Friday Bites : Kewajipan Memilih Pemimpin Yang Baik

adminPRISMUK
Platform Siswa Islam Malaysia UK
4 min readApr 27, 2018
Photo by jean wimmerlin on Unsplash

Islam adalah agama yang mementingkan setiap aspek dalam kehidupan kerana kehidupan di dunia ini menjadi penanda aras bagi kehidupan di akhirat kelak, dan kepimpinan adalah salah satu daripada aspek kehidupan tersebut.

Nabi Muhammad saw bersabda, “Jika ada tiga orang berpergian, hendaknya mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpinnya.” (HR Abu Dawud dari Abu Hurairah).

Seorang bapa adalah pemimpin kepada keluarganya, seorang abang adalah pemimpin kepada adik-adiknya, dan seorang Perdana Menteri adalah pemimpin kepada negaranya.

Mengapakah isu kepimpinan merupakan isu yang besar dalam Islam?

Kata hukama, manusia akan mengikuti agama pemimpin mereka. Maka jelaslah bahawa pemilihan pemimpin menjadi penentuan tertegaknya agama di sesebuah negara. Maka, untuk tertegaknya Islam di sebuah negara, wadah yang paling berkesan ialah dengan memilih pemimpin yang beriman. Namun, sangat menyedihkan apabila rakyat era ini, sebahagiannya memandang remeh isu kepimpinan dan siapa yang menjadi pemimpin bagi negara mereka.

Allah swt berfirman dalam surah an-Nisa ayat ke 4, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi WALI (pemimpin) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah kamu ingin mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyiksamu)?”

Islam telah menggariskan ciri — ciri pemimpin yang baik, dan contoh yang terbaik dalam kepimpinan sudah pastilah Nabi Muhammad saw; sebagai seorang ketua negara, suami dan ayah.

Antaranya ialah, taat kepada Allah dan Rasul-Nya, beriman dengan amalan soleh, memimpin dengan kitabullah dan sunnah Nabi Muhammad saw. Selain itu, seorang pemimpin mestilah adil terhadap rakyat-rakyatnya ketika menetapkan hukum, undang-undang negara dan membahagikan keperluan-keperluan rakyat. Seorang pemimpin yang baik sentiasa mendahulukan rakyat berbanding keperluan dirinya sendiri. Salah satu ciri-ciri yang penting dan wajib diamalkan oleh seorang pemimpin ialah amanah. Hal ini adalah kerana harta negara berada di bawah kekuasaan seorang pemimpin maka tanpa sifat amanah, seorang pemimpin akan terjebak dengan kezaliman kepada rakyat-rakyatnya.

Menjadi seorang pemimpin bukanlah sesuatu tugas yang mudah namun jika dilaksanakan dengan ketakwaan dan keadilan, balasannya adalah naungan Allah di Padang Mahsyar kelak.

Hal ini disabdakan oleh Rasul saw 1400 tahun dahulu dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA., “Tujuh golongan Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya; Pertama: Imam (pemimpin) yang adil. Kedua: Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. Ketiga: Insan yang hatinya terpaut dengan masjid. Keempat: Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. Kelima: Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata, ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah.’ Keenam: Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya. Ketujuh: Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.”

Seorang pemimpin secara intrinsiknya sedang memegang amanah untuk membawa rakyat-rakyatnya beriman dan bertakwa kepada Allah. Maka, sewajibnya seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat mempunyai minda mukmin dan memasang azam untuk memartabatkan suruhan-suruhan Al Quran dan sunnah dalam kepimpinan dan kehidupan beliau, keluarga dan rakyat. Namun, perkara ini tidak akan dicapai sekiranya rakyat tidak bijak memilih pemimpin mereka. Di negara umat Islam, umat Islam harus memahami bahawa negara yang berjaya adalah negara yang dipimpin dengan kepimpinan Islam sebenar.

Photo by Greg Raines on Unsplash

Negara yang dipimpin oleh Islam secara keseluruhannya pastinya bersih daripada ketirisan harta negara, kezaliman kepada rakyat dan kurang kejadian jenayah. Sebagai contoh, dapat dilihat daripada kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz pada zaman kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan pada era tersebut tiada rakyat yang layak untuk menerima zakat. Maka, umat Islam tidak sepatutnya takut dengan kepimpinan Islam sebenar kerana sejarah telah menceritakan kepimpinan Islam yang adil dan amanah mendapat keredaan Allah dan pastinya berjaya memacu negara ke arah yang lebih baik.

Walaubagaimanapun, apabila pemimpin yang tidak layak dipilh maka akibatnya akan dirasai oleh rakyat-rakyat itu sendiri. Pemimpin seperti ini kebiasaannya tidak menjadikan Al Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam memimpin negara dan melaksanakan tugas mereka. Hasilnya, rakyat semakin hari semakin susah, budaya hedonism menular dalam kalangan masyarakat dan hak- hak rakyat tidak diambil peduli. Suara-suara rakyat disenyapkan dengan taburan wang dan janji manis. Ketika kaca-kaca televisyen menyiarkan kesengsaraan rakyat, si pemimpin ini sibuk bergaya dengan kereta mewah, percutian ke luar negara dan singgahsana bagaikan raja. Adakah rakyat ingin terus dirompak di siang hari?

Allah swt berfirman dalam surah Saba ayat ke 15; “… baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur.” Maksudnya, “..negeri yang baik dengan Rabb yang Maha Pengampun.”

Ayat ini merujuk kepada negeri Saba’ yang didiami oleh orang yang soleh-soleh sehingga Allah menganugerahkan kepada mereka nikmat yang luar biasa. Oleh itu, untuk sesebuah negara mendapat gelaran negeri yang baik penduduk-penduduknya wajib mentaati Allah dalam segenap aspek dan yang paling penting ketua negara tersebut adalah orang yang bertakwa kepada Allah secara keseluruhannya.

Rakyat bertanggungjawab memilih pemimpin melalui medium yang sedia ada sebagai contoh mengundi sewaktu pilihan raya.

Syeikh Al Qadrawi berkata, “Mengundi adalah wajib dan memilih pemimpin adalah wajib.”

Kata Doktor Muhammad Ali as Sobuni, ketua ulama Syria, “Mengundi adalah wajib dan memilih pemimpin yang mampu menjaga agama adalah wajib.”

Rakyat wajib memilih pemimpin yang selayakknya mengikut nilai-nilai yang ditetapkan Islam bukan kepentingan diri sendiri dan bukan semata-mata kerana sekufu, ahli keluarga dan sebagainya. Ingatlah bawa Allah berfirman dalam surah al Isra’ ayat 71,” (Ingatlah) suatu hari (yang di hari itu) Kami panggil setiap ummat dengan pemimpinnya.” Maka beruntunglah bagi siapa yang di dunia bersama dengan para Nabi dan ulama, maka ia dibangkitkan bersama Jemaah mereka dan rugilah bagi mereka jika di dunia pemimpin ikutannya adalah pemimpin yang zalim kerana ia pasti binasa bersama dengan kezaliman pemimpin mereka. Wallahualam.

Ditulis oleh:

Atiyah, Dublin

--

--