Air dan Angan-angan

Politik, Penduduk dan Pembanguan di Kampung Long Sukang, Sarawak. Oleh Sharon Chin

Senja di Kampung Long Sukang, Job Yaris mencuci keretanya di tepi Sungai Tengoa.

Ruran Benung masih mengingat bila orang Lun Bawang di Kampung Long Sukang duduk dalam rumah panjang.

Bekalan air paip tiba pada tahun 70-an, dibawa oleh Kementrian Kesihatan. Beberapa tahun kemudian, Samling, salah satu daripada syarikat pembalakan ‘Big 6’ di Sarawak, mula mengambil kayu di sekitar kawasan itu.

Ruran Benung, 57, mengusahakan homestay di Kampung Long Sukang.

Dulu, orang Lun Bawang terkenal sebagai salah satu suku paling buas di pedalaman Sarawak. Mereka pemburu kepala dan pengambil hamba, sehingga 1930-an, apabila mubaligh Kristian tiba dari Australia dan membawa bersama Kitab Injil dan suratan Allah.

Kini, gereja menjadi tumpuan kehidupan di kampung, dan orang Lun Bawang merupakan penganut Kristian yang warak sehingga tidak merokok atau minum arak.

Hari Ahad di gereja Kampung Long Sukang. Dari kiri, arah ikut jam: Pastor memberi khutbahnya dari pentas. Kitab Injil bahasa Melayu. Lagu-lagu mazmur dinyanyi dalam bahasa Lun Bawang. Berbagai fesyen rambut dilihat dari belakang — pemuda-mudi suka ikut gaya Korea.
Ibu dan anak, Juliana Semayong dan Job Yaris, 20.

Perjalanan dari bandar Lawas ke Kampung Long Sukang mengambil masa dua jam melalui jalan pembalakan Samling. Bila hujan turun, limpahan air berwarna teh tarik mengalir deras di susurnya. Job membawa keretanya berulang-alik atas jalan ini hampir setiap hari.

Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) menerusi jalan yang sama. Dibina oleh Petronas pada 2013, ia mengangkut gas mentah sejauh 512km dari Kimanis ke Bintulu.

Letupan Paip Gas Sabah-Sarwak di Lawas”, mStar Online, 10 Jun 2014

Tiada nyawa terkorban pada malam itu, tapi ini langsung tidak menenangkan hati para penduduk kampung yang tinggal baru lemparan segenggam tanah dari paip tersebut.

Yaris Semayong seorang pemimpin komuniti di Kampung Long Sukang. Beliau telah menentang membinaan paip gas itu dengan mengadang kontraktor Petronas daripada meneruskan kerja di atas tanah miliknya untuk selama mungkin.

Menjelang April 2015, beliau berhasrat pula untuk menghubungi paip — yang lain jenisnya.


Sekolah Kebangsaan Long Sukang dikatakan menelan belanja RM25.8juta. Ia bakal menjadi antara sekolah luar bandar terbesar di daerah Lawas.

Yaris Semayong, pemimpin komuniti.

Kebetulan, Pak Yaris bertembung dengan banner Impian Sarawak di Limbang. Selepas menghubungi nombor di situ, lahirlah sebuah rancangan untuk membekalkan S.K. Long Sukang dengan air. Ini tidak senangi oleh pihak penguasa tempatan.


Impian Sarawak ditubuhkan oleh parti pembangkang nasional DAP pada September 2013, selepas Barisan Nasional menang Pilihanraya Umum Ke-13.

Berdasarkan model NGO pembangunan, ia merupakan program sosial yang mempunyai matlamat politik, iaitu meraih undi di kawasan luar bandar.

Kakitangan sepenuh masa mengenal pasti projek menerusi jaringan lokal, dan menjemput sukarelawan — biasanya melalui Facebook — untuk berkhidmat bersama mereka.

Jiang*, 30, ahli statistik dan bekas penolong kepada Ong Kian Meng, ahli parlimen DAP untuk Serdang.
Vivian*, 33, kiropraktor dan bekas kakitangan Raleigh International

Julai tahun lepas, saya bersama kakitangan Impian Jiang, Vivian, dan Lisa*, [identiti disembunyikan atas kemungkinan mereka dilarang daripada terus memasuki Sarawak], dan sembilan sukerelawan lain menyertai projek paip S.K. Long Sukang.

Rancangannya: Menghubungkan 6.5km paip dari empangan di ulu sungai ke sekolah, dengan tangki putus tekanan di tengah. Jumlah belanja: RM30,000.

