Matlamat tidak menghalalkan cara.
Ada beza berpolitik dengan memburukkan nama universiti dengan menganjurkan perhimpunan jalanan bertemakan #TangkapMO1 yang jelas menujukan kepada pemimpin tertinggi negara.
Saya pasti UM takkan bicarakan dan hukum mahasiswi tersebut kalau dia menyatakan kiblat politiknya kepada pembangkang atau aktif dengan “kepembangkangan” (pinjam perkataan Zahid Hamidi) tetapi dia menganjurkan dan menjadi jurucakap suatu perhimpunan jalanan yang menuntut pihak berkuasa menangkap seorang pemimpin tertinggi negara yang dipilih secara demokratik.
Kamu nak seseorang ditangkap, buat laporan polis, sertakan bukti-bukti kukuh supaya polis boleh siasat dan jika berasas polis boleh tangkap, bukan anjurkan perhimpunan jalanan mengajak pelajar-pelajar universiti sama-sama turut dengan agenda kamu.
Pindaan AUKU pada tahun 2012 memberi kebenaran kepada mahasiswa untuk terlibat dalam apa juga badan, persatuan dan kumpulan termasuk parti politik di luar kampus bukannya memberi kebenaran untuk mengadakan perhimpunan jalanan haram.
Tak perlu tagih simpati kononnya pihak UM menyekat kebebasan berpolitik, menurut kemahuan kerajaan dan sebagainya.
Juga tak perlu bandingkan UM dengan Oxford, pelajar Oxford berhimpun pada tahun 2010 disebabkan cadangan kerajaan untuk memotong bajet pendidikan secara drastik dan menaikkan had maksima/siling yuran universiti bukannya berhimpun menuntut David Cameron (Perdana Menteri UK ketika itu) ditangkap atau meletak jawatan.
Kerajaan bagi ruang untuk berpolitik, sertai parti politik, tapi kamu salahguna untuk buat perkara lain yang tak berfaedah dan melanggar undang-undang negara, sekarang bila kena bicara, didapati bersalah nak salahkan pengurusan universiti pula?
Tulisan asal : Syahir