Travelog Misi Dakwah Selakan (Siri 1) : Prolog

adminPRISMUK
Platform Siswa Islam Malaysia UK
5 min readJan 22, 2017

Alhamdulillahi rabbil’ alameen.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Berkat sifat Allah Ya Razzaq Ya Muqtadir, Ya Bari’, dengan izin-Nya kami dapat menjejakkan kaki ke Semporna. Rata-rata kami, ini merupakan pengalaman pertama ke Sabah.

Untuk menulis secara secara helicopter view mungkin boleh, namun untuk menceritakan setiap sudut yang berlaku, aku adalah hamba yang lemah. Aku tidak tahu kage bunshin no jutsu untuk menggandakan diri sendiri, mengambil pengalaman di setiap ceruk kampung dalam satu masa. Karya ini bukan hanya aku, bukan milikku seorang, tulisan ini merupakan pengumpulan tulisan dan kenangan kami pasukan Platform Siswa Islam Malaysia UK, PRISM sepanjang misi kami di sana.

Terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahabat, bermula daripada kepimpinan PRISM UK, ketua pasukan rombongan PRISM, Akmal Ainawani atas usaha dari awal hingga akhir, menyusun program ini sehingga kami dapat menyertai.

Juga setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur, Kelab Rekreasi Hospital Lahad Datu, HUGS, MuslimCare yang membenarkan kami, PRISM untuk turut serta dalam misi kali ini, menimba sedikit sebanyak ilmu dalam penganjuran misi seperti ini daripada kalian yang berpengalaman.

Dengan izin Allah mudah-mudahan, kami dapat turut menganjurkan program seumpamanya, membantu semampunya di masa hadapan inshaAllah.

Prolog

Pertama kali aku menggunakan perkhidmatan Skybus dari KL Sentral menuju ke KLIA2. Harga RM10.00 untuk sehala dan RM16.00 untuk dua hala. Open return. Penerbangan kami adalah pada pukul 10.05 pagi keesokannya. Makanya semalaman aku bermalam di KLIA2. Setibanya di KLIA2 selesai solat, aku pun berjalan-jalan, bagai MB melawat kawasan. Habis seluruh tingkat 1 dan 2 bangunan aku pusing. Penat berjalan aku mengambil tempat di tempat duduk yang disediakan di tingkat satu. Berbekalkan talian internet percuma di situ, aku mengubat kebosanan dengan scrolling mukabuku-ku dan juga Instagram ku. Aku ditemani buku Nusaibah binti Kaab tulisan Shafiee Abdul Rahman. Bacaan ku tentang srikandi idolaku itu aku mulakan.

Selesai beberapa mukasurat, tiba-tiba aku ditegur oleh seorang kakak. Kak Akma namanya. Seorang guru tadika KEMAS, bertanyakan kepadaku tentang lokasi letaknya balai ketibaan.Katanya, dia menunggu kawannya dari Kota Kinabalu. Aku memberitahunya lokasi dengan tepat padahal aku baru pertama kali sampai di KLIA2. Maklumlah, lebih 12 jam, aku akan ‘menetap’ di KLIA2. Apalagi yang mampu aku buat.

Kami berdua tergelak apabila aku menceritakan situasiku yang sebenarnya. Sempat juga kami keluar makan bersama. Sebelum itu aku dipertemukan dengan seorang kakak dari Indonesia yang tidak dapat aku ingat namanya. Bertanya kepadaku tentang lokasi untuk membeli kad tambah nilai. Aku dan Kak Akma tergelak lagi. Right person on right time, maybe?

Kak Akma ke tandas. Sedang aku menyambung bacaanku, aku melihat kelibat Shukri Ismail aka Shuk melintas di hadapan aku. Ada kawan! Bukan aku seorang bermalam di KLIA2. Padahal sampai ke pagi aku tak jumpa pun Shuk selepas itu.

Setelah bertemu dengan sahabat lain keesokan pagi, baru aku diingatkan bahawa Shuk, Saiful dan Ainaa menaiki penerbangan lebih awal daripada kami.

