Gerhana Matahari 2016

Sayangnya kita tak boleh Nampak gerhana matahari seperti dalam drama Nur Kasih di Malaysia.

Pada 9 Mac 2016 kita akan dapat menyaksikan sebuah fenomena yang amat dinanti-nantikan oleh ramai orang, lebih-lebih lagi solar eclipse chaser yang berada di seluruh dunia. Mereka selalunya memulakan perancangan yang rapi untuk menyaksikan sendiri fenomena ini dari tahun lepas dan tarikh mereka tunggu-tunggu itu semakin hampir!

Pada tarikh tersebut gerhana matahari penuh akan dapat dilihat di sepanjang kepulauan Sumatera, Selatan Borneo dan Sulawesi. Jangan risau kerana Malaysia juga berpeluang untuk menyaksikan sebahagian besar dari gerhana matahari ini. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Malaysia dapat menyaksikan gerhana matahari separa dengan litupan permukaan matahari menghampiri 90%! Dalam kenyataan itu juga ANGKASA menyatakan bahawa bandaraya Kuching akan menyaksikan liputan matahari yang paling maksimum berbanding dengan ibu negeri lain di Malaysia. Adakah Malaysia akan bergelap?

Laluan Gerhana Matahari 9 Mac 2016

Apa itu gerhana matahari?

Gerhana matahari merupakan sebuah fenomena samawi yang berlaku apabila bulan berada diantara matahari dan bumi lalu melitupi sebahagian / kesemua cakera matahari. Para saintis telah membahagikan gerhana matahari kepada 4 kategori iaitu gerhana matahari separa (partial solar eclipse), gerhana matahari penuh (total solar eclipse), gerhana matahari anular / cincin (annular solar eclipse) dan gerhana matahari hibrid annular-penuh (annular-total / hybrid solar eclipse).

Seperti namanya sendiri, gerhana matahari separa merupakan sejenis gerhana matahari di mana kita boleh lihat bulan melitupi sebahagian cakera matahari. Ini merupakan jenis gerhana matahari yang kita dapat cerap 9 Mac ini. Sementara itu, Indonesia dapat menyaksikan gerhana matahari penuh, di mana kita boleh lihat bulan melitupi keseluruhan cakera matahari di saat maksimum. Keadaan di kawasan cerapan anda akan bergelap ketika berlakunya gerhana matahari penuh.

3 kategori utama gerhana matahari.

Gerhana matahari anular (annulus: perkataan dari bahasa Latin yang bermaksud cincin) pula lebih kurang seperti gerhana matahari penuh, tetapi sebaliknya dalam situasi ini bulan tidak dapat melitupi cakera matahari sepenuhnya. Kita masih lagi boleh nampak bahagian luar cakera matahari yang menyerupai bentuk cincin. Oleh sebab itulah gerhana matahari anular ini juga dikenali sebagai gerhana matahari cincin. Ha, yang inilah jenis gerhana matahari yang ditunjukkan dalam drama Nur Kasih! Untuk pengetahuan anda juga gerhana matahari anular akan berlaku pada 1 September 2016 di kawasan sekitar Lautan India melalui selatan Benua Afrika ke Lautan Atlantik. Gerhana ini juga membuatkan keadaan di kawasan cerapan anda bergelap.

Gerhana matahari hibrid annular-penuh merupakan gerhana matahari yang paling jarang berlaku. Gerhana hibrid annular-penuh berlaku apabila suatu tempat di permukaan bumi dapat mencerap gerhana matahari annular manakala di tempat yang lain mereka dapat mencerap gerhana matahari penuh. Pelik kan?

Faktor yang membezakan jenis gerhana matahari seperti di atas ialah dari mana anda mencerap gerhana tersebut. Semakin hampir kawasan cerapan anda dengan laluan gerhana, anda akan dapat lihat gerhana matahari penuh. Sebaliknya jika kawasan anda terletak jauh dari laluan gerhana, anda terpaksa berpuas hati dengan gerhana matahari separa atau tiada gerhana langsung. Jadi, Malaysia boleh dikatakan bertuah kerana kita boleh lihat sebahagian besar dari gerhana yang akan datang ini!

Rugi ke tak kalau tidak dapat lihat gerhana matahari penuh?

Ini merupakan perkara yang mungkin anda lalui / dapat anda manfaatkan ketika berlakunya gerhana matahari penuh:

  1. Anda akan nampak kawasan cerapan anda menjadi gelap sedikit demi sedikit walaupun anda nampak matahari terpacak di atas.
  2. Anda boleh nampak bintang-bintang, buruj dan planet yang tidak dapat dicerap ketika waktu malam.
  3. Suhu tempat cerapan anda akan turun (sedikit atau banyak tu bergantung kepada tempat.)
  4. Anda boleh mencerap corona (atmosfera matahari) menggunakan teleskop yang asas.
  5. Menurut Astronomical Association of Queensland, Australia burung-burung berterbangan pulang ke sarang masing-masing seperti berlakunya senja (dan begitu juga haiwan lain).

