Anakku vs anak mereka

Dua kehidupan di bumi yang sama.

Faridah Idris
Anecdotes of Academia
3 min readJul 24, 2019

--

Photo by Ben Wicks on Unsplash

Anakku

keluar ke dunia nyata

cukup hari dan waktunya

disambut pakar tanpa gesa

di hospital serbi serba sempurna

Anak mereka

lahirnya belum cukup waktu

kerana bom dan tembakan melulu

di hospital tanpa kemudahan yang perlu

untuk menyambut bayi mereka yang baru

Anakku

tangisan kelaparan tidak lama kubiarkan

Aku sihat dan bisa menyusukan

tanpa perlu tolong bantuan

Hanya yang terbaik ku mahu berikan

Anak mereka

kecil dan berat tidak kecukupan

di dalam kurungan serba kekurangan

ibumu sakit dan tidak termampu memberikan

khasiat terbaik untuk anak anak kesayangan

kerana keangkuhan dan nafsu kebinatangan

sekumpulan manusia yang tiada peri kemanusiaan

Photo by Specna Arms on Unsplash

Anakku

ke sekolah tanpa risau dan jemu

tiada askar dan peluru yang menunggu

dihantar dijemput penuh restu

tanpa check point dan bom yang melulu

aman tenteram menuntut ilmu

Photo by Aaron Burden on Unsplash

Anak mereka

jiwa semangat terus membara

ke sekolah berjalan sahaja

walau ditunggu dan peluru tak pernah leka

mencari mangsa tidak kira masa

namun mereka berhati waja

Anakku

bermain di rumah tanpa bahaya

basikal, gelongsor kegemaran semua

lapar dahaga makan minum tersedia

tidak perlu berpindah-randah sentiasa

kerana sekelilingmu aman sentosa

Anak mereka

rumah mereka hancur segala

dibom ditolak ditembak sesuka

ayah ibu mungkin hidup mungkin tiada

dihempas timbunan rumah yang tegaknya tiada

bermain bukan agenda utama

kerana nyawa perlu sentiasa dijaga

Photo by Jordy Meow on Unsplash

Anakku

masih sihat dan sejahtera

menghirup udara tanpa debu ketara

disekelilingmu penuh sanak saudara

sentiasa gembira sentiasa ceria

Anak mereka

nyawa banyak yang telah tiada

ditembak dibom dihempap runtuhan segala

darah dan luka seluruh anggota

malang sungguh nasib mereka

Angkara manusia durjana

dan dunia keliling masih alpa

saudara sebangsa beraninya tiada

melawan syaitan yang bertopeng manusia

Photo by Scott Umstattd on Unsplash

Anak mereka

perlu dipulih perlu dibantu

trauma mereka perlu diambil tahu

semoga kehidupan boleh dipacu

tanpa bom kereta kebal jua peluru

bangkitlah seluruh dunia!

anak kita baik-baik sahaja

namun anak mereka dalam sengsara

jangan biarkan mereka terus merana

kerana kita boleh bangkit bersama

katakan kepada dunia!

hentikan kebinatangan tanpa rasa!

oleh kuasa jahat kuasa hina

hapuskan kejahatan!

hapuskan peperangan!

itu tanggungjawab kita bersama

Photo by Shane Rounce on Unsplash

Hasil karya

Faridah Idris

January 2009.

--

--

Faridah Idris
Anecdotes of Academia

A medical lecturer at Universiti Putra Malaysia (UPM). A mother, a knowledge seeker, a reader, maybe an author too.