Memaknakan Semula Perjuangan Mahasiswa

Suatu cadangan umum bagaimana seyogianya mahasiswa digerakkan dalam kencah negara pasca Millenia.


Mahasiswa dianggap sebagai satu sosok yang bertenaga, penuh dengan cita-cita serta gopoh dalam melakukan apa yang mereka kehendakkan. Kerana itu mahasiswa sering dijadikan kekuatan bagi mana-mana pihak yang mahu meluaskan kepentingan mereka. Kebanyakan persatuan dan masyarakat sivil yang tumbuh di Malaysia khususnya ditubuhkan oleh mahasiswa, atau paling tidaknya sentiasa aktif merekrut ahli-ahli baru dari kalangan mahasiswa.

Sejak zaman-berzaman, khususnya era pasca merdeka, slogan perjuangan mahasiswa sering menjadi laungan di kampus-kampus. Bermula dari zaman perjuangan mahasiswa UM dengan ‘student union’, mahasiswa pro-sosialisme, kebangkitan mahasiswa Islam di zaman Anwar Ibrahim, hinggalah perjuangan mahasiswa pasca reformasi. Namun apakah yang dikatakan sebagai perjuangan mahasiswa tersebut?

Demonstrasi Baling 1974

Siapakah Mahasiswa?

Untuk itu kita perlu melihat apakah fungsi mahasiswa yang sebenar dan apakah yang membezakan mahasiswa dengan golongan yang lain. Pertamanya, mahasiswa sangat sinonim dengan pelajar khasnya pelajar yang menuntut di peringkat sarjana.

Makanya kita tidak dapat lari dari bercakap soal ilmu. Mahasiswa bukanlah sekadar pelajar bahkan mereka adalah warga ilmu yang mewakili masyarakat yang sedar akan kepentingan ilmu serta berpenat lelah dalam hari-hari mereka; mencari, membahas serta mengkaji ilmu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mahasiswa sebagai cerminan tahap keilmuan bagi sesebuah negara.

Satu lagi aspek yang membezakan mahasiswa dengan orang biasa adalah semangat kepemudaannya. Pemuda sering dijunjung sebagai tonggak kekuatan sesebuah bangsa. Malahan dalam ketamadunan barat, entiti kepemudaan sering dianggap sebagai puncak segala keupayaan, kekuatan dan ketinggian seseorang manusia. Pemuda dianggap sebagai ajen perubahan, revolusi dan idealisme; menunjukkan bahawa pelbagai cita-cita yang ada dalam diri manusia mampu dicapai dengan semangat dan cita kepemudaan.

Oleh itu, jelas disini bahawa tugas mahasiswa adalah sebagai pengemban budaya ilmu. Semangat kepemudaan mahasiswa sepatutnya disalurkan kepada pemerkasaan budaya ilmu yang pada akhirnya dapat meneruskan kekuatan tamadun sendiri.


Budaya Ilmu

Kekuatan sesebuah tamadun bergantung kepada tahap ketinggian ilmu dalam tamadun itu sendiri. Ilmu adalah kekuatan sesebuah tamadun yang bersifat kekal dan berterusan. Kekuatan politik, ekonomi mahupun ketenteraan adalah bersifat sementara dan tidak mampu mempengaruhi zaman sesudahnya.

Ambil sahaja contoh bagaimana tamadun Yunani yang hingga ke hari ini masih kekal pengaruhnya dalam bidang falsafah, sains dan matematik. Begitu juga kerajaan Monggol yang pada suatu ketika dahulu merupakan kuasa ketenteraan yang paling hebat namun akhirnya terpaksa menyesuaikan diri dengan keilmuan tamadun Cina dan tamadun Islam.

Pembudayaan ilmu akan terwujud apabila setiap lapisan masyarakat melibatkan diri samada secara langsung mahupun tidak dalam kegiatan keilmuan di setiap kesempatan yang ada. Segala tindakan diputuskan dan dilaksanakan atas dasar keilmuan, bukan atas dasar kebiasaan ataupun ikut-ikutan. Dalam masyarakat yang membudayakan ilmu; keutamaan, bantuan, kemudahan dan pengiktirafan akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melibatkan diri mencari, mengkaji dan menyebarkan ilmu pengetahuan.


Feudalisme dan Konformisme

Masyarakat Malaysia kini kebanyakannya masih memegang paradigma feudalisme dan konformisme. Feudalisme adalah satu faham yang menganggap bahawa manusia dilahirkan berkelas-kelas, ada golongan yang lebih tinggi daripada golongan yang lain.