Lisa*, 30, menunjukkan pelan projek paip semasa sesi taklimat dengan orang kampung dan sukarelawan. Kerja bermula Isnin pagi dan berlangsung selama lima hari. Pada penghujung hari Jumaat, berita yang diinginkan kedengaran dari walkie talkie kami. Rekaan t-shirt oleh Pangrok Sulap.

Pada hari Sabtu, genap seminggu sejak ketibaan kami, Hari Sukaneka dan Majlis Perasmian diadakan di astaka berdepan padang bola. Astaka itu dibina daripada balak yang diderma oleh Samling.

Dendangan bamboo band menjemput YB Tony Pua yang datang dari KL. Ahli Parlimen DAP untuk PJ Utara itu merupakan daya pengerak utama Impian Sarawak. Buat pertama kalinya, projek ini melibatkan sebuah sekolah — iaitu infrastruktur awam — maka bakal menjadi bahan menarik untuk ditayangkan di depan media dan jamuan kutip dana.

Sabtu, 13 Jun 2015. Tony Pua merujuk kepada keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 dalam ceramah perasmiannya pada Hari Sukaneka.

Pilihanraya negeri Sarawak diadakan dua tahun sebelum Pilihanraya Umum, dan kemungkinan besar menentukan medan politik yang akan datang bagi seluruh Malaysia. Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 jatuh pada 7 Mei 2016. Barisan Nasional meraih kemenangan besar, iaitu 72 daripada 82 kerusi, maka memperkasakan majoritinya di Dewan Undangan Negeri. PKR kekal tiga kerusinya, termasuk Ba’Kelalan, kawasan yang mengandungi Kampung Long Sukang. DAP kalah lima daripada 12 kerusi bandar yang dipegang sebelumnya.

Dalam perjalanan balik, apabila sedar bahawa saya akan menulis rencana ini, Pua menawarkan bantuannya supaya ia diterbit dalam The Malaysian Insider, salah satu portal berita atas talian terbesar di Malaysia [kini tidak berfungsi sejak Mac 2016].

The Malaysian Insider diharamkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 25 Februari 2016. Berikutannya, The Edge Media Group menutup laman web itu pada 14 March 2015 atas sebab komersial.

Beberapa hari sebelum itu, di bawah astaka yang sama, Pak Yaris terangkan kepada saya isu-isu yang menghadapi komunitinya.

Geoportal Sarawak Bruno Manser Fund merupakan alat atas talian percuma yang memetakan maklumat tentang perkembangan alam sekitar, sosial dan politik di Sarawak.

Satu tahun sudah berlalu sejak saya berada di Long Sukang. Sebelum berangkat, kami dihadiahkan topi tradisional.

Kiri: Topi lelaki dibuat daripada kulit kayu. Kanan: Topi perempuan dihiasi manik dan motif traditional.

Selain itu, kami juga dibagi nama Lun Bawang.

Nama itu pemberian yang pelik dan berat. Bagaikan bangunan sekolah yang terbengkalai, ia menghuni dalam diri saya seperti janji yang belum ditepati. Walaupun pilihraya datang dan pergi, hutan ditebang, sungai menjadi cetek, dan binatang pupus, ia akan kekal, menjadi peringatan bahawa nama itu adalah penghormatan bahkan kewajipan — kalau ingin betul-betul bererti, ia bukan sahaja perlu dibagi, tapi juga ditunaikan.

Apakah Impian Sarawak akan diteruskan selepas pilihanraya? Dan saya tidak tahu bila masanya akan cari jalan pulang ke Long Sukang.

___________________________________________________________________

Pemakluman: Penulis pernah berkempen untuk Parti Keadilan Rakyat semasa Pilihanraya Negeri Sarawak 2011. Penginapan disediakan oleh penduduk Kampung Long Sukang. Insurans perjalanan ditaja oleh Impian Sarawak. Belanja lain ditanggung oleh penulis.

Terima kasih kepada penyunting Ling Low dan Zedeck Siew.

Rencana ini adalah Bahagian 3 dalam projek ‘In The Land That Never Was Dry / Bumi Di Bawah Hujan’, siri kewartawanan grafik berkenaan isu-isu air di Malaysia, disokong oleh Krishen Jit ASTRO Fund. Baca Bahagian 1 dan Bahagian 2:

Like what you read? Give Sharon Chin a round of applause.

From a quick cheer to a standing ovation, clap to show how much you enjoyed this story.