Friday Bites: The Economic Miracle Years dan Kebangkitan Semula Jepun

caramelchurros
Platform Siswa Islam Malaysia UK
5 min readAug 23, 2018

[PASCA-PERANG JEPUN]

Selepas Empayar Jepun menyerah kalah, Tentera Bersekutu khususnya Amerika Syarikat telah menjajah Jepun.

Zaman pasca-perang Jepun tersangatlah huru-hara. Kemiskinan serta kebuluran yang melanda penduduk Jepun berada pada tahap yang sangat kritikal. Golongan yang terpaksa merempat di jalanan juga banyak. Kadar inflasi wang Jepun yang naik mendadak telah memaksa sebilangan warga Jepun menggunakan khidmat pasaran gelap bagi mendapatkan barangan keperluan mereka.

“Six fighter jets flying in a formation against a cloudy sky” by UX Gun on Unsplash

Kes-kes jenayah serta aktiviti pelacuran sebagai sumber pendapatan berleluasa.

Walaupun keadaan tersebut amatlah sedih, ungkapan ‘shikata ga nai, shikata ga nai’ (nothing can be done about it) kedengaran dari mulut-mulut mereka.

Namun begitu, bangsa Jepun juga adalah sebuah bangsa yang tidak kenal erti putus asa. Bagi mereka, tiada gunanya menyesali perkara yang telah pun berlaku. Bergerak ke hadapan adalah satu kemestian.

Setelah pilihan raya Jepun 1946 diadakan, rakyat Jepun bersama-sama dengan barisan pimpinan kerajaan yang baru, berganding bahu membanting tulang membina semula negara mereka yang telah musnah. Perasaan malu (haji) mereka kerana kalah dalam peperangan dunia kedua menjadi sumber motivasi mereka dalam menunjukkan kepada dunia kuasa sebenar Jepun.

Pembangunan infrastruktur dan ekonomi diberi tumpuan.

Pada masa yang sama, pemimpin Jepun juga sedar akan bahayanya nasionalisme yang tidak terkawal. Oleh itu, Perdana Menteri Yoshida Shigeru (1946–1954) telah memperkenalkan ‘Doktrin Yoshida’. Suatu polisi yang telah menggariskan halatuju negara Jepun yang baharu ini adalah sebagai sebuah negara damai yang cintakan keamanan. Dalam kata yang lain, sebuah negara ‘pacifist’.

Malah dalam Perlembagaan 1947 yang dirangka bersama dengan Amerika Syarikat, terdapat satu klausa khas yakni Perkara 9 (Article 9) yang dikenali sebagai ‘ the Peace Clause’. Dalam klausa tersebut, Jepun buat selama-lamanya menidakkan “peperangan sebagai hak kedaulatan negara”.

Malah Jepun yang baharu ini juga berhasrat untuk tidak akan memiliki angkatan tentera darat, laut dan udara, dan juga mana-mana aset lain yang mempunyai potensi perang ke atas negara lain.

Namun begitu, apabila kerajaan komunis Korea Utara menyerang Korea selatan di dalam konflik Perang Korea (Jun 1950- Julai 1953), tentera Amerika yang pada asalnya ditugaskan untuk menjaga Jepun telah dimobilisasi secara penuh ke semenanjung Korea.

Ini secara tidak langsung telak meletakkan Jepun dalam keadaan yang sangat terdedah terhadap sebarang ancaman luar.

Atas kesedaran inilah, Jepun yang baharu ini merasakan keupayaan untuk melindungi diri sendiri adalah satu keperluan yang wajib. Dengan sokongan dari pihak pentadbiran Amerika di Jepun, pihak Jepun pada tahun 1950 telah mewujudkan ‘National Police Reserve’ (Kiesatsu-yobitai) dimana dalam jangka masa yang akan datang menjadi teras tertubuhnya Pasukan Pertahanan Diri Jepun.

Pasukan ‘Self-Defence Force’ (SDF) atau ‘Jietai’ ini bukanlah angkatan tentera, walaupun fungsi yang dimainkan serta aset tempur yang dimilikinya seakan sama. Malah klausa keamanan yang digariskan Perkara 9 menjadi teras kepada SDF. Jepun hanya akan bertindak secara ketenteraan sebagai jalan terakhir apabila segala resolusi lain tidak dapai disepakati. Itu pun di atas justifikasi ‘self defense’.

7 tahun berada di bawah pentadbiran tentera Amerika, Jepun mengalami pelbagai transformasi. Prinsip demokrasi berparlimen yang menjanjikan hak kemanusian yang adil serta kebebasan untuk bersuara dalam kalangan rakyatnya telah menggantikan prinsip negara tentera yang dulu. Dasar liberalisasi ekonomi serta ekonomi menurut acuan kapitalis diterapkan sebagai polisi negara.

Di bawah penguatkuasaan ‘Shinto Directive’pada tahun 1950, urusan keagamaan yang selama ini telah disalahgunakan oleh Empayar Jepun sebagai alat propaganda kempen peperangan dipisahkan daripada hal ehwal pengurusan kerajaan yang baharu. Walaupun begitu, hak kebebasan beragama dijamin. Agensi seperti ‘The Association of Shinto Shrines’ (Jinja Honcho) ditubuhkan bagi menguruskan kuil-kuil Shito di Jepun.

