, menolehkan kepalanya ke belakang.

Dia melihat kelibat seekor jembalang betina tua, sedang bersandar di atas sebuah kerusi, dengan sebatang tongkat hitam berkepala tengkorak, sedang dipegang dengan tangan kanannya.

“Kau siapa??” soal Jabbar, seraya mengundurkan tubuhnya beberapa langkah ke belakang.

Jembalang tua itu membuka matanya, secara perlahan-lahan. Rambut panjang putih hitamnya, mengaburi pandangan matanya.

Kemudian, satu gugusan angin, menerpa ke mukanya. Lalu, rambutnya terkibas ke belakang.

“Musafir. Sama sepertimu. Aku juga dibuang ke buana asing, dan berkelana di dalam alam ini..” balasnya.

Jembalang tua itu menongkatkan tubuhnya, dan berdiri dengan kedua-dua belah kakinya.

“Namaku.. Neng Widuri.. Dan kau, Jabbar..” dia menarik sehelai kain batik di kepalanya, dengan hujung jari telunjuknya.

Jabbar mengerutkan dahinya, dan menegakkan tulang belakangnya. Matanya dililaukan ke kanan dan ke kiri.

Lagaknya, umpama seekor ayam jantan yang berasa dirinya, bagaikan terancam.

“Aku adalah pengantara, kepada dua buah alam. Wujudmu dan kebangkitanmu, telah disampaikan kepadaku, sepurnama sebelumnya. Dan menyambutmu, adalah menjadi kewajibanku..”

“Apa maksud kau?” sampuk Jabbar.

“Lihat di sekelilingmu. Tempat ini bukanlah syurga, mahupun neraka. Bukan juga tempat, untuk kau singgah. Kakimu berpijak, di tanah yang terasing. Terpisah jauh dari kampung halamanmu. Tanah ini..” jembalang tua itu mengaturkan langkahnya ke depan.

“Tanah yang dihampar khas, untuk pendosa-pendosa sepertimu.” sambung jembalang tua itu, sambil menghentakkan hulu tongkatnya ke tanah.

Dan seraya itu, jamung-jamung yang mengelilingi Jabbar dan Neng Widuri, menyala dengan nyalaan api yang marak.

Clack! Clack! Clack!

Sebanyak lima ekor tentera jerangkung jantan, mengepung Jabbar secara bulatan.

Mereka masing-masing menghunuskan senjata-senjata tajam. Salah seorang daripada mereka, mengeluarkan sepasang gari besi, dan berjalan ke arah Jabbar.

“Saudara..” ujar jembalang jantan itu.

Jabbar menoleh pantas ke arahnya, dengan satu panahan mata yang tajam.

“Sebut namamu..” sambungnya, sambil mendepakan sepasang gari besi, yang digenggam dengan tangan kanannya.

“Setelah kau perkenalkan dirimu dulu. Bukankah itu lebih budiman?” balas Jabbar.

Jembalang jantan itu mengukirkan satu senyuman sinis di bibirnya. Sindiran halus dari Jabbar, mencabar kejantanannya.

“Arjuna..” jawabnya, ringkas.

Jabbar menolehkan tubuhnya, mengadap Arjuna. Selajur itu, satu hembusan angin yang dingin, menerpa ke arah mereka.

“Dan namaku.. Jabbar..”

Klak!

kedua-dua belah pergelangan tangan Jabbar, siap digari oleh Arjuna, yang berada di belakangnya.

“Buat pertama kali.. Jerangkung Manikam tidak cabut lari.” Arjuna menjerut rantai gari besi di pergelangan tangan Jabbar.

Kemudian, Jabbar tertawa kecil, dengan suara yang sedikit terketar-ketar.

“Kemana harus kucabut lari, saudara? Tempat ini, cukup asing bagiku..”

Arjuna memegang bahu Jabbar, lalu dia menolaknya perlahan.

“Ayuh..” ujar Arjuna.

Sebanyak lima ekor tentera jerangkung, berjalan mengiringi Jabbar. Mereka menyusuri sebatang jalan yang dipenuhi dengan ranting-ranting pokok.

