Surat Kepada Langit

monolog seorang hamba

Faridah Idris
Anecdotes of Academia
4 min readJul 13, 2019

--

Kepada langit,

Seringkali aku terlupa bahawa adanya engkau di atasku. Seringkali juga aku terlupa untuk mendongak dan menyapa engkau yang tetap setia meneduhi bumi yang semakin panas.

Engkau kelihatan tinggi! Sangat tinggi. Tiada sedikitpun cela pada kejadianmu. Tetap berada di atas kepalaku tanpa gagal walau sesaat.

Wafa, anak perempuanku yang sangat celoteh pernah bertanya, ‘Umi, tingginya langit. Di manakah tiangnya umi?”

Pasti engkau mahu tahu bagaimana aku menjawabnya , bukan?
Sejujurnya, selepas sahaja Wafa menuturkan soalan, aku terkedu. Tiada bicara. Aku terus memandang ke arahmu.

Indah.

Sempurna.

Setia.

Itulah sifatmu.

Aku masih gagal memberi jawapan paling baik untuk Wafa sehingga kini.

Wahai langit yang tiada bertepi,

Photo by John Fowler on Unsplash

Kadang kala warnamu garang dengan awan kelabu, juga dengan petir dan guruh bertalu, datangnya memberi khabar ketakutan dan juga harapan. Akan adanya hujan yang mendatang. Membanjiri tebing sungai yang tinggi atau menyirami bumi yang sudah lama gersang.

Photo by Kumiko SHIMIZU on Unsplash

Namun, teduhan birumu memberi seribu ketenangan kepada hati yang selalu celaru.

Apabila diri ini seperti telah ditolak sehingga ke tepi jurang, tiada lagi jalan keluar. Selangkah ke belakang membawa binasa, selangkah ke hadapan juga celaka.

Tiba-tiba aku merasai kehadiranmu. Aku mendongak menghadapmu. Saat menatapmu, aku dapat rasakan kasih-sayang, cinta dan kesetiaan. Tompokan awan yang setia menemanimu seolah-olah cuba memberitahu sesuatu.

Keindahan warna dan dimensi abstrak yang engkau paparkan terus menusuk ke jiwa Segala kebekuan di hati mencair dan menyejukkan benakku, umpama salju dingin di pergunungan Swiss.

Bagaimanakah aku boleh terlupa?

Bagaimanakah aku boleh terleka?

Bukan engkau yang menjauhkan diri, juga bukan engkau yang sering alpa. Engkau tetap ada di sana. Cuma, aku yang disibukkan mengejar dunia lantas terlupa memandang ke arahmu.

Alangkah ruginya manusia yang selalu alpa untuk menatap dan menghargaimu. Kerana padamu ada sumber ketenangan. Padamu juga ada sumber pengajaran.

Photo by Greg Rakozy on Unsplash

Wahai langit yang penuh misteri,

Wafa bertanya lagi, “ Apakah yang berkelip-kelip di atas sana umi?’

Sekali lagi aku dikejutkan dengan pertanyaan yang umpama satu tamparan buatku. Di waktu malam yang sering dilimpahi cahaya neon dan kalimantang, kerlipan bintang yang menghiasimu seperti tidak kelihatan.. Manusia sudah lupa mahu meneliti ribuan bintang yang Tuhan jadikan sebagai hiasan dan penunjuk jalan.

Sedangkan padamu tersembunyi seribu rahsia untuk diteliti dan difahami.

Kegelapanmu memberi seribu nikmat kepada yang mengerti. Kegelapanmu memberi ruang rehat kepada jiwa-jiwa yang kepenatan. Kegelapanmu jualah memberi nafas baru kepada pemburu cinta Tuhan di sepertiga malam.

Wahai langit yang penuh warna,

Izinkan aku menyampaikan pesanan rakanku. Tika ingin benar berbicara mengenai perasaanmu.

