5 Ciri-ciri Pemimpin yang Efektif

PEMIMPIN GSL
Global School Leaders Malaysia
3 min readMar 5, 2019

Pemimpin sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan sesebuah organisasi itu berfungsi dengan baik. Dalam nukilan saya yang terdahulu banyak yang saya perkatakan tentang pentingnya seorang pemimpin yang efektif dalam memangkin kemenjadian murid yang berkesan. Sekolah yang hebat dipimpin oleh pemimpin yang hebat. Dalam tugasan harian saya sebagai pembimbing SLT melalui program Global School Leaders Malaysia, banyak yang dapat saya perhatikan tentang ciri-ciri pemimpin sekolah yang efektif. Berikut adalah 5 ciri-ciri asas yang dapat saya rumuskan beserta beberapa contoh:

Membuat keputusan berdasarkan data

Pemimpin yang efektif menggunakan data dengan sebaik mungkin dalam membuat keputusan. Sebarang program yang hendak dijalankan di sekolah adalah berdasarkan keperluan semasa di mana data yang relevan dianalisis dan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan keputusan yang diambil adalah bernas dan bukan hanya setakat melepaskan batuk di tangga. Sebagai contoh, Pn. Teo, mantan Pengetua di SMK La Salle PJ menggunakan data yang diperoleh melalui Classroom Walkthrough yang beliau lakukan untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan guru khususnya di dalam PdPc. Dapatan daripada analisis tersebut kemudian di bentangkan di dalam mesyuarat guru bagi membincangkan langkah-langkah terbaik untuk diambil bagi memastikan sebarang keperluan guru dapat dipenuhi.

Meletakkan pelajar sebagai fokus utama

Di SK Kg. Idaman (Klang), Guru Besar, Cikgu Hamidi menekankan tentang pentingnya keperluan setiap pelajar itu dipenuhi melangkaui aspek akademik, di mana fokus utama guru dan pentadbir sekolah adalah untuk memastikan setiap pelajar — terutama pelajar yang lemah dapat meningkatkan kemahiran mereka melalui bimbingan yang berterusan. Pencapaian akademik yang gah bukanlah menjadi fokus utama di SK Kg. Idaman, tetapi peningkatan pencapaian murid berbanding keputusan terdahulu mereka merupakan indikator penting bagi memastikan peranan sesebuah institusi pendidikan itu berjaya.

Berkomunikasi secara baik dan berkesan

Pemimpin yang efektif mempunyai kemahiran berkomunikasi secara berkesan, di mana beliau mampu mempengaruhi individu lain agar dapat bekerjasama dengan pemimpin bagi mencapai matlamat yang diinginkan. Oleh yang demikian, proses komunikasi yang berkesan oleh seorang pemimpin dapat menjadi titik tolak kepada usaha penyatupaduan dan proses pencapaian matlamat serta visi sekolah. Tambahan itu, komunikasi yang baik seorang pemimpin dapat memberikan motivasi kepada orang bawahan dan sekaligus dapat mempengaruhi mereka untuk menjalankan tugas yang baik dan secara sukarela.

Mempunyai visi serta meletakkan jangkaan tinggi terhadap setiap warga sekolah

Pemimpin sekolah mestilah tahu tentang hala tuju mereka iaitu di mana mereka berada, ke mana mereka hendak pergi, dan bagaimana untuk sampai ke sana. Komunikasi yang berterusan tentang visi dan misi sekolah sentiasa disampaikan kepada setiap lapisan individu, baik guru, staf, mahupun pelajar. Melalui kaedah ini, pemimpin dapat meletakkan jangkaan tinggi terhadap peranan setiap individu. Setiap warga sekolah mempunyai akauntabiliti bagi menjalankan tugas masing-masing sebaik mungkin tanpa pengawasan berterusan daripada pihak atas.

Peka terhadap kehendak pelajar, guru serta warga sekolah

Salah satu elemen jelas yang dapat saya perhatikan ialah seorang pemimpin yang hebat sentiasa bergerak secara proaktif dengan memastikan iklim sekolah sentiasa terjaga, kebajikan guru terpelihara, keperluan pelajar dipenuhi dengan meletakkan pembelajaran dan pengajaran yang cemerlang sebagai tonggak utama dalam mengukur kejayaan sesebuah sekolah. Selain itu, pemimpin sekolah yang efektif perlulah sentiasa bersikap bersiap siaga dalam memastikan sebarang keperluan guru, terutama dari aspek peningkatan PdPc yang berkesan dipenuhi dengan menyediakan latihan pembangungan profesional yang relevan.

Kesimpulan

Pengetua dan Guru besar sebagai pemimpin sekolah memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan keberkesanan sekolah. Pemimpin sekolah yang berkesan memastikan mereka membuat keputusan yang tepat berdasarkan data yang relevan, meletakkan keperluan pelajar dan guru sebagai salah satu aspek utama dalam memimpin insan, serta memastikan jangkaan yang tinggi diletakkan sebagai aras pengukur kejayaan setiap individu di sekolah melalui medium komunikasi yang berkesan. Di GSL Malaysia, kami sentiasa percaya bahawa ‘Excellent Schools Begin with Excellent Leaders’.

--

--