salon.com

Agenda Kristianisasi: Realiti, Punca & Solusi

Muhammad Fuad Jaafar
Islamic Perspective
5 min readMar 15, 2013

--

Memikirkan keadaan umat ketika ini, aku merasa pelik dengan kerenah sesetengah kita. Dalam pada kita berniat baik ingin memikirkan tentang agama, kita mengkhianati prinsip asas agama ini. Dalam pada kita ingin melihat Islam gemilang di muka bumi, tanpa kita sedari kitalah juga yang menjauhkan umat dari sinar cahaya itu. Dalam pada kita ingin memberikan kesedaran agama kepada masyarakat, kita mengaburkan pemikiran masyarakat dengan nilai yang senget, yang menggambarkan Islam ini sebuah agama sempit.

Situasi ini berlaku ketika kita ingin menangani masalah aqidah umat Islam yang lebih suka disinonimkan sesetengah kita dengan Agenda Kristianisasi’. Tanpa kita melihat punca sebenar, suara & tindakan melulu kita diarahkan kepada Kristian & Barat atas kelemahan aqidah umat Islam. Budaya senget ini telah saya cuba kongsikan di sini.

Amat besar impaknya bila kita cuba sinonimkan kelemahan aqidah umat Islam dengan ‘Agenda Kristianisasi’. Sedar atau tidak, ia memberi gambaran bahawa:

  1. Agenda Kristianisasi merupakan punca utama kepada kelemahan aqidah kita.
  2. Agama yang mulia ini sudah tidak punya hujah untuk melawan dakyah kristianisasi.
  3. Islam tidak punya kekuatan dalaman yang jitu sehingga aqidah penganutnya amat mudah untuk ditembusi

Dalam diam, persepsi-persepsi ini memberi kesan negatif kepada imej ISLAM itu sendiri. Fitnah terhadap agama makin berleluasa dengan persepsi senget & sempit ini.

Sedangkan realitinya:

  1. Umat Islam ini sangat lemah pegangan aqidahnya & jauh sungguh dari beramal dengan nilai Islam.Sekaligus menjauhkan masyarakat umum dari kebenaran & keindahan Islam yang sebenar.
  2. Organisasi agama yang tidak menitikberatkan kebajikan masyarakat Islam sehingga memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan lain menyalurkan bantuan & dalam masa sama menyampaikan ideologi mereka.
  3. Usaha dakwah Muslim itu sangat sedikit & sangat sepi dibandingkan dengan dakyah Kristianisasi dsb.

Cukup²lah kita menyalahkan kristianisasi atas kelemahan aqidah umat ini. Cukup²lah kita menjadikan mereka pseudo-factor kepada kelemahan diri kita. Cukup²lah kita mengkambinghitamkan Barat & Kristian atas kelemahan jatidiri, ilmu, identiti & diri Muslim itu sendiri.

Aku tidak dapat membayangkan dimana kebaikannya menuduh pihak lain atas kelemahan diri kita sendiri. Sungguh! aku gagal memahami adakah kita inginkan solusi atau sekadar melalak & menempelak puak lain atas kegagalan diri kita? Atau sekadar ingin memuaskan ego diri ini dengan menyalahkan pihak lain? Atau sekadar ingin mencari relative solution tanpa ingin mencari solusi sebenar kepada kebejatan akidah umat Islam diwaktu ini?

Sampai bila agaknya umat ini akan dilalaikan & ditakutkan dengan agenda Kristianisasi yang tidak membawa apa-apa pengaruh & kesan ke atas diri kita ?!

Solusi & Prioriti

Kalau kita katakan solusi kepada isu aqidah ini ialah dengan menentang & menempelak Kristian & agendanya. Maka sampai bila-bila kita tidak akan dapat menangani isu ini. Sudah lupakah kita kepada firman-Nya:

“Dan orang-orang Yahudi & Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka”

Firman Allah ini mengingatkan kita supaya berwaspada dengan gerak-geri mereka. Tetapi dari sudut berbeza, Allah juga ingin khabarkan bahawa usaha missionary & dakyah mereka akan terus kekal selagimana ada antara kita yang tidak mengikut telunjuk agama mereka. Usaha missionary ini tidak akan mati, ia bermula sejak zaman Nabi dahulu lagi. Tapi apakah tidak ada jalan penyelesaian yang boleh kita ambil atas kedegilan Kristian & Yahudi ini? Solusi kepada usaha missionary ini dinukilkan Yang Maha Esa di dalam ayat yang seterusnya:

“Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).’ Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung & penolong dari Allah”

Islam telah menetapkan satu indirect approach kepada masalah ini. Nampak tak di dalam pesanan-Nya kekuatan kita dimana? Kekuatan kita untuk mendepani mereka ialah dengan ilmu & kebenaran. Perlindungan Allah itu datang setelah kita mendepani mereka dengan ilmu yang diterapkan kukuh di dalam diri kita, bukan dengan autoriti atau tentangan melulu.Dan perlindungan & pertolongan Allah itu bukan bagi mereka yang gagal memahami kebenaran (ilmu) agama ini.