Kami, seramai 8 orang, menaiki penerbangan yang sama dengan pasukan Muslim Care seperti yang dirancang. Seorang lagi ahli pasukan kami, Dira bergerak dari Kota Kinabalu terus ke Tawau. Aku mula berdebar. Entah apa yang ada di sana, entah apa yang kami akan rasa. Ketika kapal terbang hampir mendarat, aku berusaha menjeling ke luar tingkap (tempat duduk ku berada di bahagian tengah sekali). Subhanallah, jelas lekukan sungai menuju ke laut di antara hutan hijau. Laut juga kelihatan sungguh biru. Aku membayangkan adakah aku akan menaiki Land Rover dari Tawau untuk ke Pulau Selakan. Ternyata jangkaanku meleset.

Subhanallah, jelas lekukan sungai menuju ke laut di antara hutan hijau. Laut juga kelihatan sungguh biru.

Setibanya di Lapangan Terbang Tawau, Abang Aminor Azmi, selaku wakil komuniti Pulau Selakan/ Red Divers Borneo, orang yang bertanggungjawab menyusun teknikaliti program (pengangkutan, penginapan dsb) dan juga orang yang menghubungkan kami dengan penduduk kampung Pulau Selakan telah sedia menunggu kami. Rupa-rupanya kami akan menaiki van pelancong. Kami berpisah dengan pasukan Muslim Care di situ, kerana mereka terlibat dengan program lain di Tawau terlebih dahulu. Maka kami 13 orang termasuk Abang Amin akan masuk ke pulau terlebih dahulu.

Haji Razak wakil Muslim Care sempat berpesan kepada kami, jangan masuk pulau selagi tidak berjumpa dengan Dr Naim (yang merupakan Penyelaras Program).

Sepanjang perjalanan tak ubah seperti jalan dari Bandar Kulai masuk menuju Bandar Tenggara. Hanya 2 laluan kereta (bertentangan), banyak selekoh dan kanan kirinya merupakan ladang sawit. Dalam hati kecil ku tetap merasakan kelainan tempat ini. Padahal aku masih berada di bumi Malaysia yang mungkin sahaja lain daratannya berbanding yang aku selalu pijak sebelum ini.

Ketika mula memasuki pekan Semporna, rumah yang terbina rata-rata bersifat sederhana. Kebanyakan rumah masih memiliki sentuhan tradisional. Rumah kayu tinggi yang aku kirakan itu rumah tradisional masyarakat Sabah. Sekali-sekala melalui beberapa sekolah, juga satu kem tentera, dan dipertemukan dengan beberapa rumah yang aku label sebagai rumah ‘tauke kelapa sawit’. Tiba-tiba lalu di sebuah rumah, memang gah, paling besar setakat kami jumpa. Rumah seakan-akan bertatahkan berlian.

“Ini rumah tauke balak ke apa?”, aku berseloroh. “Ha, ini rumah tauke balak”, tiba-tiba pemandu van kami bersuara. Ketawa aku dan akmal memecah kesunyian dalam van. “Pemilik rumah ni, kerajaan negeri Sabah pun masih berhutang dengan dia.”

Gulp aku, menelan air liur.

“Waa…” , itu sahaja yang aku dan Akmal mampu respon.

Tiba betul-betul di pekan Semporna, kami terus dibawa ke Jeti Umum Semporna. Terasa mata-mata di situ, tepat memerhatikan kami. Orang tempatan kali. Ada juga anak-anak kecil yang berenang, bermain-main di air berdekatan jeti. Berlainan sedikit rupa, warna rambut berbanding mereka yang aku lihat di jeti.

Kami bakal menaiki bot menuju ke Pulau Selakan. Mengharungi lautan milik Tuhan yang luas. Semakin bertambah debaran. degupan jantung bertambah kencang. Apa pula selepas ini. Bagaimana keadaan orang kampung? Mana pasukan ESCOM yang katanya akan bersama kami sepanjang program.

p/s: ESSCOM itu apa? Ada orang kata itu syarikat komputer atau telekomunikasi (baca: ESCOM) (-_-”)

Selamat tak laut ni? Kami di lautan apa? Ada lanun ke? Penculik?

Bersambung..

Originally published at www.prism-uk.org.

--

--