Rugi ke tak kalau terlepas melihat fenomena sendiri? Anda sendiri yang tentukan!

Kebarangkalian

Bayangkan apakah kebarangkalian tokoh yang anda sanjungi datang membeli apam balik di pasar malam berdekatan rumah anda? Apakah kebarangkalian untuk anda berkahwin dengan Neelofa? Apakah kebarangkalian untuk anda memenangi hadiah percutian idaman anda? Akhir sekali, apakah kebarangkalian untuk terjadinya gerhana matahari penuh? Tahukah anda bahawa kebarangkalian untuk berlakunya gerhana matahari penuh di sesuatu tempat adalah sangat sangat sangat kecil, tetapi tahun ini kita berpeluang untuk menyaksikan(sebahagian dari) fenomena yang ekslusif ini. Tidak ramai orang tahu keindahan / bertapa uniknya gerhana matahari dari sudut ini.

Untuk sesuatu gerhana berlaku, saiz objek yang menghalang cahaya mestilah sama dengan dengan saiz objek yang mengeluarkan cahaya untuk menghalang cahaya dengan sempurna. Tetapi adakah saiz bulan sama dengan saiz matahari? Tidak! Saiz bulan adalah lebih kurang 400 kali lebih kecil dari matahari. Jadi, fikirkan apa kebarangkaliannya untuk berlaku gerhana matahari penuh dalam keadaan ini?

Nasib baiklah saiz bulan dan saiz matahari diskalakan dengan jarak bulan-bumi dan matahari-bumi. Saintis mendapati bulan adalah hampir 400 kali ganda (lebih tepat, 389 kali ganda) lebih dekat dengan bumi berbanding dengan matahari. Jadi, dalam keadaan ini kita mungkin dapat menyaksikan gerhana matahari pada setiap 29.53059 hari (jika kita anggap orbit bulan mengelilingi bumi adalah bulat). Tetapi tidak semudah itu!

Orbit bulan mengelilingi bumi sebenarnya bukannya bulat, tetapi lebih menyerupai elipse (bujur). Seperti yang kita tahu untuk orbit yang berbentuk elipse, sekarang kita mempunyai 2 keadaan untuk menentukan jarak bulan-bumi. Jarak perigee (jarak bulan yang paling dekat dengan bumi) ialah 353,396 km manakala jarak apogee (jarak bulan yang paling jauh dengan bumi) ialah 405,504 km. Kedudukan bulan di perigee dan apogee ini sudah tentu mempengaruhi kertenampakan bulan dari bumi. Di kedudukan perigee, bulan akan kelihatan besar dari biasa (ketika inilah fenomena supermoon selalunya berlaku) manakala di kedudukan apogee, bulan akan kelihatan kecil dari biasa. Oleh itu bulan mestilah berada di jarak yang bersesuaian supaya apparent size dia tidak melebihi cakra matahari dan tidak pula terlalu kecil dari cakra matahari. Jadi, cuba bayangkan apa kebarangkalian untuk bulan tiba di sweet spot untuk terjadinya gerhana matahari penuh? Semakin kecil kan?

Tambahan lagi bumi juga mengorbit matahari dan orbit bumi bukannya bulatan, tetapi lebih menyerupai elipse. Oleh itu bumi juga ada 2 keadaan seperti bulan tadi, perihelion dan aphelion. Kedudukan perihelion merupakan jarak bumi-matahari yang paling dekat iaitu 147,101,455 km manakala kedudukan aphelion pula yang sebaliknya (152,098,155 km). Sama seperti perigee dan apogee, di kedudukan perihelion, matahari akan kelihatan besar dari biasa manakala di kedudukan aphelion, matahari akan kelihatan kecil dari biasa. Jadi, selepas mengambilkira faktor-faktor yang disenaraikan di atas, apakah kebarangkalian untuk terjadinya gerhana matahari penuh?

Ada banyak lagi faktor-faktor yang menyumbang kepada kebarangkalian untuk terjadinya gerhana matahari. Satah (plane) orbit bulan bukannya mendatar tetapi condong pada (purata) 5.145° dari satah orbit bumi-matahari. Interaksi tarikan graviti ketiga-tiga jasad ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada perubahan kecil orbit jasad-jasad ini. Akhirnya, kebarangkalian untuk menyaksikan gerhana matahari penuh di satu-satu tempat menjadi sangat kecil. Adakah ini celestial coincidence? Tak juga!

Gerhana Matahari 2016 di Malaysia.