Rimbunan hutan yang lebat, sedikit memayungi cahaya bulan dari menyuluh ke tubuh mereka.

Jabbar mendongakkan kepalanya ke langit. Dia menolehkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Suasana agak gelap.

Dia mula berasa gementar. Tangannya sedikit menggigil.

“Krak!” kakinya memijak sebatang ranting kayu.

Fikirannya yang begitu lapang sebentar tadi, berubah menjadi kusut dan bercelaru. Pelbagai senario bermain-main di dalam kepalanya.

Rasa takut dan gugup mula menyelubungi benaknya. Kerongkongnya terasa kering dan perit. Matanya sedikit meruncing.

Keangkuhannya sebentar tadi, ternyata.. Hanyalah lakonan semata-mata. Hakikatnya, jauh terperuk di dalam sudut hatinya, Jabbar berasa takut.

Telah menjadi lumrah kepada makhluk-Nya yang lemah. Perkara yang menjadi sebuah misteri, adalah perkara yang paling menakutkan.

Dan itulah, apa yang sedang dirasakan oleh Jabbar ketika itu.Dia cukup tahu, bahawa sekiranya dia melarikan diri, dia tetap jua akan ditangkap.

Seekor tentera jerangkung yang berada di sebelahnya itu, bukanlah makhluk yang boleh dipandang enteng. Aura dan semangat membunuh yang berkeruak dari tubuhnya, bukanlah calang-calang.

Jabbar akur, bahawa Arjuna berkemungkinan besar, adalah seekor jerangkung yang mempunyai status dan kredibiliti yang tinggi.

Terserlah apabila setiap arahannya, dapat diturut mudah oleh tentera-tentera jerangkung yang lain.

Sebagai seekor jerangkung, walaupun hanya sebagai Jerangkung Manikam.. Jabbar juga mempunyai kebolehan untuk mengesan keberadaan, aura dan semangat seekor jerangkung yang lain.

Salah satu kebolehan yang akan diterokai, dan dikuasai oleh Jabbar pada suatu masa nanti — di dalam sebuah hikayat, yang pada ketika ini, baru saja disingkap tirainya.

12:30 AM.

Mereka telah menyusuri sebanyak lima persimpangan jalan di dalam hutan tersebut.

Seusai mereka berjalan melepasi sepuluh batang pokok, satu alur cahaya yang terang benderang, menyimbah ke wajah mereka.

Cahaya merah kuning yang menyala terang dari jamung-jamung yang diikat tinggi di beberapa batang tiang pagar.

Jabbar lantas mengalihkan pandangannya, dek kerana silauan cahaya itu bagaikan menikam-nikam matanya. Selang satu minit, Jabbar kembali merenung ke arah alur cahaya yang menyuluh di hadapannya itu.

Alangkah tersentaknya bukan kepalang, apabila biji matanya tertancap dan terpaku pada sebuah markas yang begitu luas, besar dan semarak-marak ngerinya..

Tersergam megah dan angker di sebuah tanjong yang kelihatan seolah-olah, sedang terapung-apung di atas permukaan laut yang damai.

Markas itu dikawal ketat oleh berpuluh-puluh ekor tentera jerangkung, dan terbina dengan perpaduan tiga buah bangunan yang di sekelilingnya, dipagari dengan tiang-tiang kayu yang berwarna merah kemerahan.

Markas yang mempunyai bentuk bumbung ukiran Minangkabau itu juga berwarna hitam. Binaan markas itu kelihatan begitu suram walaupun terbias dengan kilau-kilauan cahaya yang terpantul dari kayu-kayan, yang ditanggam sebagai asas kepada binaannya.

Jabbar yang masih lagi terkesima, membulatkan matanya. Fikirannya bagaikan terbius, oleh sebuah pemandangan yang begitu asing baginya.

“Maju!” bentak Arjuna, kepada Jabbar dan anggota-anggota tenteranya.

