Permainan Komputer Sebagai Terapi Untuk Mengubat Kemurungan (Depression)

caramelchurros
Platform Siswa Islam Malaysia UK
4 min readSep 8, 2018

Kenali Kemurungan

Tanda-tanda Besar

  • Muram ≥14 hari
  • Tidak dapat menikmati perkara disukai sebelum ini
  • Kekurangan tenaga

Tanda-tanda kecil

  • Pemakanan terjejas
  • Sering bangun terlalu awal
  • Putus harapan
  • Selalu rasa cemas
  • Kesakitan yang tidak dapat diterangkan
“man sitting at the shed beside the street” by Jonathan Rados on Unsplash

Kemurungan/Depression

‘Depression’ atau kemurungan merupakan sejenis penyakit jiwa di mana pesakit menghadapi kemuraman atau kesedihan yang berpanjangan sehingga mengganggu aspek kehidupannya. Pelbagai perkara boleh menyebabnya kerana psikologi setiap manusia adalah berbeza (hilang kerja, putus hubungan, kematian orang terdekat). Islam mengambil berat masalah hati seperti ini sebelum kedatangan perubatan Barat.

Surah Ash-Shuara (26):3

Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman

(Semua orang pernah rasa susah hati termasuklah Rasulullah SAW sendiri. Al-Quran itu syifa yang terbaik)

Kemurungan bukannya kesedihan yang biasa tetapi diakui boleh menyebabkan perkara yang serius seperti masalah sosial, perbuatan mencederakan diri atau bunuh diri. Kini, semakin ramai anak muda menghidapi penyakit kerana dibuli, tekanan belajar, masalah keluarga dan lain-lain. Kita harus sedar bahawa kesihatan mental anak muda juga amat penting dalam tumbesaran dan pembinaan modal insan untuk negara kita.

Meneliti keadaan sekarang, ramai anak muda yang menghidap penyakit kemurungan susah untuk mendekati pakar psikiatri (doctor pakar penyakit mental) kerana stigma yang dikaitkan dengan masalah mental. Tambahan pula, perubatan mental di Malaysia menghadapi kekurangan servis kaunselor. Seringkali, simtom penyakit kemurungan akan menyebabkan seseorang itu mengasingkan dirinya daripada masyarakat menyebabkan bantuan tidak sampai kepada mereka yang perlukan.

Permainan Komputer Sebagai Ubat Kemurungan

Kekurangan kaunselor menyebabkan pakar psikiatri dan psikologi memikirkan cara yang baru untuk menangani masalah kemurungan. Hasil daripada teknologi moden, mereka telah menghasilkan sebuah terapi menggunakan komputer. Sekarang, cuba bayangkan sekiranya doktor menyuruh anda main computer sebagai ubat untuk penyakit anda?

‘Eh, bukan ke ramai orang kata selalu main game tidak menyihatkan?’

Memang betul bahawa permainan komputer selalu dikaitkan dengan perkara negatif tetapi bergantung kepada jenis permainan. Ada permainan yang mengajar kanak-kanak kecil celik huruf dan ada yang berbentuk mengasah minda. Permainan seperti itu tidak mendatangkan kesan seburuk permainan tembak-menembak. Maka, kita ketahui bahawa ‘game’ hanya satu alat.

Oleh sebab remaja lebih senang berinteraksi dengan permainan, maka para pengkaji berfikir, ‘Alangkah baiknya sekiranya kami mencipta sebuah permainan komputer yang boleh membantu pesakit remaja kami?’ Idea ini datang daripada keberkesanan terapi komputer untuk pesakit dewasa. Terapi tersebut diubah suai sebagai modul permainan. Kemudian, terhasillah permainan SPARX oleh syarikat LinkedWellness sebagai rawatan kemurungan untuk golongan remaja.

Berkesankah kaedah baru ini?

Beberapa tahun yang lepas, Jurnal Perubatan Inggeris (British Medical Journal) telah mengeluarkan artikel mengenai keberkesanan permainan tersebut sebagai rawatan penyakit kemurungan. Dalam kajian tersebut, 94 pesakit yang menjalani terapi SPARX dibandingkan dengan 93 pesakit yang dirawat melalui kaedah konvensional (kaunseling dan ubat antidepressant). Kajian tersebut mendapati bahawa SPARX tidak kurang kemampuannya sebagai rawatan untuk penyakit kemurungan.

Ini merupakan satu penemuan yang sangat baik. Daripada memberi rawatan ubat antidepressant yang mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini (seperti peningkatan berat badan dan masalah usus), perubatan moden mampu memberikan pilihan permainan komputer kepada remaja yang menghidap kemurungan dalam keadaan kaunselor susah didapati atau remaja tersebut merasai susah berinteraksi dengan kaunselor.

Ini bersesuaian dengan kehendak perubatan yang diiktiraf oleh Islam iaitu mencari penyelesaian yang paling kurang memudaratkan. Jika saya pesakit, sudah tentulah saya memilih kaedah ini. Lebih-lebih lagilah, apabila mengetahui bahawa kaedah ini dibuktikan oleh kajian saintifik.

(Pautan ke Jurnal tersebut: http://www.bmj.com/content/bmj/344/bmj.e2598.full.pdf )

Apa itu SPARX?

SPARX (Smart, Positive, Active, Realistic, X-factor thoughts) merupakan sebuah permainan RPG (role playing game) di mana pemain merupakan seorang wira yang sedang menjalani sebuah misi untuk menyelamatkan dunia yang dikuasai kuasa jahat GNAT (Gloomy Negative Automatic Thoughts). Kesan daripada pencerobohan GNAT, ramai makhluk bumi menghidap simtom penyakit kemurungan. Sebagai wira, anda dikehendaki mengatasi 7 jenis ‘cabaran’ (modul) bagi memulihkan dunia kepada keadaan sebelum penceborohan GNAT.

Permainan ini mengajar pesakit teknik menghadapi kemurungan melalui CBT (Cognitive Behavioural Therapy) iaitu sejenis teknik yang menekankan penukaran cara berfikir (‘cognitive’) untuk menggalakkan pemikiran positif dan memulihkan emosi melalui perbuatan-perbuatan untuk mencapai matlamat terapi (‘behaviour’).

Dalam SPARX, anda dicabar dengan raksasa-raksasa GNAT yang akan menyerang anda dengan pemikiran negatif (“Ko ni lemah…”) atau anda dikehendaki memulihkan kesan kerosakan mereka. Selepas setiap cabaran diatasi, anda akan diberikan pengajaran modul tersebut dan diajar teknik yang berkesan menghadapi masalah kehidupan anda.

Permainan ini masih berada pada tahap penyelenggaraan dan belum lagi diguna pakai secara berleluasa. Walau bagaimanapun, SPARX telah membuka permainan cubaan untuk orang umum mencuba permainan ini dan memberikan cadangan menambah baik. Sekiranya anda berminat untuk mencubanya, sila klik pautan ini:

Penutup

Perasaan sedih yang berpanjangan tidak baik untuk kesihatan kita. Kita hendaklah mencari penyelesaian baginya untuk menjadi hamba Allah yang sejahtera. Sekarang, terdapat pelbagai jenis rawatan termasuklah rawatan ini yang sesuai untuk ramai remaja yang sukakan permainan komputer. Sekiranya anda merasai simtom kemurungan, ketahuilah bahawa ada rawatan dan Allah sentiasa bersama anda walaupun anda ingat dunia telah lupakan diri anda.

Wallahu a’lam

Talib Liverpool
*Penulis merupakan pelajar tahun keempat perubatan yang bercita-cita menunjukkan dunia pengharmonian sains dan Islam.

--

--