Allah mengingatkan kita supaya mengambil solusi & pendekatan yang lebih mendasar; iaitu dengan menguatkan diri dengan ilmu & kebenaran. Apabila diri utuh dengan ilmu & kebenaran, tidak akan ada kebatilan & agenda jahat manusia yang dapat menembusi benteng pertahanan terkuat ini:

“Dan katakanlah: ‘Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap’. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.”

Di zaman Rasulullah..

Pada satu ketika di zaman Nabi ﷺ,telah datang sebuah delegasi Kristian Najran membuat lawatan ke Madinah. Mereka melawat Masjid Nabawi & ketika itu telah masuk waktu ibadat agama Kristian & Rasulullah membenarkan mereka beribadat di Masjid Nabawi.

Setelah selesai, Rasulullah berdebat dengan mereka dalam keadaan harmoni, mempersoalkan keyakinan Trinity mereka & memperkenalkan konsep Tuhan yang Satu yang dibawa Islam. Rasulullah berhujah berlandaskan ilmu dan jauh dari sebarang buruk sangka. Kemudian, delegasi Najran pulang semula ke negara mereka sekalipun tidak menerima dakwah yang disampaikan Baginda.

Selepas beberapa bulan, dikhabarkan sebahagian ahli delegasi tersebut memeluk Islam setelah melihat sifat toleransi, akhlak, hikmah & hujah ilmu yang disampaikan Baginda.

Lihat sahajalah bagaimana Rasulullah berdepan dengan mereka. Hujah ilmu sentiasa didahulukan daripada mana-mana kaedah lain. Lihat sahajalah betapa berhikmahnya Rasulullah menyampaikan mesej agama ini dan asas kepada segala-galanya: ILMU.

Dalam kita mendepani dakyah Kristianisasi, ilmu itu menjadi tunggak utama kepada kekuatan aqidah Muslim.Dengan ilmu, Muslim akan bertindak dengan penuh hikmah, dan dengan hikmah bukan sahaja ia membawa kebaikan kepada diri, malah ia mampu menunjukkan nilai Islam yang sebenar kepada masyarakat umum, seperti yang ditunjukkan Baginda.

Prinsip dalam menghadapi setiap masalah yang melanda

Dan juga aku terfikir, kalau mudah sangat Melayu Muslim terpikat dengan dakyah kristian, ia bukan menunjukkan betapa KUAT nya mereka, tetapi membuktikan betapa LEMAH nya kita. Atas sifat manusia, yang susah untuk mengiktiraf kelemahan, maka disalahkan puak lain untuk menutup kekhilafan diri.

Ketika mana tentera Islam mengalami kekalahan di medan Uhud, ada diantara mereka gagal melihat kelemahan diri sendiri & berkata “Dari mana datangnya kekalahan ini? Sedangkan kami sebelum ini berjaya mengalahkan mereka di dalam perang Badar dahulu!” Disebabkan kejayaan & kaburnya mata atas kemenangan Islam di dalam perang yang sebelumnya, mereka gagal melihat punca kekalahan dari dalam diri, lalu Allah menjawab:

“Itu dari kesalahan DIRIMU sendiri”

Setiap punca masalah bermula dari dalam diri. Setiap kelemahan umat ini bermula dari kesilapan yang pernah kita lakukan sebelum ini.Umat ini akan menjadi umat yang statik & pasif sekiranya kita gagal memahami punca sebenar kepada masalah yang dihadapi, iaitu DIRI KITA.

Allah juga berfirman:

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).”

Sesuatu masalah tidak pernah berpunca dari anasir luar. Anasir luar hanya berupaya menguasai kita setelah kita gagal membina kekuatan dari dalam diri. Umat ini sekiranya benar & jujur ingin membaiki diri & kelemahan, maka mulakanlah langkah mencari penyelesaian dari dalam dengan menganalisa setiap kesilapan yang pernah kita lakukan. Dan dari situ, akan bermulalah sebuah perubahan yang hakiki, sebuah perubahan yang akan membawa umat ini mendekati manhaj yang dituntut Baginda. Sebuah perubahan yang akan membawa kepada kegemilangan agama yang mulia ini.

Berfikirlah sejenak untuk memahami kata-kata penuh hikmah ini:

“It is wonderful how much time good people spend fighting the devil. If they would only expend the same amount of energy loving their fellow men, the devil would die in his own tracks of ennui.”

--

--