Salam Hormat Kepada Tun Mahathir
Sajak ini adalah nukilan datuk saya, Dr Shaari Isa buat Tun Dr Mahathir. Terima kasih Tun kerana mengembalikan kembali harapan kepada kami.
‘Perjuangan terakhir’ Tun menyayat hati semua
Semua yang berjantung hati dan berperasaan jua
Dengan kata-kata Tun itu terpegun rasanya
Berjiwa patriotik serta keazaman tak terhingga,
Kedua-duanya teras kepada perjuangan yang mulia.
Keluar sahaja Tun dari kerajaan
Mulalah negara dilanda kereputan,
Tamak haloba melihat peluang
Merebut kuasa dan kekayaan,
Janji-janji yang lepas dilupakan,
Perlembagaan dipermainkan,
Tidak mereka berhutang budi kepada sesiapa,
Termasuk rakyat yang mengundi mereka,
Sumber-sumber diguna untuk terus berkuasa,
Rakyat cuba dibuta
Dengan wang ringgit dan propaganda;
Impian dan harapan pemimpin yang lalu hancur,
Jalan ke hadapan menjadi jalan berundur,
Malaysia tidak lagi dihormati dunia luar;
Oh! Betapa riaknya mereka sekali!
Dengan kekayaan dan kuasa yang dikecapi.
Tetapi kita rakyat Malaysia,
Bersyukur kita kepada Yang Maha Kuasa;
Kepada kita Tun dibawaNya,
Menyatu pembangkang menjadi suatu kuasa,
Berbagai penyekat digunakan mereka
Berjaya Tun mengatasi semuanya;
Akhirnya menang dan betapa leganya rakyat,
Lalu kereputan pun tersekat
Dan negara pun terselamat.
Wahai Yang Amat Berhormat Tun!
Dari sekarang harapan kita
Kereputan tidak akan lagi melanda
Dan negara akan terus mara
Keikhlasan dan semangat yang Tun bawa
Akan terserap kepada pemimpin-pemimpin seterusnya nanti
Dari generasi ke generasi.
Wahai Tun! Pemimpin luarbiasa!
Pada umur yang lewat terus berjuang jua;
Perkataan tidak ada
Yang dapat membayangkan besarnya hati kita,
Ya, kita rakyat Malaysia yang cintakan negara
Kita hanya berupaya
Mengucapkan salam hormat dan terima kasih tak terhingga!
Kita berdoa semoga terus Tun hidup sihat sejahtera
Pada tahun-tahun yang seterusnya. Amin.
