Sejarah Demokrasi

adminPRISMUK
Platform Siswa Islam Malaysia UK
3 min readMay 5, 2018
Photo by Philipp Birmes from Pexels

‘Demokrasi’

berasal daripada dua perkataan Greek iaitu ‘demos’ (rakyat) dan ‘kratein’ (memerintah). Kedua-dua perkataan ini digabungkan menjadi ‘Demokrasi’ yang beerti ‘pemerintahan oleh rakyat’. Sistem kerajaan Greek dilihat sebagai paling hampir kepada pelaksanaan pemerintahan demokrasi kerana orang Greek memandang pemerintahan diktator adalah bentuk pemerintahan yang paling zalim. Pada ketika itu, setiap rakyat yang berkelayakan (kecuali wanita, hamba, lelaki bawah umur 20 tahun dan bukan tuan tanah) mempunyai ruang untuk melontarkan pandangan masing-masing dalam perhimpunan demokrasi.

Dari perspektif sejarah tanah air, Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Parlimen ialah institusi terunggul dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi. Parlimen Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat dirasmikan buat pertama kalinya pada 11 September 1959.

Photo by Deva Darshan on Unsplash

Berikut adalah kronologi peristiwa-peristiwa penting ke arah pembentukan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen:

1867

Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat merupakan institusi pertama di negara yang mengadakan perbahasan dan perbincangan seperti ciri-ciri Parlimen moden.

Kemudian pada tahun berikutnya, Negeri-negeri Melayu Bersekutu terbentuk yang terdiri daripada Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Perkembangan ini merintis jalan ke arah pembentukan satu sistem Kerajaan Persekutuan bagi seluruh negara seperti yang ada sekarang. Setiap negeri bergantung kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk membuat undang-undang.

1900

Majlis Mesyuarat Persekutuan (Federal Council) bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dibentuk dengan pemusatan kuasa perundangan mengikut asas-asas- Parlimen. Majlis ini mempunyai 13 orang ahli yang dilantik termasuk Raja keempat-empat Negeri Melayu Bersekutu, Residen Jeneral British, keempat-empat Residen British serta empat orang ahli tidak rasmi. Penubuhan Majlis ini merupakan satu langkah ke arah pemerintahan sistem demokrasi berparlimen.

1927

Raja-raja Negeri Melayu Bersekutu berhenti menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Tempat Raja-raja digantikan dengan empat orang ahli tidak rasmi. Perubahan terus berlaku melibatkan bilangan serta tanggungjawab ahli Majlis. Majlis merupakan satu-satunya badan yang dilantik sepenuhnya sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada Diesember 1941.

Selepas pemerintahan Jepun (1942–1946), British cuba menyatukan ketiga-tiga sistem pentadbiran (Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu , Negeri Selat — Pulau Pinang dan Melaka) melalui rancangan Kesatuan Malaya (Malayan Union). Malayan Union ditentang hebat kerana diyakini akan menggugat kedaulatan Raja-raja Melayu.

Penentangan terhadap Malayan Union menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Melalui perjanjian ini Majlis Penasihat digantikan dengan Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dengan jumlah ahli yang dilantik seramai 75 orang (3 ahli ex-officio, 11 orang ahli dari Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, 11 orang pegawai British dan seramai 50 orang ahli tidak rasmi). Buat pertama kali Majlis Perundangan mempunyai kelebihan dua pertiga bilangan suara ahli tidak rasmi. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 merupakan satu langkah British untuk merangka dasar-dasar asas kerajaan berparlimen.

1951

Sistem Ahli menjadi perintis kepada sistem kerajaan berkabinet/ Jemaah Menteri seperti yang ada pada hari ini diperkenalkan. Dalam sistem ini ahli-ahli diberikan beberapa portfolio di bawah tanggugjawab mereka. Raja-raja Melayu telah mengurniakan sebuah Cokmar kepada Majlis Perundangan Persekutuan. Cokmar mempertingkatkan lagi status Majlis kerana Cokmar merupakan satu lambang keagungan, kehormatan sinonim dengan kebesaran sistem demokrasi berparlimen. Pada tahun 1953, Persuruhjaya Tinggi berhenti mempengerusikan Majlis dan tempat beliau digantikan dengan Yang di-Pertua yang dilantik iaitu Dato’ Sir Mahmud bin Mat.

1955

Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dibubarkan untuk membolehkan Kerajaan mengadakan pilihan raya umum buat pertama kalinya bagi memilih ahli-ahli untuk mewakili rakyat di Majlis Perundangan Persekutuan. Dalam pilihan raya umum pada Julai 1955, Parti Perikatan, gabungan UMNO, MCA dan MIC berjaya memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang telah dipertandingkan. YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan beliau membentuk Kabinet atau Jemaah Menteri Pertama Tanah Melayu. Ahli Majlis Perundangan Persekutuan bertambah kepada 98 orang iaitu 52 orang yang dipilih melalui pilihan raya umum (menggantikan 50 orang ahli tidak rasmi), 35 oang ahli yang dilantik mewakili kepentingan kepentingan tertentu, dan 11 orang lagi terdiri daripada Menteri Besar dan wakil-wakil negeri. Ini ialah satu tanda kemajuan yang besar dalam perkembangan sistem demokrasi berpalimen tanah air.

--

--