Back To School : Aku, pelajar Jordan, kagum…

adminPRISMUK
Platform Siswa Islam Malaysia UK
4 min readSep 18, 2017

Pertama kali dapat berada di pentas forum. Pertama kali ini jugalah digandingkan dengan panelis-panelis yang hebat dari negara-negara terkemuka.

Saudari Fatin, Medicine di Ireland.

Saudari Syasya, Medicine di India.

Saudari Atikah, Accounting and Finance di United Kingdom.

Saudara Asyraf, Chemical Engineering di United Kingdom.

Saudara Fadhil, Syariah Islamiyah di Mesir.

Fadhli, Bahasa Arab di Jordan.

Saudara Hazimin, Bahasa Mandarin di China.

Saudara Megat, Mechanical Engineering di Korea Selatan.

Mendengar nama-nama negara mereka sahaja pun sudah cukup untuk membuatkan saya merasa gerun dan kagum dengan keperibadian mereka. Saya berkongsi rasa kekerdilan dengan saudara Fadhil apabila dia mengatakan bahawa mereka-mereka ini golongan yang hebat-hebat semuanya, belajar pula bidang-bidang professional. Dalam hati, ya, saya mengiyakan pernyataannya. Pastinya kami terasa kerdil untuk digandingkan dengan figura-figura sehebat mereka. Walaupun berbeza bidang pengajian dan tempat permusafiran, tetapi ia tidak menghalang kami untuk berkongsi satu pentas yang sama, mencurahkan ilmu dan pengalaman kepada mereka yang belum sampai kepadanya.

Back To School, photo by Aliyya

Back to School, sebuah program motivasi pelajar yang diuruskan oleh Platform Siswa Islam Malaysia (PRISM) United Kingdom. Perkara yang paling mengagumkan sepanjang program ini bukanlah betapa gahnya institusi pengajian masing-masing, bukan juga angka ribuan kilometer jauhnya tempat belajar, tetapi yang mengagumkan adalah bagaimana hebatnya pengorbanan mereka untuk program ini, serta hala tuju PRISM sebagai sebuah platform mahasiswa Islam.

Kami menjadi saksi bagaimana seorang fasilitator yang berasal dari Sabah sanggup terbang Sabah-KLIA-Terengganu semata-mata untuk sebuah program 3 hari dua malam. Selepas program tamat, sekali lagi dia menaiki penerbangan dari Terengganu ke KLIA, kemudian dari KLIA ke Sabah kembali. Penerbangan one-way KLIA-Terengganu sahaja sudah mencecah 100 ringgit, inikan pula return ticket Sabah-KLIA-Terengganu. Pastinya mencecah seribu atau hampir seribu ringgit duit peribadi yang dihabiskan untuk kos perjalanan sahaja.

Seorang fasilitator dari Kuala Lumpur pula sanggup menempuh perjalanan KL-Terengganu dengan menaiki superbike. Minggu pertama, dia bertolak dari Kuala Lumpur ke Terengganu, kemudian pulang kembali ke Kuala Lumpur 3 hari berikutnya. Hujung minggu seterusnya, dia menempuhi jalan KL-Terengganu sekali lagi untuk sesi kedua program, kemudian kembali ke Kuala Lumpur 3 hari berikutnya.

Penat? Semestinya.

Namun, kepenatan itu tidak pernah dijadikan alasan. Sepanjang program, dia bertugas sebagai unit multimedia pula, mengedit dan mengkonstruk video program.

Masa?

Wang?

Tenaga?

Semua perkara ini tidak dihiraukan apabila tujuannya adalah untuk berbakti. Pengorbanan mereka ini tidak mungkin terbalas. Saya ingat lagi ayat yang disampaikan oleh seorang wakil PRISM,

“Kita kena ingat, fokus PRISM melalui program ini adalah tarbiyah, dakwah dan volunteering. Tengok balik objektif program.”

Nadanya serius sehinggakan sampai sekarang saya masih ingat ketiga-tiga perkara tersebut, bahkan terngiang-ngiang di telinga sendiri.

Apabila dicadangkan agar ditukarkan kuliah maghrib kepada latihan persembahan, saudari tersebut membalas,

“Kuliah maghrib digantikan dengan latihan persembahan? Adakah persembahan lebih penting daripada kuliah? Mana tarbiyah? Mana dakwah?” (Allahu)

Jujur saya katakan, perasaan kagum saya menjulang ke langit apabila mendengar ayat tersebut keluar daripada hati seorang pelajar perubatan di United Kingdom. Dia sangat memberikan tekanan terhadap tarbiyah dan dakwah, bahkan lebih cakna dan serius terhadapnya daripada saya sendiri yang belajar di bumi Syam. Melihat kualiti pelajar-pelajar United Kingdom, saya fikir tidak hairanlah kerajaan Malaysia mengiktiraf persatuan mereka sebagai persatuan pengurusan pelajar terbaik antara persatuan pelajar Malaysia seluruh dunia.

Saya juga tidak akan lupa bagaimana seorang saudari yang mengambil Medicine di India mengingatkan kami dengan nada ikhlas,

“Kita kena ingat kembali tujuan kita sertai program ini. Tajdid niat, jangan jadikan usaha kita ini sia-sia. Niat kerana Allah”.

Photo by nikko macaspac on Unsplash

Mendengar peringatan itu, sungguh, tersentak di situ juga.

Sepanjang program ini, sekiranya tidak diingatkan oleh saudari tersebut, nescaya kami tidak akan teringat pun untuk membetulkan niat. Apa tujuan kami sertai program ini in the first place pun barangkali kami tidak akan tahu. Semasa meeting online program pula, pasti akan ada 5 minit waktu tazkirah sebelum meeting bermula. Pasti akan ada ayat al-Quran yang dibacakan.

Belum cerita lagi gelagat seorang fasilitator yang mengambil Medicine di India tiba-tiba meminta agar dibuat usrah antara kami.

“Anta belajar Jordan kan, bolehlah kita buat usrah sekali, enta jadi naqib”, pelawanya.

“Ana belajar Bahasa Arab je kat sana”, saya balas.

“Takpe, tak semestinya kena belajar bidang tertentu, ilmu Allah ni kan luas”, jawabnya.

“Ha, kalau macam tu, entalah jadi naqib. Ilmu Allah ni kan luas”, saya membalasnya berseloroh, lalu kami pun gelak bersama.

Hebat, hebat. Itu sahaja yang boleh saya katakan. Mereka belajar dalam bidang profesional, tetapi mereka mempunyai hati dan rohani yang sentiasa memikirkan tentang tarbiyah. Banyak lagi kisah tarbiyah mereka, tetapi cukuplah di sini sahaja. Persahabatan yang terjalin, walaupun sekadar 3 hari, tetapi sungguh erat. Walaupun berpisah benua, tetapi ikatan tarbiyah yang terjalin tidak akan dilupakan.

10/10 would join again.

Moga program ini ada sahamnya di akhirat.

Penulis:

Muhammad Fadhli Firdaus bin Sulaiman

University Yarmouk

Bahasa Arab

Tahun 2

--

--