Feudalisme menuntut penyembahan kepada entiti yang dinamakan sebagai ketua, menganggap bahawa ketualah segalanya. Paradigma yang menganggap bahawa hanya ketua dapat merobah, mengetahui dan mengurus segalanya juga merupakan warisan feudalisme yang masih melekat kuat dalam pemikiran masyarakat Melayu.

Feudalisme dalam masyarakat kapitalis. Masyarakat beraja kita pula bagaimana?

Ironinya dalam lapangan politik, masyarakat kita mengamalkan demokrasi yang mengganggap rakyat keseluruhannya adalah setaraf malah kuasa pemerintahan juga berada ditangan mereka. Pemikiran feudalisme dan pengamalan demokrasi adalah satu bentuk realiti yang aneh kerana kedua-duanya merupakan hubungan yang saling berlawanan. Maka disebabkan itulah masyarakat kita tempang berjalan menuju ke arah kemajuan yang hakiki.

Faham konformisme bermaksud suatu perlakuan mengikut-ikut atau taqlid kepada realiti yang sedia ada. Konformisme boleh terjadi dalam aspek persatuan, pemikiran, gaya hidup dan lain-lain. Konformisme berlaku akibat tiadanya pembudayaan ilmu dan kesedaran akan hakikat diri. Manusia dilahirkan unik, punyai citra hidup yang tersendiri dan mampu untuk berdikari. Konformisme bakal melahirkan manusia yang seragam, tidak bersikap kritis malah tidak berkiblatkan ilmu.

Kedua-dua paradigma ini tidak mustahil sengaja dipelihara dan dijadikan budaya secara tidak sedar dalam negara ini oleh pemerintah demi meneruskan legasi penjajahan bentuk baru, iaitu penjajahan minda. Maka kaum-kaum pandir yang terdiri daripada elit pemerintah ini akan terus dapat mengekalkan kekuasaan mereka dan memperbodohkan rakyat yang sudah tertawan mindanya.

Sebagai mahasiswa, pertamanya kita perlu sedar lantas keluar daripada paradigama ini, keluar dari trend kebiasaan dalam berfikir dan bertindak yang menjurus kepada paradigma feudal dan konformis. Sebagai mahasiswa, perubahan yang pertama yang mesti dilakukan adalah melakukan islah terhadap diri sendiri, dalam kelompok mahasiswa sendiri. Budaya ilmu mestilah dipupuk dalam kalangan mahasiswa sendiri.

Antara masalah yang berlaku akibat paradigma yang telah disebutkan adalah lahirnya mahasiswa yang bersikap tidak kritikal dalam mendepani isu semasa. Dalam kalangan pejuang mahasiswa sendiri, idealisme perjuangan mereka masih tidak jelas, terkadang seperti lalang yang hanya mengikut rentak permainan trend semasa.


Keluar dari Kongkongan Politikus

Mahasiswa sejak akhir-akhir ini sering bersikap mengikut-ikut apa yang diperkatakan oleh ahli politik. Sebagai contoh isu PTPTN, mahasiswa hanya berani menuruti langkah politikus terutamanya daripada pihak pembangkang hingga terkadang mereka dilihat sebagai tunggangan parti politik. Mahasiswa tidak mampu berdiri sendiri; tidak mampu melihat, mengeluar serta menyelesaikan permasalahan yang wujud di sekitar mereka.

Inilah natijah daripada feudalisme yang telah melahirkan sikap kebergantungan yang melampau dalam masyarakat melayu samada dalam aspek politik, pengetahuan, ekonomi dan sebagainya. Lahirlah masyarakat yang hanya tahu mengangguk kepada pemerintah dan ketua-ketua daripada parti politik. Malah setiap perjuangan terpaksa diletakkan kebergantungannya kepada kuasa-kuasa politik tidak kira pemerintah mahupun pembangkang.

Amat menghairankan apabila mahasiswa sebagai masyarakat ilmu meletakkan kredibiliti perjuangan mereka ditangan politikus. Sepatutnya mahasiswa dijadikan pusat rujukan bagi masyarakat dalam menentukan sesuatu perkara, bukannya kepada politikus yang sememangnya kaya dengan retorik populis mereka.