Sistem pendidikan rejim lama juga direformasikan dengan sistem yang baru. Hak serta peranan yang boleh dimainkan bagi golongan wanita juga bertambah.

Jepun sekali lagi mengalamai transformasi 180 darjah sepertimana yang pernah dialaminya dahulu sewaktu kekuasaan Keshogunan Tokugawa tamat dan mulanya era transformasi Maharaja Meiji.

Penguasaan Amerika ke atas Jepun akhirnya tamat pada tanggal 28 April 1952 setelah ‘Perjanjian San Fransisco’ dimeterai. Orang Jepun akhirnya dapat memerintah tanah air mereka sendiri tanpa perlunya campur tangan kuasa asing kecuali Pulau Iwo Jima (dipulangkan pada tahun 1968) dan Pulau Okinawa (dipulangkan pada tahun 1972).

Walau bagaimanapun, satu perjanjian kerjasama keselamatan iaitu ‘Treaty of Mutual Cooperation and Security’ antara kerajaan Jepun dengan kerajaan Amerika ditandatangani pada tahun 1960.

Atas permintaan kerajaan Jepun, pihak Amerika bersetuju untuk meneruskan pemberian perlindungan keselamatan ke atas Jepun dengan cara menempatkan beberapa asset strategiknya di kepulauan Jepun dan menjalankan latihan operasi ketenteraan bersama pihak SDF. Sehingga kini, pasukan ‘United States Japan Force’ (USJF) merupakan diantara asset ketumbukan luar Amerika Syarikat yang cukup kuat.

[THE ECONOMIC MIRACLE YEARS]

Dengan menjadi sebuah negara ‘pasifist’ disamping mendapat suntikan kewangan dari Amerika menerusi ‘Rancangan Marchall’, pemimpin serta rakyat Jepun dapat menumpukan fokus mereka dalam membangunkan negara.

Malah, dunia menggelar era pemulihan serta pemesatan mengejut ekonomi Jepun dengan gelaran ‘Japan’s economic miracle years’.

Secara umumnya, perkembangan ekonomi pasca-perang Jepun ini sehinggalah ia mampu muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia menjelang era 1960-an, dapat dibahagikan kepada 3 fasa.

Fasa pertama (1946–1954) adalah ‘the recovery phase’. Kunci utama kepada perkembangan ekonomi Jepun di fasa ini adalah melalui polisi ‘Inclined Production Mode’ (Keisha Seisan Heeshi) yang digariskan oleh suatu badan yang baru ditubuhkan, iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Jepun.

Melalui polisi ini, kegiatan ekonomi Jepun ditumpukan pada industri pemprosesan bahan mentah, khususnya industri besi keluli, arang batu dan tekstil. Tenaga kerja kaum wanita digunakan sepenuhnya oleh kerajaan dek kerana kekurangan kaum lelaki yang terkorban akibat perang dunia tersebut.

Fasa kedua (1955–1972) adalah ‘the high increase phase’. Ketika fasa inilah Jepun mengalami proses transformasi infrastruktur serta perindustrian berat yang amat pesat.

Terdapat tiga konsep yang mewarnai prinsip/polisi etika kerja serta ekonomi Jepun.

Konsep kumpulan-kumpulan ‘Keiretsu’; beberapa buah rangkaian kerjasama secara berkumpulan antara sesama syarikat-syarikat pengeluar, syarikat pembekal, dan pihak bank diwujudkan.

Konsep ‘Shuntoo’; usaha berterusan kesatuan-kesatuan kerja dalam menaiktaraf pemberian gaji serta kondisi kebajikan pekerja Jepun dituntut dan dibincangkan bersama pihak kerajaan Jepun secara tahunan.

Konsep ‘Shuushin Koyoo’; pemberian kontrak kerja seumur hidup bagi para pekerja telah memberikan satu jaminan pendapatan yang tetap buat warga Jepun.

Polisi ‘Foreign Exchange Allocation’; suatu sistem kuota yang menghadkan kemasukan produk asing ke dalam pasaran Jepun. Malah polisi ini bukan sahaja berjaya melindungi produk tempatan, ianya juga merangsang para pengeluar untuk mengeksport barangan Jepun ke pasaran luar.

Fasa ketiga (1973–1992) adalah ‘the steady increase phase’. Krisis minyak dunia 1973 dan sekali lagi oada tahun 1978 telah menyebabkan kos pemprosesan dan pengurusan berkaitan yang melibatkan penggunaan minyak meningkat.

Ini menyebabkan, bilangan permintaan (demand) di pasaran sentiasa melebihi ‘supply’.

Akan tetapi, Jepun berupaya untuk kekal stabil dengan cara mentransformasikan kaedah teknologi yang sedang digunapakai pada ketika itu kepada teknologi yang lebih mesra alam, lebih hijau dan kurang penggunaan tenaga.

Kesemua konsep kerja ini ditambah lagi dengan peranan besar yang dimainkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Jepun dalam mempromosikan ekonomi Jepun akhirnya membuahkan hasil yang cukup membanggakan warga Jepun. Dan juga telah membalas semula rasa malu kekalahan mereka di dalam Perang Dunia Kedua dahulu.

--

--