Friday Bites : Di manakah diri kita sebagai seorang pemimpin?

adminPRISMUK
Platform Siswa Islam Malaysia UK
3 min readApr 6, 2018
“A man in a plaid suit sitting on a bench” by William Stitt on Unsplash

Seorang sahabat saya mengajak saya untuk menulis satu artikel untuk dikongsikan bersama setelah sekian lama tidak berkongsi. Lalu saya fikirkan tajuk yang sering saya baca dan ceritakan melalui pengalaman yang ada. Ketika saya berjalan ke suatu tempat, saya ambil keputusan untuk hurai sedikit mengenai kepemimpinan. Saya akan kupas sedikit mengenai ciri-ciri yang perlu ada dengan segala ilmu yang ada InsyaAllah.

Mukadimah

Pertama kali saya melihat video ini dalam Youtube memberi permulaan kepada diri saya untuk cari kelebihan diri. Selamat menonton dan membaca ya 😊

Walk the Talk

Bermaksud buat apa yang kita cakap. Tak perlu saya kupas dengan mendalam tentang perkara ini dan semua orang faham. Suka untuk saya ingatkan kepada contoh daripada Nabi Muhammad SAW yang turut serta dalam pembinaan parit ketika perang Tabuk.

Sikap ini juga diikuti oleh Sultan Muhammad Al-Fateh yang turut serta bersama pengikutnya dalam pembinaan Rumeli Hissari, sebuah kubu yang dibina sebelum penaklukan Konstantinople bermula. Di sini kita kena faham menjadi seorang pemimpin sangat memerlukan komitmen yang lebih untuk menimbulkan kesan yang baik kepada pengikutnya. Menunjukkan cara untuk membuat perkara itu lebih jelas dan difahami daripada kita sekadar mengatakan sahaja.

Resilience

Adalah suatu kebolehan untuk pulih dengan segera setelah menghadapi suatu kesusahan. Saya tertarik kepada satu bahagian dalam buku ‘Leadership Lesson from the life of Rasoolullah’ karya Mirza Yawar Baig. Buku itu memberi suatu perspektif yang berlainan tentang peristiwa Nabi Muhammad SAW yang pergi berdakwah ke Thaif setelah menemui jalan buntu di Makkah. Tetapi dakwah Nabi Muhammad SAW ditolak oleh orang-orang di Thaif dengan lemparan batu sehingga badan Nabi berdarah. Lalu Nabi berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan kepadanya. Allah mendengar doa Nabi dan ditawarkan kepada Nabi untuk menimpakan gunung ke atas penduduk Thaif tetapi baginda menolak. Di sini terdapat beberapa pengajaran dari kisah ini:

Dalam doa Nabi di Thaif, Nabi ada mengungkapkan kelemahan dan kekurangan diri. Baginda tidak berdoa untuk memberi balasan terhadap penduduk Thaif yang mencederakan baginda. Baginda menerima kelemahan diri dan meminta kepada Allah supaya diberikan kekuatan.

Di sini kita dapat belajar kekuatan sebenar pada seseorang datang dari dalam diri kita. Dengan menguatkan hubungan diri kita dan yakin kepada Allah , Allah akan memberi kekuatan roh dan dalaman kepada kita untuk menghadapi segala cabaran dalam hidup kita bukan menuding jari kepada orang setelah gagal mencapai sesuatu perkara. Ingat, kita adalah makhluk yang hebat sebab kita ada jasad dan roh jadi kita perlu mempertingkatkan kekuatan kedua-duanya.

Komitmen Nabi yang tinggi dan fokus yang berterusan untuk menyampaikan Islam. Setelah banyak perkara yang berlaku (isteri dan bapa saudaranya meninggal), Nabi masih meneruskan kerja untuk merealisasikan visi Nabi untuk menyeru kepada kebaikan.

Hanya fokus yang jelas dan konsisten yang akan beri kekuatan kepada kita untuk mengatasi cabaran yang kita hadapi. Mudah untuk kita fokus kepada suatu matlamat jika kita mendapat sokongan daripada orang lain. Tetapi untuk fokus kepada suatu matlamat ketika kita dikritik dan tiada sokongan sangat sukar terutamanya apabila kita terpaksa menghadapi serangan fizikal dan mental. Itulah ujian sebenar kepada seorang pemimpin. Jangan jadikan diri kita sebagai penjenayah masa yang boleh menghilangkan fokus kita.

Ilmu! Ilmu! Ilmu!

Bagi saya, sifat kepemimpinan itu bukan sekadar semangat berkobar-kobar sahaja, tetapi sangat memerlukan pembacaan yang tinggi. Pemilihan buku melambangkan diri kita dan siapa yang tertarik kepada kita. Semakin tinggi tanggungjawab kepemimpinan kita, semakin banyak ilmu yang kita perlu isi dalam diri kita.

Saya akhiri dengan kata-kata Saidina Umar Al Khattab,

“pemimpin adalah khadam (pelayan) kepada rakyat.”

Bermakna pemimpin yang hebat bukanlah berbangga dengan kehebatannya, tetapi sepatutnya lebih merendah diri. Allah akan mengurniakan kedudukan yang lebih tinggi kepada pemimpin yang merendah diri, InsyaAllah.

Wallahualam.

--

--