Mahasiswa perlu lebih mandiri dalam pergerakan mereka, kemudian mendidik masyarakat mengangkat budaya ilmu dan lebih berdikari dalam kehidupan seharian mereka. Paradigma “manusia dahulu sebelum negara”, perlu dibina bagi memastikan inovasi dalam bidang kenegaraan serta kemandirian dalam perjuangan mahasiswa dapat dicapai.


Intelektual Massa

Mahasiswa juga perlu menjadi seorang intelektual atau rausyanfikr. Intelektual berbeza dengan intelegensia. Intelektual tidak hanya selesa dikencah akademik dan terasing dengan realiti semasa. Intelektual tugasnya meneliti, menyuarakan, menganalisa dan menyelesaikan permasalahan yang berlaku disekitar mereka.

Masalah yang diteliti bukan sekadar bermain disekitar isu kemahasiswaan sahaja, malah perlu mencapah kepada isu yang lebih besar seperti membela nasib kaum mustad’afin, menambahbaik sistem ekonomi dan negara serta mencipta teori-teori baru yang berguna buat ketamadunan Melayu serta dunia amnya.

Tugas mahasiswa adalah mendalami, mencipta serta memulangkan semula ilmu untuk kepentingan masyarakat. Dan semua ini tidak lain memerlukan iltizam yang kuat untuk mengharungi kencah keilmuan selain bersikap hormat dan kritis terhadap sumber-sumber ilmu yang ada.

Mahasiswa juga tidak boleh hanya tersekat pada sekadar wacana di dalam negara sahaja, bahkan idea, perdebatan dan permasalahan antarabangsa juga perlu diambil kira. Jauhi sikap selektif dalam memilih wacana. Mahasiswa perlu melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai isu yang ada dan tidak hanya berputar pada wacana Islam-Ikhwan sahaja, bahkan perlu melangkau isu-isu yang timbul daripada peradaban dan masyarakat lain bagi mematangkan pemikiran mahasiswa.


Pempribumian Ilmu dalam Menghadapi Globalisasi

Mahasiswa sebetulnya perlu menjadi pencipta ilmu yang menggunakan wacana dan wahana alam sekeliling, sesuai dengan budaya, pandangan alam dan demografi setempat. Era globalisasi ini memperlihatkan kemasukan beberapa pandangan alam yang asing ke dalam masyarakat kita. Pelbagai konsep-konsep asing dipaksakan ke atas intelegensia di negara kita sehingga mereka silau dengan pencapaian, kemegahan budaya dan tradisi keilmuan asing sedang keilmuan kita yang sangat kaya dilupakan.

Adalah sesuatu yang membimbangkan apabila intelektual muda kini menerima tanpa bersikap kritis terhadap konsep yang berasal dari ketamadunan asing yang dianggap mereka sebagai universal, tetapi pada masa yang sama memandang jelek kepada khazanah keilmuan sendiri yang langsung tidak digalinya. Ini merupakan satu infiltrasi tamadun melalui penyusupan konsep-konsep asing yang pada akhirnya bakal membunuh ketamadunan yang sedang kita bina.

Prof. Shahrir Mohd. Zain, antara tokoh intelektual yang giat mempromosikan usaha Pempribumian Ilmu melalui ASASI (Akademi Sains Islam Malaysia)

Mahasiswa perlu sedar akan hakikat ini; bersikap kritis dalam menerima ilmu dan juga tidak melupakan khazanah bangsa sendiri yang sebenarnya kaya serta dekat dengan jiwa dan hakikat diri.

Satu persoalan yang menarik untuk kita tanya dan fikirkan bersama; sudah berakhirkah ilmu dalam acuan kita sendiri?


Mahasiswa dan Masyarakat Sivil

Tugas memperkasakan masyarakat kita sebenarnya berada ditangan ahli ilmu, yang sepatutnya mahasiswa turut terkandung didalamnya. Merobah masyarakat mahupun negara ke arah yang lebih baik bukanlah dengan hanya menukar kerajaan yang memerintah, akan tetapi pengakaran keilmuan dan kesedaran yang tinggi dalam setiap warga dalam sesebuah negara adalah kunci ke arah kegemilangan sesebuah negara. Itulah inti bagi demokrasi, yakni masyarakat sivil sebagai kekuatan yang memandu negara menjadi lebih baik.

