Adakah Anda Sanggup Berkorban?

Puteri Fadzline Muhamad Tamyez
Anecdotes of Academia
2 min readAug 12, 2019

Ada pelajar yang sanggup hidup susah daripada berubah menjadi lebih baik. Setelah beberapa semester menelaah dan mengharungi hidup sebagai pelajar pascasiswazah, sedikit demi sedikit dia beralih kepada aktiviti yang lebih menggembirakan.

Apabila seronok bersantai dalam zon selesanya, dia tidak malu dan rasa bersalah untuk memberi seribu satu alasan kepada supervisornya. Akhirnya, motivasinya menipis dan tak sanggup untuk keluar dari zon selesa. Ada pula yang sanggup bekerja, menceburkan diri dalam perniagaan atau mengambil hobi baru daripada menghadapi kesusahannya belajar.

Mengapa begitu?

Setelah setahun dalam pengajian PhD, dia sedar rupanya dia perlu melalui proses lelahnya belajar. Keyakinan untuk sanggup berkorban tidak terbina daripada awalnya. Sebaliknya mereka sanggup beralih mencuba benda baharu daripada mencari kekuatan untuk mencintai ilmu. Akhirnya, mereka sanggup membina persepsi negatif diri daripada percaya dengan diri sendiri. Ini bertepatan dengan kata-kata Imam Shafie:

Bila kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan diri

Kadangkala, pelajar sedar besarnya ganjaran setelah selesainya pengajian. Namun, masih ramai yang menyibukkan diri dengan urusan lain setelah berasa begitu sukar untuk konsisten dalam menyiapkan sesebuah tesis.

Biasa dengar bukan?

Inilah dinamakan sebagai instant gratification, atau ganjaran kepuasan secara segera. Pelajar terperangkap apabila mana pelajar milenial terutamanya, cenderung untuk mendapat ganjaran dengan pantas dan segera. Semua mahu cepat. Walhal, untuk menjadi seorang scholar atau cendekiawan, ia tidak semudah itu. Untuk satu kejayaan, ia melibatkan satu proses yang panjang.

Jika pelajar memahami tujuan menuntut ilmu itu pada awalnya, mereka tidak akan terperangkap dalam instant grafitication ini. Maka, ikhlaskanlah hati belajar kerana Tuhan dan niatkanlah diri untuk mengamalkan ilmu itu di kemudian hari.

Fokuslah. Bersungguhlah dan berkorbanlah kerana hakikatnya belajar itu melelahkan. Sesungguhnya keyakinanlah yang membina kepercayaan kepada diri sendiri. Pelajar yang berobjektif dan sanggup membuang segala ‘kebisingan’ atau gangguan media sosial disekelilingnya akan akhirnya meraih kemanisan ilmu.

Jadi, adakah anda sanggup berkorban?

--

--

Puteri Fadzline Muhamad Tamyez
Anecdotes of Academia

Trying to make the best of this short trip before the final destination