Soalnya, “ Bagaimanakah rasanya menjadi makhluk sang pencipta yang indah tetapi tidak tercapai oleh minda?

Apakah rasanya mempunyai lapisan yang menjadi tanda kekuasaan Tuhan seluruh alam?

Apakah rasanya apabila awan memuntahkan titisan hujan ke bumi dan apakah rasanya apabila matahari berpaling meninggalkamu dengan kegelapan?”

Tika berkata lagi,

”Ajarkan aku tentang cinta. Ajarkan aku tentang ketenangan pada warna dan strukturmu. Ajarkan aku tentang keseimbangan dan keadilan pada susuk tegakmu. Ajarkan aku tentang ketundukan kepada Yang Maha Esa.”

Beruntungnya dirimu kerana dipilih Yang Maha Kuasa menjadi saksi kepada segalanya yang bertebaran di muka bumi. Beruntungnya dirimu kerana sentiasa tunduk pada peraturan tanpa keluh kesah yang menyesakkan dan beruntungnya dirimu kerana disulami zikir bintang, bulan dan segala yang berada di atas sana.

Wahai langit yang setia,

Pasti engkau berasa hairan dengan sifat manusia yang sering membentak rasa.

Ketika terik matahari memancar terus darimu, rungutan kami seiring dengan tangan yang mengesat peluh di dahi. Ketika awanmu seolah-olah bocor menurukan hujan tanpa henti, mulut kami juga riuh berkata-kata sambil mencari teduhan.

Segalanya tidak kena buat manusia yang serba tidak mengerti. Engkaulah penyelemat manusia daripada keterikan matahari dan bintang di galaksi jauh. Engkau jugalah yang memberi sumber air untuk kelangsungan manusia dan segala yang bernyawa di bumi.

Hanya sebahagian sahaja yang bersyukur dengan keberadaanmu.

Wahai langit ciptaan istimewa,

Maafkan aku atas segala kelalaian melupakan keindahan dirimu. Maafkan aku atas segala kealpaan untuk bersyukur dengan kehadiranmu.

Janjiku, warnamu akan terus menjadi penenang setia di kala hati gundah gulana. Kebiruanmu akan menjadi sumber inspirasi di kala minda kosong minta diisi. Kehadiranmu akan menggerakkan bibirku menyulam zikir kepada Pencipta.

Sesungguhnya engkau satu peringatan buat manusia.

Sesungguhnya engkau simbol keseimbangan dan keadilan.

Sesungguhnya engkau sumber inspirasi penyair dan pencinta seni.

Sesungguhnya engkau satu ciptaan terhebat.

Sehebatnya ciptaan dirimu, pasti maha hebat lagi Pencipta dirimu!

Maha benarlah kata-kata Pencipta,

“Dan langit dijadikannya tinggi, serta ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan”

(Ar-Rahman : 7–8)

Aku mohon berhenti bicara di sini. Aku pasti akan bicara lagi.

Yang Benar,

Aku yang sentiasa dipayungimu,

Hasil karya

Faridah Idris

myzulfa@gmail.com

Nota :

1. Saranan kepada pembaca.

Di celah-celah kesibukan dengan urusan yang tidak berhenti, curilah sedikit masa untuk memandang ke langit. Nikmatilah keindahan dan ketenangan yang ditawarkan oleh langit dengan pelbagai warna dan dimensi. Ambillah masa untuk berfikir dan merefleksi diri. Pasti akan bertemu dengan jawapan yang dicari.

2. Kredit kepada sahabat-sahabat Arafah Sisters yang memberi idea dan inspirasi kepada penulisan ini terutama kepada sang pencinta awan, Kritika Azlan. Kehadiran kalian memberi seribu erti kepada kehidupanku

--

--

Faridah Idris
Anecdotes of Academia

A medical lecturer at Universiti Putra Malaysia (UPM). A mother, a knowledge seeker, a reader, maybe an author too.