Pengaruh Primacy Effect dalam Akademia

Puteri Fadzline Muhamad Tamyez
Anecdotes of Academia
2 min readAug 17, 2019

Bagaimanakah anda menanda kertas jawapan peperiksaan?

Terdapat pelbagai cara bagi pensyarah menanda dan memberi markah untuk kertas peperiksaan. Namun demikian, pemarkahan untuk kertas peperiksaan seharusnya diberikan mengikut soalan secara berkelompok, dan bukan berdasarkan giliran pelajar pertama, kedua, dan seterusnya.

Mengapa sedemikian?

Ini adalah kerana fenomena primacy effect akan berlaku, di mana apabila kertas jawapan pelajar pertama tidak memberi jawapan yang tepat atau menyedari terdapat banyak kesalahan daripada pelajar tersebut, akan seterusnya mempengaruhi corak pemarkahan kita untuk kertas jawapan yang seterusnya.

Fenomena ini juga berlaku semasa kita membuat penilaian dalam pembentangan pelajar. Sebilangan daripada kita memberi pemarkahan setelah beberapa hari selesainya pembentangan pelajar-pelajar itu.

Pada ketika itu, kita akan mula berasa berbelah-bahagi untuk memberi pemarkahan yang tepat dan bersesuaian dengan prestasi pelajar tersebut. Maka, adalah lebih baik sekiranya kita mencatatkan markah pelajar setiap 5 minit sekali semasa berlangsungnya pembentangan tersebut, sekaligus mengira purata keseluruhan sebaik sahaja selesai. Tindakan ini akan mengelakkan kita daripada teragak-agak untuk memberi markah dan akan memastikan intipati pembentangan pelajar di ambil kira.

Begitu juga dalam situasi pengambilan staf akademik baharu, dimana primacy effect akan mempengaruhi keputusan pengurusan tertinggi untuk melantik staf baharu berdasarkan tanggapan pertama.

Walhal setelah beberapa bulan, sesalan mula terbit di hati pihak pengurusan tertinggi apabila staf tersebut tidak menunjukkan prestasi seperti yang dijangkakan. Maka, cara yang paling ideal adalah dengan mengubah aturan calon dengan memastikan setiap calon menjawab soalan yang sama, seorang demi seorang.

Bagaimana pula dalam situasi mesyuarat akademik ? Fenomena ini tidak terlepas dalam memberi impak kepada penilaian kita. Dalam kita membuat sesuatu keputusan sebagai solusi kepada sesuatu isu akademik, pandangan pertama yang disuarakan seseorang rakan sekerja akan mempengaruhi penilaian kita secara keseluruhan.

Walaubagaimanapun, fenomena primacy effect ini dapat dipatahkan sekiranya kita menyuarakan pandangan kita dengan pantas tanpa sebarang perasaan berbelah-bahagi. Ini memberi kebarangkalian yang lebih tinggi untuk rakan sekerja lebih memihak kepada pendapat kita. Selain itu, jika kita mempengerusikan atau mengendalikan satu mesyuarat, ada baiknya kita bertanya pendapat mereka seorang demi seorang agar tiada sesiapa yang akan diketepikan.

Secara konklusinya, elakkan pemikiran kita terpedaya dengan tanggapan awal atau primacy effect ini agar urusan seharian kita dalam akademia menjadi lebih mudah dan lancar.

--

--

Puteri Fadzline Muhamad Tamyez
Anecdotes of Academia

Trying to make the best of this short trip before the final destination