Kepimpinan Efektif di Peringkat Sekolah, Pemangkin Kemenjadian Murid

Ainu Shazwani
Global School Leaders Malaysia
2 min readOct 5, 2018

Kebanyakan isu dalam sistem pendidikan di Malaysia menyentuh tentang pencapaian murid atau prestasi dan kompetensi guru-guru di sekolah. Acap kali kita terlupa tentang individu yang memainkan peranan paling penting dalam sesebuah sekolah, iaitu pemimpin sekolah itu sendiri.

Sebelum menyertai GSL Malaysia (GSLM), tidak terlintas di fikiran saya bahawa individu-individu yang saya selalu lihat tatkala perhimpunan pagi berlangsung di sekolah — guru besar, pengetua, dan penolong-penolong kanan; mereka merupakan tunjang dan tulang belakang utama dalam mengendalikan sebuah sekolah yang efektif. Kehadiran mereka sering kali dilihat sebagai seorang ‘penguatkuasa’ dan bukanlah sebagai seorang pemimpin. Namun, tanggapan itu kini terbukti tidak benar selepas menyedari betapa pentingnya impak yang diberikan oleh individu-individu ini dalam merialisasikan sistem pendidikan yang mapan di negara kita.

Dalam sebuah ulasan kajian bertajuk “How Leadership Affects Students’ Learning” yang diterbitkan oleh The Wallace Foundation, pemimpin yang efektif memberi impak sebanyak 25% terhadap kemenjadian murid. Dalam pemerhatian saya sepanjang bertugas sebagai pembimbing pemimpin sekolah dalam GSLM, guru besar/pengetua sekolah yang efektif mempunyai mindset dan pemikiran yang sangat berbeza berbanding rakan-rakan mereka yang lain. Golongan ini sentiasa berfikiran jauh dan sentiasa meletakkan pelajar sebagai fokus utama dalam setiap perancangan mereka tanpa melupakan pentingnya kerjasama pelbagai pihak dalam merealisasikan sesebuah visi dan misi sekolah. Saya juga tertarik dengan idea jika sekolah-sekolah di negara kita ini dikendalikan dalam corak kepimpinan badan korporat di mana pelajar dilihat secara langsung sebagai ‘pelanggan’, manakala pentadbiran sekolah mempunyai kuasa autonomi untuk mengendalikan organisasi mereka berdasarkan model pengurusan yang terbaik. Ini dapat meningkatkan kredibiliti pemimpin dan secara tidak langsung setiap individu dalam organisasi tersebut diberi tanggungjawab dan kepercayaan yang menyeluruh untuk memastikan setiap pelajar di sekolah mempunyai peluang yang sama rata untuk mencapai kejayaan.

Dalam era globalisasi yang makin mencabar pada masa kini, peranan pendidikan dalam melahirkan pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan mempunyai kemahiran untuk bersaing dengan keupayaan teknologi pada masa hadapan tidak dapat disangkal lagi. Dijangkakan pada tahun 2030, separuh daripada pekerjaan yang wujud pada masa kini akan digantikan sepenuhnya dengan mesin bagi menggantikan keupayaan tenaga manusia. Oleh itu, peranan sistem pendidikan untuk mewujudkan generasi peneraju perubahan pada masa akan datang dilihat sebagai satu titik penting. Di peringkat sekolah, peranan pemimpin dilihat sebagai pemacu transformasi ke arah memimpin dan mengurus tadbir sekolah dengan berkesan bukanlah sesuatu yang asing. Malahan, keperluan tersebut dilihat semakin jelas dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar. Jika pemimpin sekolah tidak dapat diberi sepenuh kepercayaan dan keyakinan dari semua pihak, mana mungkin kemenjadian murid itu dapat dibentuk dengan sempurna?

--

--

Ainu Shazwani
Global School Leaders Malaysia

She loves the sea, the sharp salty smell of the air and the vastness of the horizons bounded by the vault azure sky above. It made her feel free.