Back To School : Amanat Pengarah kepada Rakan PRISM

adminPRISMUK
Platform Siswa Islam Malaysia UK
2 min readSep 4, 2017

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Platform Siswa Islam Malaysia (PRISM) sentiasa menyediakan medium terbaik untuk Rakan PRISM menerokai ilmu dan pengalaman baru. Pelbagai ruang dan peluang disediakan secara professional sebagai medan untuk mengasah bakat dan potensi diri. Seiring dengan konsep PRISM yang berteraskan dakwah, tarbiah dan ‘volunteering’, setiap aktiviti dilakukan mengingatkan kita kepada Allah S.W.T untuk bersama bergerak dalam satu Jemaah dalam mencapai satu wawasan. Sebagai contoh, elemen tarbiah mengutamakan solat berjemaah, mutabaah amal dalam kalangan AJK, penjagaan ikhtilat dan penyampaian tazkirah diterapkan dalam setiap program PRISM. Sesungguhnya Muslim itu bersaudara. Ukhwah yang terjalin bersama Rakan PRISM sungguh indah kerana setiap persahabatan, pertemuan dan perpisahan adalah semata-mata kerana Allah. Tahniah saya ucapkan kepada semua rakan PRISM kerana membuat pilihan bijak dalam menyertai keluarga ini.

PRISM Back To School 2017 atau singkatannya BTS merupakan salah satu daripada aktiviti yang dijalankan di Malaysia pada waktu cuti musim panas, selain program IGNITERS dan WOW. Program BTS dilakukan khusus untuk pelajar sekolah menengah untuk memberi semangat dan motivasi dalam memebentuk sifat kepimpipinan dan ‘soft skills’ yang sememangnya penting terutama selepas alam persekolahan. Sesi perkongsian teknik belajar dan pengalaman belajar di luar negara disuntik untuk pelajar-pelajar meneruskan perjuangan belajar bersungguh-sungguh demi meraih keputusan cemerlang dalam SPM. Aktiviti yang dijalankan di BTS mempunyai kelainan untuk menarik minat pelajar seperti, ‘Debat Café’, Mock Interview, Overseas Forum, Promosi Lakonan Iklan, Malam Persembahan, SWOT & Personality Test, Inspirasi Al Fateh dan pelbagai lagi LDK yang menarik. Selain itu, bukan sahaja kita sebagai ikon luar negara untuk berkongsi ilmu bersama pelajar, tetapi lebih utama adalah mendidik diri kita sendiri untuk turut bersemangat dan berjuang di perantauan kerana Allah S.W.T. Kerjasama antara Fasilitator, AJK dan pelajar merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Saya yakin anda tidak akan menyesal untuk menyertai program BTS. Tidak dilupakan juga setiap individu akan diperingatkan untuk memperbetulkan niat dan tindakan sepanjang masa supaya aktiviti yang dirancang diredhai Allah S.W.T. InsyaAllah.

Harapan saya agar Rakan PRISM untuk terus bergiat aktif menyertai dan membantu setiap program anjuran PRISM demi melahirkan mukmin professional yang bukan sahaja mampunyai ilmu pembelajaran seperti sains dan teknologi, tetapi juga mampu berdakwah, menerapkan unsur tarbiah dan menjadi khudwah hasanah untuk masyarakat umumnya. Akhir kata, semoga PRISM menjadi pemangkin untuk kita sama-sama lebih menyumbang dan memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira dari sudut pendidikan, kebajikan mahupun dakwah, InsyaAllah. Sekian, Terima kasih.

Yang ikhlas,

Ahmad Afif Adham Bin Azizan

Pengarah PRISM Back To School 2017

--

--