Ada Apa Dengan Gagne?

Puteri Fadzline Muhamad Tamyez
Anecdotes of Academia
4 min readAug 31, 2019

Pensyarah adalah satu pekerjaan yang mulia kerana dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak bangsa agar bersedia dengan arus pasaran kerja. Ia harus sejajar dengan keperluan pasaran kerja yang kini memberi penekanan terhadap keperluan tenaga mahir yang berasaskan Industri 4.0.

Namun begitu, menjadi pensyarah bukan sekadar menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar, tetapi perlu memikul pelbagai tanggungjawab iaitu sebagai penyelidik, pentadbir, penyelia, penerbit, perunding dan pemberi khidmat masyarakat.

Photo by JESHOOTS.COM on Unsplash

Atas dasar itu, amalan 7P (pengajaran, penyelidikan, pentadbiran, penyeliaan, perundingan, penerbitan dan perkhidmatan masyarakat) harus diambil kira dalam kehidupan seharian seorang pensyarah. 7P ini sedikit berbeza bagi setiap universiti awam.

Walaubagaimanapun, belum pun cukup waktu untuk melengkapi amalan 7P semasa semester pendek, para pensyarah perlu fokus pula dengan pengajaran pada semester menjelang September ini.

Ada dikalangan mereka mula resah dan mengeluh dengan penyediaan nota kuliah, teaching plan, soalan dan skema jawapan. Kandungan nota pula harus seiring dengan perkembangan ilmu terkini, dan bersesuaian dengan tahap pemikiran pelajar.

Apabila terlalu banyak yang perlu difokuskan, mereka lupa tentang penyediaan penyampaian kandungan kursus secara efektif. Jika pelajar tidak memberi tumpuan atau terlibat dgn pembelajaran daripada awal, tidak berguna untuk pensyarah menghasilkan persediaan nota kuliah sekalipun ia adalah yang terbaik.

Tanpa perlu meneliti semula penambaikan pengajaran semester lepas atau continuous quality improvement (CQI), ada sebilangan yang mengajar ala sekadar batuk di tangga tanpa mementingkan sama ada pengajaran tersebut sudah mencapai hasil pembelajaran atau learning outcome di hujung semester.

Namun, ada juga sebilangan pensyarah yang senantiasa bersemangat untuk mencuba cara baharu untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran tidak membosankan sekaligus menjadikan kandungan yang mudah difahami.

Sifat ini yang patut diterapkan dalam setiap minda para pensyarah. Di zaman yang penuh gangguan atau distraction ini, para pelajar terutamanya dikalangan generasi Z semakin tertarik dengan keadaan sekeliling mereka (maya dan realiti) jika dibandingkan dengan kuliah yang dihadiri dan mempunyai daya tumpuan yang singkat atau short attention span hasil pengaruh media sosial.

Jadi, bagaimana pensyarah dapat mengendalikan kelas pembelajaran secara efektif?

Strategi yang sistematik akan menghasilkan pengajaran yang berkesan sekaligus menjadikan para pelajar menerima ilmu dengan baik. Seorang ahli psikologi bernama Robert Gagne mencipta satu model yang dipanggil Gagne’s 9 Events of Instruction.

Model ini mempunyai banyak persamaan dengan pendidikan berasaskan hasil atau Outcome-Based Education (OBE) yang mana ia melibatkan penjajaran antara kepentingan mempunyai hasil pembelajaran yang jelas iaitu perancangan , aktiviti pembelajaran iaitu perlaksanaan, melatih apa yang dipelajari iaitu pemantauan, dan mengaplikasikan apa yang dipelajari iaitu penilaian. Model ini juga sesuai untuk pengajaran secara maya atau teradun.

Kaedah Gagne bermula dengan;

  1. Gain attention

Menarik perhatian pelajar adalah penting untuk memberi tanggapan yang positif bagi jangka masa yang lama. Ini boleh dilakukan dengan mengadakan aktiviti ice-breaking, berbincang tentang isu semasa, case study atau menayangkan video yang relevan.

2. Inform the learning objectives

Memaklumkan kepada para pelajar hasil pembelajaran yang bakal mereka perolehi, bab kursus, tugasan projek individu dan berkumpulan, dan senarai buku rujukan yang relevan.

3. Stimulate of prior learning

Mengaitkan pelajaran yang berkaitan sebelumnya dan menghubungkan dengan pelajaran yang baharu, menggunakan mind map, concept map, dan sebagainya.

4. Present the content

Syarahan boleh disampaikan melalui multimedia atau powerpoint, pembelajaran rakan sebaya atau peer learning, collaborative learning dan sebagainya. Arus pendidikan yang semakin pesat juga kini mewujudkan pelbagai pilihan alat bantu mengajar berteknologi bagi memudahkan pengajaran secara efektif berlaku seperti zoom, screen o matic, dan powtoon.

5. Learning guidance

Memberi bimbingan kepada pelajar melalui sistem pengurusan pembelajaran universiti. Ini akan menggalakkan lebih banyak penglibatan antara pensyarah dan pelajar.

6. Elicit performance

Mengadakan aktiviti yang menguji pemahaman untuk meningkatkan prestasi mereka. Antaranya ialah projek individu, tugasan bertulis atau makmal, dan sebagainya. Alat bantu berteknologi seperti Kahoot, Quizziz, Socrates, Nearpod, dan Padlet juga akan menjadikannya aktiviti ini lebih mengujakan.

7. Giving feedback

Memberi maklumbalas di atas prestasi mereka agar dapat menyelesaikan segala isu secara serta merta semasa mereka menyiapkan projek atau tugasan.

8. Assessing performance

Pencapaian mereka akan diukur melalui penilaian sumatif seperti peperiksaan akhir.

9. Enhancing retention and transfer

Hasil pembelajaran akan dicapai apabila pelajar dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari di situasi yang berlainan selain dari di kuliah.

Antaranya ialah menghasilkan business model, prototaip, buletin, newsletter, produk dan banyak lagi.

Secara kesimpulannya, model Gagne ini dapat membantu para pensyarah merancang penyediaan penyampaian kandungan kursus secara kreatif, inovatif dan sistematik agar membolehkan pelajar mencapai hasil pembelajaran kursus di akhir semester mereka.

--

--

Puteri Fadzline Muhamad Tamyez
Anecdotes of Academia

Trying to make the best of this short trip before the final destination