4 lokasi di Malaysia yang diiktiraf sebagai UNESCO Tapak Warisan Dunia

Fasehah
4 min readAug 7, 2019

--

UNESCO Tapak Warisan Dunia merupakan pengiktirafan yang diberikan oleh pihak UNESCO terhadap tempat-tempat yang penting dalam warisan budaya atau khazanah alam semula jadi. Tujuan pengiktirafan diberikan juga untuk memelihara lokasi-lokasi penting ini dari dimusnahkan oleh arus permodenan.

Saban tahun, lebih kurang 25 lokasi global dari pelbagai negara akan diiktiraf dan ditambah ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia/ World Heritage. Sehingga kini, terdapat lebih 1,000 tapak warisan telah diiktiraf di seluruh dunia.

Di Malaysia juga, terdapat 4 tempat yang diiktiraf oleh pihak UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Di sini tersedia senarai 4 tempat tersebut dan anda sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana di Malaysia juga mempunyai khazanah alam yang tidak ternilai yang diiktiraf dunia.

Gunung Mulu, Sarawak

Gunung Mulu merupakan lokasi terawal di Malaysia yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2000. Terletak di sebelah timur negeri Sarawak, Gunung Mulu ini mencapai ketinggian sehingga 2376 meter dan dikatakan telah berusia lebih 1.5 juta tahun lamanya. Gunung Mulu ini juga merupakan kawasan batu kapur yang mempunyai keluasan 52, 864 hektar dengan 3,500 spesis tumbuhan vaskular. Ruang dalamnya juga yang lebih dikenali sebagai ‘Sarawak Chambers’ juga dikatakan ruangan yang terbesar di dunia dan boleh menyimpan sehingga 40 buah pesawat besar didalaminya.

Taman Kinabalu, Sabah

Taman Negara Kinabalu berkeluasan 754 km persegi ini telah diwartakan pada tahun 1964. Menempatkan puncak tertinggi di Malaysia dan juga Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu yang bertinggian 4095 meter. Taman Negara Kinabalu turut menjadi rumah kepada 4,500 spesies flora dan fauna dari pelbagai habitat dari kawasan rendah tropika, hutan hujan tropika, hutan gunung tropika, hutan separa alpine, dan tumbuhan renek ke aras tinggi. Selain itu, dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna yang terdapat di sini yang meliputi tumbuhan dari Himalaya, China, Australia, dan banyak lagi, taman negara ini telah dikelaskan sebagai Pusat Kepelbagaian Tumbuhan Asia Tenggara.

Lembah Lenggong, Perak

Lembah Lenggong terletak di kawasan Lenggong, Hulu Perak ini merupakan tapak arkeologi yang wujudnya bukti-bukti penempatan manusia sejak zaman Paleolitik ditemui. Penemuan arkeologi terkenal di Lenggong ini ialah Orang Perak (Perak Man), iaitu rangka peninggalan manusia yang berusia 11,000 tahun yang ditemui pada tahun 1990. Selain itu, peralatan batu berusia 100,000 tahun yang ditemui di Kampung Geluk dan Kampung Temelong. Terdapat juga penemuan bukti bahawa Gua Harimau menjadi tapak penghasilan gangsa semasa Zaman Gangsa. Terdapat pelbagai bukti penggalian yang dikaitkan dengan zaman pra-sejarah yang boleh ditemui yang menjadikan Lembah Lenggong ini penting kepada sejarah tamadun dunia.

Bandar Melaka dan George Town

Bandaraya Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang merupakan 2 bandaraya bersejarah yang diiktiraf sebagai UNESCO Tapak Warisan Dunia pada tahun 2008. Dua bandar ini telah melalui zaman penjajahan 500 tahun lamanya yang menyebabkan berlakunya asimilasi dan juga akulturasi terhadap budaya hidup dan juga dari segi senibinanya. Pertembungan budaya boleh dilihat dengan terdapatnya masyarakat Chetti, Baba Nyonya yang telah wujud sejak zaman Kesultanan Melaka lagi dan juga dan juga Jawi Peranakan yang menetap dari abad ke 19. Sementera itu, dari segi seni bina pula, kebanyakan bangunan seperti gereja, pusat pentadbiran kerajaan dan kubu perang di dua bandar ini dipengaruhi oleh senibina Eropah.

--

--