Travelog Misi Dakwah Selakan (Siri 2) : Esscom & Abang PGA

adminPRISMUK
Platform Siswa Islam Malaysia UK
3 min readJan 22, 2017

Siri ini merupakan sambungan Siri 1 Travelog Misi Dakwah Selakan. Klik di sini untuk baca siri sebelumnya.

ESSCOM dan Abang PGA

Setibanya kami di jeti Kampung (Pulau) Selakan, sudah kelihatan beberapa orang petugas (penjaga keselamatan) yang kami tidak tahu dari pasukan manakah mereka, beruniform separuh dan kelihatan bersama mereka masing-masing bersenjata api (yang tidak aku tahu jenisnya. M16 mungkin(?)).

Kami duduk berkumpul di berandah homestay untuk mendengar taklimat, taklimat tentang penginapan, keselamatan, pergerakan kami, laluan keluar masuk kampung dan juga tindakan sekiranya berlaku kecemasan. Kami turut diperkenalkan dengan ketua kampung atau digelar Panglima di kampung ini.Kehadiran kami disambut dengan kehangatan, kemesraan orang-orang kampung. Kanak-kanak di situ kelihatannya masih terpinga-pinga, malu-malu, mungkin sekali kerana tidak biasa dengan kehadiran orang luar seperti kami.

Suka untuk aku kongsikan tentang ESSCOM berdasarkan apa yang diceritakan oleh Abang Amin dan yang aku rujuk juga laman sesawang ESSCOM (http://esscom.gov.my/) untuk aku dapatkan lebih maklumat.

ESSCOM, Eastern Sabah Security Command diumumkan penubuhannya pada 7 Mac 2014 oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Menurut Abang Amin, pasukan ini terdiri daripada PDRM termasuklah Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan angkatan tentera sendiri.

ESSCOM berfungsi untuk menjaga perairan Timur Sabah yang diumumkan sebagai kawasan keselamatan khas, ESSZONE (diumumkan pada 25 Mac 2013). Kawasan ini merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah-daerah tersebut adalah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

ESSCOM berfungsi untuk menjaga perairan Timur Sabah yang diumumkan sebagai kawasan keselamatan khas, ESSZONE

Ramai anggota ESSCOM yang berkawal di pulau-pulau di perairan timur Sabah. Teringat suatu masa ketika kami singgah di Pulau Mantabuan untuk mendapatkan kebenaran (memaklumkan(?)) yang kami akan melakukan aktiviti di kawasan terbabit. Kami dimaklumkan bahawa pasukan ESSCOM akan membuat 3 bulan pusingan dan selama 3 bulan mereka akan berkawal di sesebuah pulau, dan tidak dibenarkan keluar meninggalkan pulau. Ternganga aku mendengarnya. Contohnya, sekali lagi di Pulau Mantabuan, sebuah pulau yang kecil. Dengan menaiki ATV untuk mengelilingi sebuah pulau hanya mengambil masa kira-kira 20–30 minit.

Tabarakallah. Mereka yang menjaga keselamatan negara kita, mudah-mudahan kekal amanah, dan terus bersemangat dan kuat melaksanakan tanggungjawab mereka.

p/s: mungkin abang-abang ESSCOM boleh buat perpustakaan bergerak sendiri. Semasa tidak berkawal, mungkin boleh ambil masa baca buku :3

Rasa kelakar. Kami seolah-olah satu pasukan. Namun kekok untuk menegur.

Sepeanjang program kami di Selakan, pasukan ESSCOM bertanggungjawab menjaga keselamatan kami. Mereka akan berada dalam keadaan sedia di ‘markas’ (pintu utama, laluan masuk ke homestay) dan juga sekiranya program di jalankan didalam kampung seperti di masjid ataupun balai raya, sebahagian daripada mereka akan turut menjaga kawasan berdekatan, lengkap bersenjata dan vest serta topi kalis peluru.

p/s: Rasa kelakar. Kami seolah-olah satu pasukan. Namun kekok untuk menegur. Iyalah, mereka telah membantu kita. Ketika hari terakhir kami di situ, alhamdulillah sempat kami mengucapkan terima kasih sebagai penghargaan kami kerana menjaga keselamatan kami sepanjang kami berada di Pulau Selakan.

Bersambung..

Originally published at www.prism-uk.org.

--

--