Bab 1: Kenapa Trademark?

Trademark adalah berasal dari gabungan “trade” dan “mark”, maknanya tanda niaga.
Pembeli yang berpuas hati dengan kualiti sesuatu barangan, mereka mahu membeli kali kedua barangan yang berkuali sama macam sebelum ini.
Trademark adalah tanda untuk memudahkan pembeli kenal siapa pembuat barangan itu.
Sebagai contoh, anda seorang pembuat periuk tanah liat. Setelah dua puluh tahun berkecimpung, anda menjadi pakar dalam pembuatan periuk tanah liat.
Anda tahu suhu optimum, tanah apa paling sesuai, berapa lama proses pengeringan dan sebagainya untuk hasilkan kualiti terbaik.
Orang ramai tahu periuk anda sungguh berkualiti, walaupun anda letak harga yang mahal berbanding pesaing, pembeli masih sanggup beli.
Bagaimana pembeli pastikan produk itu buatan anda, bukan buatan orang lain?
Biasanya, industri kecil di kampung, pembeli kenal secara peribadi pembuatnya. Tapi jika produk itu dipasarkan secara meluas seluruh negara bagaimana pula?
Maka perlulah ada satu tanda pada produk itu supaya orang mudah kenal siapa pembuatnya.
Pada peringkat awal, selalunya pembuat akan menulis nama mereka. Ada juag yang meletakkan lambang atau logo kerana ia tidak memakan ruang dan lebih mudah dicam.
Andai kata anda memilih lambang “mata” sebagai tanda periuk tanah liat anda, ia akan lebih mudah dikenal pasti. Dalam kepala pembeli, periuk tanah Cap Mata, ia berkualiti.
Pesaing
Perkara ini akan membuka mata pesaing. Mereka juga boleh letak harga yang mahal sekiranya produk mereka bercap mata.
Masyarakat yang percaya cap mata adalah yang paling berkualiti, tapi di pasaran, yang berkualiti rendah pun ada yang cap mata juga. Pelanggan tak tahu yang mana satu nak pilih.
Adalah yang meletakkan harga yang mahal tapi kualitinya rendah. Ini akan menjatuhkan reputasi cap mata. Orang ramai tidak mahu tertipu lagi dengan membeli barangan mahal tapi tidak berkualiti. Mereka tidak tahu yang mana satu yang original, mana satu yang bukan.
Ini mungkin boleh menyebabkan perniagaan anda gulung tikar. Anda bertungkus lumus membina kepercayaan kepada cap mata, akhirnya musnah begitu saja.
Anda mula terfikir untuk menggunakan lambang lain. Ia membawa imej baru, lebih mudah orang kenal. Tapi untuk semua orang tahu yang lamabang baru itu anda punya, bukanlah murah. Tambahan pula apa jaminan yang lambang baru itu tidak ditiru pesaing juga?
Melindungi pelaburan
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, memperkenalkan sesuatu jenama bukannya mudah dan murah.
Di zaman media sosial ini, ada yang berbelanja ribuan ringgit setiap hari untuk iklan di FB dan Google Ad. Itu belum lagi masuk iklan di TV, radio, podcast dan papan iklan.
Beranikah anda berbelanja besar atas sesuatu yang belum sah anda punya? Cuba bayangkan, ratusan ribu sudah dihabiskan, tiba-tiba dapat surat peguam kata trademark itu orang lain punya, anda pula kena hentikan guna nama itu dan bayar denda kepada yang empunya trademark.
Internet
Enjin carian seperti Google atau media social seperti Facebook lebih mudah capai nama yang unik, berbanding dengan nama kita. Nama Faizal Ismail contohnya, berapa ribu oarng namanya seperti itu? Tapi kalau Teraju IP, enjin carian lebih mudah kenal.
Orang juga lebih mudah nak cari yang mana satu.
Pelanggan rasa lebih yakin dan selamat
Jika deretan sos cili di kedai runcit, adakah anda sanggup beli yang tiada jenama? Jika berlaku keracunan anda nak dakwa siapa? Bila ada trademark, pelanggan akan lebih mudah untuk membeli kerana mereka rasa selamat. Ada orang yang boleh dipertanggungjawabkan jika ada sesuatu berlaku.
Pengeluar juga akan pastikan barangan mereka berkualiti, demi menjaga nama baik jenama barangan mereka.
Ianya murah untuk didapatkan
Jika nak dibandingkan dengan nilai, proses untuk dapatkan trademark ini sangat murah. Sepuluh tahun sekali baru perlu diperbaharui, itu pun kos tak sampai RM600 untuk sepuluh tahun!
Hukum Alam
Kebun yang sayurnya segar bugar, pasti akan dimakan babi hutan. Tugas tuan kebun lah untuk memagarinya. Jangan jadi naif. babi hutan memang akan makan sayur yang tak dipagar!
Keluarkan belanja sedikit, demi pelaburan titik peluh kita selama ini.
Tidak semua perniagaan perlu daftar trademark
Sepertimana semua maklum, daftar trademark tidak wajib. Ia bukan lesen perniagaan. Tambahan lagi, jika produk atau servis yang anda tawarkan tiada apa-apa yang istimewa, maka daftar trademark tidak perlu.
Contohnya anda nak tukar tayar kereta, kedai mana yang anda nak pergi? Pada saya, tak ada masalah. Kedai mana pun tak apa. Sebab semua kedai kualiti servisnya sama. Kecualilah ada kedai yang bagi servis terbaik, cuci kereta percuma, lapik kusyen dulu sebelum masuk, maka jika ada kualiti sebegitu barulah trademark itu penting. Jika tidak, tak perlu.
Mengapa harus keluar belanja untuk pagar kebun yang hanya ada lalang? Lembu pun tak mahu makan.
Faizal Ismail ialah seorang patent agent berdaftar di MyIPO, beliau mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang harta intelek di Malaysia. Pernah bertugas sebagai Patent Examiner selama 13 tahun di MyIPO. Boleh hubungi beliau di 012–3252420