Tanpa berlengah, mereka menyusuri tebing hutan dan menuju ke arah markas tersebut. Sejenak, Jabbar melirihkan matanya ke arah gigi-gigi pantai yang terletak tidak jauh dari tempatnya berjalan.

“Tuan Arjuna..” tegur salah seekor tentera.

Arjuna mengerling ke arah komradnya.

“Malam ini, awan mendung. Udaranya juga nipis.” sambung tentera itu.

“Mungkin saja.. Hujan mahu turun..” celah seekor lagi tentera, berseloroh. Namun matanya, turut menjeling ke belakang, penuh berjaga-jaga.

“Klak!”

Arjuna menggenggam sebilah parang nan berhulu merah, yang tersisip di pinggangnya.

Jabbar berpaling ke kanan dan ke kiri. Lehernya berasa remang. Dia juga turut merasakan, bahawa ada beberapa kelibat, sedang memerhatikan mereka dari jauh.

“Tenang..” bisik Arjuna, kepada komrad-komradnya, sambil memberikan satu isyarat tangan, supaya perjalanan mereka terus dilanjutkan.

Tap! Tap! Tap!

Kedengaran bunyi derapan tapak kaki sedang memecut laju ke arah mereka.

“Pasang kekuda kalian..” getus Arjuna, memberi amaran.

“Sekarang!!”

Dengan pantas, mereka menghunuskan senjata, dan memusingkan tubuh mereka.

Ting!!

Satu lagaan mata parang, kedengaran lantang.

Seekor jerangkung jantan yang memakai sehelai mantel coklat lusuh di kepalanya, dan memakai sepersalinan perisai besi berwarna coklat di tubuhnya, sedang mengasak tubuh Arjuna, dengan desakan mata pedangnya.

Secara perlahan, dia mendongakkan kepalanya, dan mengukirkan satu senyuman sinis kepada Arjuna.

“Kita bertemu lagi, Tuan Arjuna!!” satu gegelang putih yang terpahat di dahinya, kelihatan menyala.

Dab!!

Kedua-dua mereka, terpelanting jauh ke belakang.

Dan tiba-tiba, pada masa yang sama, beberapa bilah anak panah menjunam laju dari udara, dan menujah ke arah Arjuna dan komrad-komradnya.

Tujahan anak-anak panah itu berjaya dielak dan ditangkis oleh Arjuna dan komrad-komradnya.

Dari jauh kelihatan, kelibat tiga ekor jerangkung jantan yang bertinggir di puncak-puncak pohon yang lampai, sedang menarik busur panah, dan menghalakan anak panah mereka ke arah Arjuna.

Hanya bersedia menunggu arahan, untuk melepaskan tembakan panah mereka.

Tap... Tap...

Jerangkung jantan itu mengaturkan langkahnya ke arah Arjuna.

“Malam ini.. Manikam itu harus kau lepaskan, Arjuna..” ujarnya, seraya menyandangkan sebilah pedang bermata ganda di bahu kanannya. Langkahnya kelihatan begitu sombong sekali.

Arjuna juga turut mengaturkan langkahnya, ke arah Bahadur. Dia mendepangkan parangnya dengan tangan kanannya.

“Ayuh, silakan. Rampas dari tanganku..”

Dengan satu hentakan kaki, Arjuna meluru laju ke arah Bahadur. Parang di tangan kanannya, di dekatkan di bibirnya, lalu dia mengalurkan sebaris mantera di mata parangnya.

1:00 AM.

Selang lima belas minit,

Dab!

Tubuh Bahadur rebah tertiarap ke tanah. Dadanya mula mengempis. Darah hitam yang bersemburan dari tubuhnya, membasahi bumi.

Arjuna yang sedang berdiri di depannya, kembali menyarungkan parangnya, dan menyisipkannya ke pinggang.

Sebilah anak panah yang menikam kepala bahunya, ditanggalkan dan dicampakkan ke sebelah Bahadur.

“Komrad-komradmu, telah tumbang,” kata Arjuna.

