Friday Bites : Sedikit Bukan Bermakna Kalah

adminPRISMUK
Platform Siswa Islam Malaysia UK
4 min readMar 23, 2018
“Two running lanes set up for sprinters to compete in a 100 meter race” by Tim Gouw on Unsplash

Seringkali iman goyah, hanyut dibuai pelbagai keseronokan, kesibukan duniawi. Alhamdulillah, andainya kesibukan yang sama membawa kita kepada akhirat yang bahagia, tetapi andainya sebaliknya, maka bersedihlah.

Lebih tergugat lagi, apabila kita berada di negara asing, tiada yang selalu mengingatkan kita tentang setiap keputusan seharian kita; ke mana kaki kita jejakkan, makanan apa yang kita jamah, solat kita bagaimana, puasa kita, pakaian kita, pergaulan kita, masa kita dan sebagainya.

Kadang-kadang kita berasa terlalu kagum yang tidak bertempat dengan orang barat dan sedikit-sedikit kita tidak sedar kita terikut-ikut dengan mereka atau berasa tidak bersalah atau tidak acah dalam menitikberatkan agama.

Tidak berasa apa-apa pergi ke kelab malam, keluar berduan lelaki perempuan, tidur di rumah kawan berlainan jantina, menyokong hubungan sejenis, dan pelbagai lagi perbuatan yang kononnya membebaskan kita, padahal tidak.

Kita ingin dilihat hebat, maka kita ikut segala perkara yang dilakukan oleh orang yang dianggap hebat oleh dunia dengan kaca mata dunia, sehinggakan kita lupa menapis kaca yang mencalar iman.

Alhamdulillah kita punya ikon masyarakat yang bijak pandai, pakar dalam pelbagai perkara tetapi masyarakat tidak seharusnya meniru semua cara mereka jika ada yang tidak selari dengan agama.

Hidup di luar negara, menjadi masyarakat minoriti, kita berasa ‘inferior’, tidak mampu menunjukkan, menjelaskan Islam yang sebenar. Kita berasa kalah. Padahal, sudah berapa kali yang sedikit telah mengalahkan yang banyak dalam sejarah manusia. Mari kita telusuri kisah Talut dan Jalut.

Mereka (tentera Talut) mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah dan dalam peperangan itu Daud membunuh Jalut…” (Quran 2: 251)

Sebelum kita pergi lebih lanjut tentang kisah Talut dan Jalut, adalah lebih baik kita melihat peristiwa-peristiwa sebelumnya. Talut telah dilantik oleh seorang nabi dalam kalangan Bani Israel setelah mereka memohon untuk diberikan seorang raja yang akan menyatukan mereka semua. “Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah”.

Maka, Talut telah diangkat sebagai pemimpin mereka sebagaimana yang diwahyukan kepada nabi dalam kalangan mereka. Namun, bani Israel mempersoalkan pilihan ini, “Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedangkan dia tidak diberi kekayaan yang banyak.” Apabila kita refleksi, kadang-kadang kita melihat dunia barat ini sangat maju dari segi material, dan kita mengaspirasikan perkara yang sama, sampai kita lupa dan meninggalkan perintah-perintah Tuhan yang lain. Kita terlalu mementingkan material, fizikal, sampai kita lupa tujuan kita di dunia ini. Kita terlalu banyak persoalan, kita berlaku tidak adil pada diri kita, kita lupa janji kita, kita lupa sebab kita mula-mula menjejakkan kaki dalam bidang atau jalan yang telah kita pilih dulu. Kita manusia, kita alpa.

Bani Israel dulu menjawab “Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dari anak-anak kami?” apabila nabi mereka mengatakan “Jangan-jangan, jika diwajibkan ke atasmu berperang, kamu tidak akan berperang juga.” Tapi, apabila datang perintah Allah untuk melantik Talut menjadi pemimpin mereka, mereka mempersoalkannya. Apabila diwajibkan ke atas mereka untuk berperang, mereka berpaling.

Apabila tentera Talut (dalam Bahasa Inggeris, Talut dikenali sebagai Saul) keluar untuk berperang, datang ujian untuk tidak minum air dari sebuah sungai, namun ramai daripada mereka yang kalah dalam ujian itu kerana tetap minum air dari sungai itu walaupun telah diingatkan.

Maka, tatkala Talut dan orang yang beriman bersamanya menyeberangi sungai itu, orang yang telah minum berkata, “Tidak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya.” (Quran 2:249)

Dalam meniti kehidupan ini, ada banyak sungai, ada banyak jambatan, cabang jalan yang perlu kita tempuh dan pilih. Akan ada perkara yang nampak seperti membahagiakan yang membuat kita lupa pada perjuangan, namun kita harus betul-betul berfikir apakah bahagia itu sementara sahaja. Adakah perbuatan kita itu akan menyebabkan kita terkeluar daripada golongan orang-orang yang beriman?

Orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang yang sabar.” (Quran 2: 249)

Ingatlah bahawa hidup ini penuh ujian; yang kaya teruji, yang miskin teruji; setiap insan diuji. Sekiranya tiada ujian, kita akan lupa pada nikmat Tuhan. Jangan kita berasa takut, hilang ‘izzah’ Islam, dengan bilangan yang sedikit. Berakhlaklah dengan akhlak al-Quran, jangan kita terikut dengan akhlak selainnya hanya kerana takut berasa terasing daripada masyarakat.

Dalam kita berjuang, sentiasalah memohon kesabaran dan keteguhan pendirian. Ingatlah bahawa menjadi tugas kita berjuang menentang kezaliman, kebatilan dan ingatlah kebatilan itu tidak akan kekal. Ingatlah doa Talut (Saul) dan tenteranya dalam menentang Jalut (Goliath):

Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran ke atas diri kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang kafir.” (Quran 2:250)

Doakan penulis terus sabar dan kukuh pendirian serta sentiasa ditunjukkan jalan yang benar.

Penulis ialah seorang pelajar perubatan di United Kingdom.

--

--