Oleh itu, mahasiswa perlu menjadi ejen yang menguatkan masyarakat sivil dalam sesebuah negara. Nilai-nilai seperti toleransi, kerjasama, kesukarelawanan, dan pemerkasaan perlulah diketengahkan dalam memperkasakan masyarakat sivil. Keterlibatan aktif mahasiswa bersama-sama dengan masyarakat sivil sedikit sebanyak menunjukkan bahawa mahasiswa tidak terisolasi dalam dunianya sendiri.

Tugas memberdayakan masyarakat bukanlah tugas yang bersifat suka-suka ataupun sekadar one-off, bahkan ianya perlu berterusan dan memerlukan perancangan yang rapi serta konstruktif. Untuk itu mahasiswa perlu memerah idea dan membina model perubahan yang bersifat jangka masa yang panjang agar perubahan dapat dilakukan dengan lebih progresif, bukannya sekadar mengikut-ikut trend semasa.


Revolusi Minda

Revolusi yang sepatutnya diidamkan oleh aktivis mahasiswa bukanlah hanya sekadar mengumpulkan ribuan manusia diatas jalanraya. Revolusi ini sering menatijahkan kegagalan, bukan kemajuan massa. Apalah gunanya mengumpulkan angka-angka kosong, jika berjaya menggulingkan kerajaan sekalipun selepas itu, pembentukan semula sistem yang baru pasti akan menemui jalan buntu.

Revolusi yang sebenar adalah revolusi minda, membebaskan manusia dari penjajahan minda akibat ketidakmatangan diri hasil dari lemahnya pengetahuan dan kekuatan diri, secara intelek mahupun kendiri.

Menyedarkan masyarakat sehingga mereka boleh berfikir luar dari kerangka sistem yang sedia ada merupakan satu kejayaan yang sangat bernilai bagi sesebuah revolusi minda. Namun begitu cita-cita ini pasti tidak akan tercapai andai mahasiswa sendiri masih terikat dengan logik sistem yang tersedia ada.

Semua ini memerlukan daya kesungguhan yang tinggi daripada mahasiswa sendiri untuk mendalami akar-akar pemikiran yang mencengkam sistem nilai zaman ini.


Mengharmonikan Ilmu dan Nilai

Pengejaran ke arah logik dan ilmu yang kaku takkan selamanya mampu membuatkan manusia menjadi manusia. Manusia itu terbentuk atas apa yang difikir serta diamalkannya. Justeru itu, setiap teori dan perbahasan ilmu perlulah disandarkan kepada nilai agar ilmu yang dikejar bermakna buat diri dan masyarakat.

Rasional sistem semasa, walau sebaik manapun ia takkan dapat menjamin kelangsungan hidup manusia yang diinginkan andai pengendali sistem tersebut gagal memahami dan memanfaatkannya sebaik mungkin melalui pengamalan nilai-nilai terbaik yang dipercayai oleh masyarakat umumya. Seburuk manapun sistem yang diwujudkan dalam sesebuah masyarakat, jika kualiti manusia yang hidup di dalamnya hebat maka sistem tersebut lama-kelamaan bakal diubah dan diperbaiki dari semasa ke semasa menjadi sistem yang lebih baik.

Kesedaran mengenai nilai dan kualiti diri manusia inilah yang perlu ditanam dalam diri mahasiswa supaya dapat membentuk insan yang berkualiti, berautonomi serta dapat memadukan antara kebenaran dan pengetahuan. Ilmu yang diperolehi tiada gunanya andai tidak dapat membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Fakta, maklumat dan analisa jika tidak dapat disepadukan dengan ruh dan nilai yang dipercayai hanyalah akan menjadikan manusia tiada bezanya dengan keldai yang membawa lembaran-lembaran kertas.

Kesepaduan ilmu pengetahuan ke dalam aspek nilai dan ruh tanpa menjuzuk-juzukkan mereka itulah yang memanusiakan manusia.


  1. Immanuel Kant (1784), What is Enlightenment
  2. Shaharir Mohamad Zain (2012), Berakhir Sudahkah Ilmu Dalam Acuan Sendiri?
  3. Syed Hussein Alatas (2009), Intelektual Masyarakat Membangun
  4. Syed Muhammad Naquib al-Attas (2001), Risalah Untuk Kaum Muslimin
  5. Wan Mohd Nor Wan Daud (1991), Budaya Ilmu Satu Penjelasan
  6. Zul Fikri Zamir (2012), Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang

Originally published at shuhaibarumy.blogspot.com on January 21, 2014.