Berikut merupakan timeline gerhana matahari separa pada 9 Mac ini.

7:24 pagi : sentuhan pertama (boleh mula cerap dari sekarang)

8:24 pagi : litupan maksimum (part yang paling best)

9:31 pagi : sentuhan akhir (gerhana mula surut)

Timeline diatas merupakan timeline gerhana matahari di Kuala Lumpur. Untuk mengetahui waktu yang lebih tepat untuk kawasan anda, boleh rujuk ini. (Walaupun sebenarnya perbezaan waktu cerapan ialah beberapa minit sahaja).

Kaedah Cerapan Gerhana Matahari

Pertama sekali saya ingatkan bahawa jangan sesekali melihat matahari dengan mata kasar dan jangan gunakan teleskop atau binokular anda tanpa penapis solar yang sesuai. Melihat matahari secara terus dengan mata kasar boleh menyebabkan kerosakan kekal pada mata anda. Tiada instrument atau penapis solar yang sesuai? Jangan risau, ada cara lain yang anda boleh guna untuk mencerap gerhana matahari!

1. Melihat pantulan matahari di dalam air. Ini merupakan kaedah mencerap gerhana matahari yang paling lama dan mudah. Perasan atau tidak air sebenarnya boleh memantul cahaya sebanyak 2%. Hal ini dinamakan Fresnel Reflection.

2. Pinhole camera. Pinhole camera merupakan design kamera yang paling asas. Ia terdiri dari 2 komponen iaitu sebuah lubang yang kecil (yang dibuat menggunakan jarum) dan layar / skrin untuk menghalakan cahaya yang keluar dari lubang tersebut. Klik sini untuk belajar cara untuk membuat pinhole camera anda sendiri!

3. Beli filem negatif (photographic film). Filem negatif mempunyai lapisan perak yang dapat menapis sebahagian besar cahaya yang masuk. Beli satu roll dan potong kepada potongan yang kecil untuk berkongsi dengan kawan-kawan atau simpan satu potongan kecil di dalam dompet kalau ada kecemasan untuk lihat gerhana matahari! Guna filem negatif ini dengan berhati-hati kerana tidak semua filem negatif mempunyai lapisan kristal logam yang mampu menapis cahaya matahari. Jangan sesekali gunakan filem negatif dengan binokular anda kerana binokular berfungsi dengan memfokus cahaya ke bahagian eyepiece. Walaupun kebanyakkan cahaya sudah ditapis, cahaya yang selebihnya yang dapat masuk melalui binokular anda boleh tertumpu lalu boleh menyebabkan kerosakan mata yang kekal.

4. Dapatkan topeng tukang kimpal. Seperti yang anda tahu tukang kimpal memerlukan topeng untuk melindungi muka dan mata mereka dari percikan dan cahaya yang amat terang. Jadi, ada sesetengah jenis topeng kimpalan dilengkapi dengan pelindung mata yang juga boleh berfungsi sebagai penapis cahaya untuk mencerap gerhana. Namun diingatkan pelindung mata tukang kimpal juga mempunyai pelbagai jenis gred. Pilihlah gred pelindung mata yang betul bagi mengelakan kerosakan mata.

5. Datang ke planetarium negara, balai cerap negeri atau program cerapan yang dianjurkan institusi-institusi dan lihat sendiri gerhana matahari melalui teleskop professional. Barulah puas! Bawalah sekali kamera untuk mengambil sendiri gambar gerhana matahari untuk kenang kenangan!

6. Tonton siaran langsung gerhana matahari. Klik link ini [Link sudah up! Terima kasih ANGKASA!].

Sekarang anda sudah tahu bila berlakunya gerhana matahari dan kaedah yang selamat untuk mencerap gerhana matahari. Saya harap lebih ramai orang menghargai fenomena alam yang menakjubkan ini, baik seperti di dalam puisi ataupun dari sudut saintifik.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa saya akan berada di Planetarium Negara Kuala Lumpur bermula dari 7 sehingga 10 pagi. Jumpa anda di sana!

Rujukan

1. Senarai ratusan gerhana matahari yang lepas dan yang akan datang.

2. Butiran gerhana matahari 9 Mac 2016.

3. Peta laluan gerhana matahari 9 Mac 2016.

4. Solar Eclipse Calculator.

5. Jenis gerhana matahari.

6. Matematik & gerhana matahari.

7. Saros cycle dan bagaimana saintis meramal gerhana.

Image Credits

1. Sun : NASA and SDO.

2. Earth : NASA, NOAA, GSPC, NPP, VIIRS and Norman Kuring.

3. Moon: NASA and Goddard Lunar Reconnaissance Orbiter.

Show your support

Clapping shows how much you appreciated Terokai - Sains’s story.