Secara perlahan, Bahadur mendongakkan kepalanya dan menjeling ke muka Arjuna.

“Kita telah bersahabat cukup lama.. Dan kau masih lagi enggan.. Menyebut namaku.. Arjuna..” perli Bahadur, terbatuk-batuk. Nada suaranya, terluah biasan kekecewaan.

“Dunia ini hitam putih. Kau memilih yang hitam.” balas Arjuna.

Bahadur menajamkan pandangan matanya ke arah Arjuna. Senyumannya menyeringai.

“Tidak Arjuna.. Aku, memilih yang kelabu..” ujarnya, termengah-mengah.

Arjuna menolehkan tubuhnya ke belakang. Sukar baginya untuk menamatkan riwayat Bahadur dengan begitu sahaja.

Persahabatan yang pernah terjalin di antara mereka berdua, sedikit sebanyak, masih lagi berbaki di dalam lubuk hatinya.

Sebagai tanda persahabatan, yang pernah dia sambungkan bersama Bahadur dahulunya, dia memilih untuk melepaskan sahabat lamanya itu, dan melupakan perhitungan di antara mereka sebentar tadi.

Bahadur masih lagi membatuk-batukkan darahnya.

“Dan kau.. Memilih untuk menjadi anjing! Belaan Luth Fajar!” sambungnya.

Langkah Arjuna terhenti seketika. Herdikan dari Bahadur menusuk tajam ke dalam hatinya. Dengan perlahan, dia berpaling kembali, dan melirihkan pandangan matanya ke arah Bahadur.

“Haha. Apa kau terguris..? Arjuna..?” sambung Bahadur, dengan suara tawanya yang parau, lelah dan tercungap-cungap.

“Tidak. Malah, aku berasa senang. Melihatkan nasibmu sekarang, berlutut di bawah telapak kakiku..”

“Ptui!!” Bahadur meludahkan air liurnya ke betis kanan Arjuna.

Dengan tangan yang menggigil amarah, Arjuna memegang erat gagang parang yang tersisip di pinggangnya.

“Mati tidak menyesal.. Luka tidak menyiuk.. Bahadur, bukankah itu yang selalu kau tuturkan..”

Tidak semena-mena, Bahadur ketawa terbahak-bahak. Dia mengengsotkan tubuhnya ke belakang, dan memakukan kedua-dua belah lututnya ke tanah.

Tangan kanannya menekup dadanya. Dia cuba untuk menghalang darahnya dari terus mengeruak.

Dan tanpa disangka-sangka, Arjuna membongkokkan tubuhnya, dan menikam dada Bahadur dengan tujahan mata parangnya.

Darah hitam bersembur-semburan dari bibir Bahadur. Sejurus parang Arjuna dicabut dari dadanya, kepala Bahadur pula yang tersungkur dan mencium tanah.

Jabbar yang berada tidak jauh, turut terkesima, melihatkan kejadian berdarah yang baru sahaja berlaku sebentar tadi.

Matanya terpaku ke arah belakang tubuh Arjuna. Tubuhnya menggigil-gigil. Peluhnya menitis-nitis, membasahi bahunya.

Setelah mengelap lelehan darah di mata parangnya, Arjuna kembali mengatur langkahnya ke arah Jabbar dan komrad-komradnya.

“Ayuh, kita berangkat.” arah Arjuna, seraya menolak bahu Jabbar.

Namun, secara tiba-tiba, Jabbar menghentikan langkahnya, dan menundukkan kepalanya. Kakinya bagaikan terpasak ke dalam tanah. Lalu, dia melontarkan satu soalan kepada Arjuna..

“Saudara.. Sekiranya tidak keberatan.. Izinkan aku bertanya.. Jasadku ini, ingin kalian bawakan kemana..?”

Arjuna terdiam seketika.

“Sangkar Manikam.” jawabnya perlahan.

EPISOD 2 — TAMAT

--

--

Sang Saka NFT

Sang Saka is a storytelling NFT project based on Nusantara mythical creatures and lore. Our vision is to become a succesfull web3-native media franchise.